Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Tuesday, December 30, 2008

KRU Kudat: Carta Organisasi (umum)



CARTA ORGANISASI

Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU)
Kawasan Kudat

MAJLIS TERTINGGI

PENAUNG
Presiden Persatuan Siswazah Sabah (PSS)

PENASIHAT
Pengerusi Kelab Remaja Ukhuwwah

PENYELARAS
Mohd. Samizul bin Samad
Khasmawati binti Tommoyo

PENGERUSI
Komar bin Abdul Wahid

TIMBALAN PENGERUSI
Muhd Ramlan bin Hj. Alipah

SETIAUSAHA
Rosnani binti Hj. Eshak

TIMBALAN SETIAUSAHA
Jumatia binti Tommoyo

BENDAHARI
Mazlan bin Atoh

AHLI
Rozandi bin Ruslee
Abdul Munir bin Hj. Onon
Mohd Hafiz bin Zamanhuri
Abdul Aziz bin Waris
Mohd Hairul bin Along
Norizarradan

PROKSI
Fadlina binti Daud
Rosnawati binti Damsah
Salwana

* Halaman ini akan selalu dikemaskini. Maklumkan jika ada sebarang pembetulan / penambahan. Lawati blog utama KRU di www.d-kru.blogspot.com atau klik pada bahagian 'blogger'.

Monday, December 29, 2008

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1430H



MAAL HIJRAH
First Muharam is the beginning
Of the year of Hijrah Muslim Year
Hijrah of the prophet and Muslimin
From Mecca city to Madinah city
Full of confidence and spiritualness
The Muhajirin and Ansar clans unite
Forever willing full of sacrifice
Solely of the love of Islam
Hijrah is sacrifice
Hijrah is strengthteness
Hijrah is relativeness
Hijrah is togetherness
Come one and come all
Let’s celebrate Maal Hijrah
Instil courage and build up Syiar Islam
For All eternity
Alhamdulillah, akhirnya kita dipanjangkan juga usia olehNya untuk terus menyedut udara & nafas segar-baru di Tahun Baru 1430H ini.

Oups, lupa pula bagi terjemahan lirik lagu di atas yang semakin hilang kedengaran dendangannya di mana-mana dewasa kini. Amacam, ok juga kalau nyanyi dalam BI? 'Hilang' pitchingnya mengkali..


Satu muharram detik permulaan
perkiraan tahun islam hijrah
perpindahan nabi dan umat islam
dari kota mekah ke kota madinah

Atas keyakinan dan iman yang teguh
kaum muhajirin dan ansar bersatu
rela berkorban harta dan nyawa
demi menegakkan islam tercinta

Hijrah itu pengorbanan
hijrah itu perjuangan
hijrah itu persaudaraan
hijrah membentuk perpaduan

Oleh itu, mari semua
kita sambut maal hijrah
tingkatkan semangat
tegakkan syiar islam
untuk sepanjang zaman

Liriknya ringkas, tetapi maknanya jelas. Marilah bersama untuk berusaha menghayati makna sebenar yang terkandung di dalam sarikata lagu ini (mendengar muziknya sekali) disamping membaca 'ucapan khas' kenalan yang lainnya bersempena sambutan ini.

Akhir kata, Selamat Menyambut Tahun Baru Islam 1430H saya ucapkan buat semua yang meraikannya. Moga-moga, azam dan tekad kita dipermudahkan oleh Allah s.w.t, insya Allah.

*Kredit: Ujie, Agensi Perisikan Pusat

Sunday, December 28, 2008

Giat Mara: Alternatif penganggur


BANGI: Golongan yang dibuang kerja dan graduan menganggur boleh memohon memasuki Giat Mara untuk memperkukuhkan kemahiran mereka di samping mempelajari teknologi baru serta menambah nilai diri dalam dunia kerjaya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata peluang itu diberikan kepada golongan berkenaan supaya mereka dapat meningkatkan potensi diri dan bersaing di pasaran kerja terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Walaupun Giat Mara menyediakan latihan teknikal bertaraf sijil kepada golongan belia, golongan pekerja yang dibuang kerja dan graduan menganggur boleh mengambil peluang dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini untuk mempertingkatkan diri. Ini kerana tidak ada had umur serta kelayakan tertentu dikhususkan bagi memasuki Giat Mara melainkan minat yang tinggi untuk memajukan diri dan mereka boleh memohon untuk memasuki pusat latihan itu,” katanya pada majlis penyampaian sijil bersepadu Giat Mara Peringkat Negeri Selangor di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kementeriannya dalam membantu mereka yang dibuang kerja serta pelajar menganggur dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Terdahulu, Saifuddin menyampaikan sijil kemahiran Giat Mara membabitkan pelbagai bidang termasuk Kursus Penyediaan Makanan, Kecantikan serta Automotif kepada 824 orang pelatih sesi Julai-Disember 2008.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan majlis itu beliau berkata, pelatih Giat Mara yang sudah menamatkan kursus tidak harus berpuashati dengan pencapaian mereka.
“Pelatih perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran termasuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Pelatih harus mengambil peluang dengan kewujudan beberapa universiti yang dikelolakan kementerian termasuk UniKL (Universiti Kuala Lumpur) untuk terus mempertingkatkan ilmu mereka,” katanya.

link

Saturday, December 27, 2008

Sistem Kapitalis menyuburkan pengangguran


Dengan adanya lebih kurang 2 juta pekerja asing di Malaysia, peratus pengangguran dijangka akan meningkat pada tahun 2009 kepada 4.5 peratus [Malaysiakini]. Ini adalah satu angka yang tidak munasabah jika diambil kira bilangan pekerja asing yang ada di negara ini. Jika diambil kira golongan pesara dan lepasan sekolah angka peratusan ini akan bertambah.

Para kapitalis mendakwa, fenomena 'pelik' ini adalah disebabkan oleh pasaran pekerjaan yang gagal membekalkan pekerja yang memiliki kemahiran yang diperlukan oleh majikan. Inilah yang mereka dakwa sebagai 'structural unemployment'.

Jika dilihat dengan mendalam, dakwaan ini hanyalah dusta semata-mata. Kegagalan membekalkan pekerja mahir adalah satu pembohongan. Ini kerana, pada masa ini terdapat berpuluh-puluh universiti dan pusat latihan perindustrian di Malaysia yang mampu mengeluarkan berpuluh ribu pekerja mahir setiap tahun.

Kapitalis cuba bermain dengan istilah dengan mengatakan bahawa keadaan ini dipanggil 'pengangguran berstruktur' (structural unemployment). Hakikatnya, ‘pengangguran berstruktur’ sama sahaja dengan pengangguran, tidak ada bezanya sedikit pun. Pokoknya, ia (pengangguran) merupakan satu keadaan dimana sekumpulan manusia gagal untuk mendapatkan pekerjaan untuk melangsungkan hidup.

Jawapan mudah kepada fenomena ini adalah ianya merupakan manifestasi kerosakan yang dicipta oleh sistem ekonomi Kapitalis. Mengapa wujud ketidak seimbangan di dalam sektor pekerjaan? Pada asasnya sistem Kapitalis menetapkan gaji para pekerja pada tahap minimum sara hidup di tempat tersebut. Gaji para pekerja di negara maju adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara membangun dan negara mundur.

Apabila globalisasi melanda, muncullah perusahaan-perusahaan Kapitalis yang mengimport dan mengeksport buruh. Ditambah dengan kesulitan ekonomi yang dihadapi oleh sesetengah negara dek sistem Kapitalis yang mencengkam, banyak juga berlaku penghijrahan secara individu mahupun beramai-ramai untuk bekerja di negara yang dilihat lebih baik. Untuk terus berjaya dalam persaingan global dan mendapat untung yang maksima, perusahaan-perusahaan Kapitalis ini telah menetapkan gaji pekerja asing berdasarkan jumlah minimum sara hidup di tempat asal mereka. Pekerja asing ini tiada pilihan lain selain dari hidup pasrah dengan gaji yang sedikit, manakala bagi warga tempatan tidak mungkin mereka dapat menerima cara penetapan gaji sedemikian dilihat kepada standard hidup lazim mereka. Bagi mereka yang datang dari negara maju pula yang kebanyakannya terdiri dari tenaga mahir, mereka juga dibayar seumpama malah lebih lagi dari gaji yang mereka dapat di tempat mereka.

Penetapan gaji berdasarkan tahap minimum sara hidup telah membuka ruang ekploitasi oleh majikan terhadap pekerja. Walhal sama sahaja manafaat yang didapati oleh majikan dari tenaga yang dikerah oleh warga luar ataupun warga tempatan. Kemahiran mereka sama sahaja. Namun oleh kerana standard hidup di tempat asal dijadikan ukuran, maka gaji yang diterima tetap sama. Disinilah punca kepada apa yang mereka dakwa sebagai 'structural unemployment'.

Selain dari eksplotasi, wujud ketidakadilan yang amat ketara di mana pekerja-pekerja yang datang dari negara maju dibayar gaji yang tinggi kerana mengikut taraf hidup negara asal mereka. Professional tempatan dibayar gaji yang lebih rendah berbanding professional dari negara maju, walaupun keduanya mempunyai kemahiran yang sama.

Di dalam Islam, sememangnya tidak salah untuk menggajikan orang lain, tidak kira sesama Muslim mahupun kafir. Firman Allah:

"Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar mereka dapat mengambil manafaat atas sebahagian yang lain…."[TMQ Az-Zukhruf:32]

Namun, yang menjadi ukuran dalam menetapkan gaji adalah 'manfaat/hasil' yang diperolehi dari majikan atas usaha pekerja. Jadi jika manfaat/hasil yang diperolehi oleh majikan dari seseorang pekerja itu sama sahaja, maka gaji mereka pun seharusnya sama, bergantung pada akad yang dipersetujui. Justeru, gaji seorang pekerja yang datang dari Bangladesh, Amerika, Indonesia ataupun Britain seharusnya sama sahaja, jika kepakaran mereka adalah sama. Dengan ini, barulah tidak ada istilah ‘pengangguran berstruktur’ sebagaimana yang diwujudkan oleh sistem Kapitalis.

Ini hanyalah dari satu aspek sahaja yang kecil. Dari aspek yang lebih luas, Negara bertanggungjawab memastikan setiap orang mendapat pekerjaan untuk meneruskan hidupnya. Jika ada pengangguran di dalam Negara, walaupun seorang, yang tidak dapat meneruskan hidup (kerana pengangguran tersebut), maka pemerintah berdosa. Pemerintah wajib memberi atau mencari ruang pekerjaan kepada rakyatnya agar mereka dapat melangsungkan kehidupan sebagai seorang manusia. Di dalam sebuah hadis menceritakan bahawa Rasulullah di datangi seorang penganggur, maka baginda terus memberikan kapak dan seutas tali kepada penganggur tersebut untuk ke hutan dan memotong kayu api untuk dijual. Hadis ini menunjukkan yang Rasulullah sebagai Ketua Negara mesti menyediakan peluang pekerjaan kepada warganegara Daulah. Ini kerana, ia sebenarnya termasuk di dalam ri’ayah (pengurusan) seorang oleh ketua Negara. Rasulullah bersabda:

"Imam (pemimpin) itu pemelihara dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya" [HR Muslim]

Pendek kata, Islam telah lama menyelesaikan masalah pengangguran, sebelum datangnya Kapitalis yang membawa kemusnahan kepada dunia dan mencipta begitu banyak pengangguran dan kebuluran kepada dunia hasil sistemnya yang sangat mencengkam dan menjijikkan.

Yang Dipertuan Negeri Sembilan Mangkat


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,' kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,' katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok.

Salam Takziah saya ucapkan kepada seluruh kaum kerabat baginda. Al-Fatihah..

Capaian asal: [link-1], [link-2], [link-3]

Friday, December 26, 2008

Air bukan untuk diniagakan


Kerajaan Persekutuan memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan menghadapi kerugian berikutan pelaksanaan inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air, sebaliknya bakal memberi banyak manfaat kepada negeri dan rakyat. Perstrukturan itu melibatkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambilalih aset air bernilai RM889 juta dan hutang kerajaan negeri RM770 juta oleh PAAB serta pembayaran lebihan RM119 juta dalam tiga ansuran RM39.7 juta dalam tempoh tiga tahun. Perbadanan Air Melaka (PAM) yang dikorporatkan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pula akan memajak aset air berkenaan pada kadar sewa tahunan RM26 juta. SAMB dijangka memperoleh pendapatan RM142 juta dan keuntungan kasar RM11 juta setahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata inisiatif itu akan menjadikan operator air negeri entiti aset ringan yang membolehkan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kepada rawatan dan pengagihan air, sekali gus dapat menyediakan perkhidmatan air lebih berkesan. Beliau berkata, dengan sebagai satu-satunya pihak mengurus infrastruktur air negara, segala penjimatan akan diagihkan kembali kepada rakyat menerusi kadar tarif air yang berpatutan. [Bernama 18/12/2008]

Inilah realiti Sistem Kapitalis. Semua perkara hendak diambil keuntungan. Bermula daripada pelbagai urusan yang dikenakan cukai, minyak, sumber elektrik, dan tol jalanraya, semuanya berorientasikan keuntungan. Tidak terkecuali air. Proses pengambilalihan urusan bekalan air kepada rakyat ini nampaknya melibat jutaan ringgit. Siapakah agaknya yang dapat mengaut keuntungan tersebut. Pengurusan air yang seharusnya menjadi tanggungjawab kerajaan membekalkannya kepada rakyat dengan percuma, kini menjadi rebutan segelintir pihak untuk mengaut keuntungan daripada urusan tersebut. Begitulah asam garam pengurusan urusan rakyat oleh kerajaan yang menerapkan sistem kapitalis. Rakyat tidak dianggap sebagai pihak yang perlu dijaga dan dilindungi, tetapi rakyat dilihat sebagai pelanggan untuk mereka perah dan 'sembelih' di dalam urusan 'jual-beli' air ini. Berapa ramai rakyat yang merana kerana bekalan air ke rumah mereka dipotong kerana tidak mampu menjelaskan bil air.

Air tidak boleh dianggap sebagai sumber ekonomi negara atau aset sesuatu kerajaan. Air adalah salah satu daripada keperluan kehidupan yang wajib dikongsi oleh orang ramai tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Manakala urusan pembekalan air kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan dan bukannya untuk dijual beli sesama syarikat kapitalis. Kerajaan bertanggungjawab untuk menguruskan aspek perbekalan bermula daripada pembinaan takungan, rawatan dan pengagihan. Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda,

"Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api" [HR Abu Daud].

Hadis ini menerangkan dengan jelas bahawa air adalah suatu yang dikongsi bersama oleh semua manusia dan dilarang (haram) ke atas mana-mana pemerintah atau syarikat atau individu menjadikan urusan bekalan air kepada rakyat suatu asset untuk menjana keuntungan. Pemerintah yang mengaut keuntungan hasil dari sumber air ini hanyalah pemerintah Kapitalis yang menanti azab Allah di akhirat kelak. [Rujuk SN172 – Air Milik Kita]

IJN hak rakyat secara percuma, bukan untuk diniagakan


Keputusan kabinet untuk menangguhkan cadangan pengambil-alihan Institut Jantung Negara (IJN) oleh Sime Darby Bhd mungkin ada kena mengena dengan pilihanraya kecil yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu nanti. Ini kerana parti pembangkang telah menyuarakan ketidaksetujuan mereka terhadap cadangan kerjaan itu. Silap haribulan, isu ini akan dimainkan di dalam kempen pilihanraya yang mungkin boleh menjejaskan BN. Najib Tun Razak berkata, kerajaan pada dasarnya cuma memberikan persetujuan kepada cadangan tersebut tertakluk kepada aspek tanggungjawab sosial yang tidak akan dikurangkan sama sekali.

"Sekiranya IJN diserahkan kepada Sime Darby, sumbangan kerajaan untuk pembedahan akan terus dilakukan, dalam erti kata tanggungjawab sosial akan disumbangkan oleh kerajaan. Maknanya kerajaan tidak mengabaikan atau tidak akan mengorbankan tanggungjawab sosialnya sama sekali" katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini. Laporan akhbar hari ini menyebut konglomerat Sime Darby mengesahkan hasratnya mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN dan memberikan jaminan untuk mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas isu tersebut turut mahukan jaminan daripada Sime Darby bahawa ia akan meneruskan khidmat kepada golongan berpendapatan rendah jika mengambil alih kepentingan dalam IJN.

Inilah hakikatnya hidup di dalam sebuah pemerintahan Kapitalis. Dalam dunia kapitalisme, apa sahaja pun adalah boleh dilakukan asalkan membuahkan faedah/untung. Menggadaikan hak milik umum menjadi sumber pendapatan negara merupakan antara alasan negara terhadap penswastaan. Soal emosi atau bantahan rakyat bukanlah penghalang kepada usaha itu, selagi mana ada ruang untuk membuncitkan perut sendiri, selagi itulah kerajaan akan tetap bertindak. Cumanya, tatkala menjelang pilihanraya kecil di Terengganu ini, negara nampak agak 'bertimbang rasa' untuk menangguhkan keputusan penswastaan tersebut.

Pemerintah yang Kapitalis tidak pernah mahu belajar dan memahami Islam. Mereka hidup hanya untuk mendapatkan habuan dunia sebanyak-banyaknya dengan menghisap darah rakyat. Mereka tidak pernah mahu mengkaji atau menerima hakikat bahawa di dalam Islam, menyediakan pusat-pusat kesihatan dan memberikan perkhidamatan percuma kepada rakyat adalah tanggungjawab pemerintah. Menurut Islam, IJN sebagai sebuah pusat rawatan dan kesihatan, seperti hospital-hospital lainnya, ini semua adalah wajib disediakan oleh pemerintah secara percuma kepada rakyat, tidak kira samada rakyat kaya atau miskin, muslim, kafir dan sebagainya. Pusat rawatan dan kesihatan merupakan tanggungjawab negara yang wajib disediakan secara percuma dan bukan menjadi bahan tolak-tendang untuk diniagakan atau dieksploitasi menjadi sumber pendapatan negara. Ia merupakan 'hak' rakyat yang wajib ke atas negara menyediakannya.

Oleh itu, isu menswastakan IJN bukanlah isu baru yang kontroversi. Ia hanyalah rentetan dari dasar penswastaan yang berlangsung dalam sebuah negara Kapitalisme seperti Malaysia. Penswastaan bekalan air, elektrik, minyak dan sebagainya yang merupakan hak umum menandakan negara Kapitalis seperti Malaysia tidak pernah menitikberatkan kemaslahatan rakyat seperti yang diuar-uarkan oleh lidah para pemimpinnya. Islam langsung tidak dipandang oleh mereka, namun kepentingan kepada diri sendiri dan kronilah yang sentiasa menjadi ukuran di dalam melakukan sesuatu perbuatan.

Umat Islam perlu sedar bahawa mereka selama ini ditipu dan ditindas melalui dasar-dasar penswastaan yang terbit dari pengamalan sistem Kapitalisme. Jalan keluar dari masalah yang tak berkunjung reda ini adalah kembali kepada sistem Islam yang mampu membuang jauh segenap ketidakadilan dan menjana keharmonian hidup. Jika pemerintah yang ada tidak mahu kembali kepada Islam, maka kita wajib melantik seorang Khalifah (pemimpin) yang akan menerapkan hukum Islam ke atas kita semua.

MAJLIS KESYUKURAN SAMBUTAN MA'AL HIJRAH PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU 1430H/2008M


24 DISEMBER 2008 KOTA KINABALU: Majlis Kesyukuran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 1430H/2008M akan diadakan pada 28 Disember 2008 (Ahad) di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu bermula pada pukul 5.30 petang hingga pukul 10.00 malam.

Majlis Kesyukuran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 1430H/2008M merupakan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dengan kerjasama Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Solat Maghrib dan Solat Isya’ secara berjemaah akan diadakan pada hari tersebut bersama dengan bacaan yasin, bacaan tahlil dan doa selamat.

Tema sambutan Ma’al Hijrah 1430H ialah “Menjana Ummah Gemilang”. Tema ini adalah selaras dengan tema peringkat kebangsaan dan dijadikan asas dalam melaksanakan aktiviti atau program Ma’al Hijrah. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Tn. Haji Ahmad Rusian di talian 088-521800.

Capaian asal: DBKK

Thursday, December 25, 2008

Semester dan dua Tahun Baru


Cuti semester lima semakin melabuhkan tirainya. Aku masih lagi ingat dan memang sentiasa ingat akan suatu tulisan yang pernah aku nukilkan dan 'iklankan' kepada kenalan. Masa tu, aku menjadi 'harapan' coursemate yang lain dalam memaklumkan apa tips-tips untuk kertas kursus yang akan datang. Selesai 'tugasan' tu, aku pun buatlah satu lawak penutup. Tajuknya "SS12345: Pengurusan masa cuti". (Klik pautan ini: CUTI )

Kurang daripada seminggu, semester terakhirku akan mula memancarkan sinar harapan dan peluangnya yang baru. Dengan kondisi sekarang, masih terkial-kial lagi rasanya untuk memulakan 'pecutan' di awal semester ini. Entahlah, mungkin kebengongan memikir apa agaknya yang patut 'diresolusikan' sempena tibanya semester ini.

Uniknya dalam beberapa hari lagi, Tahun Baru 2009 Masihi dan Tahun Baru 1430 Hijrah tiba di awal-awal pembukaan semester enam ini. Apa agaknya ya mesej yang tersurat dan tersirat disebalik suasana ini? Apa petandanya? Emmm...

Aku semakin melupakan makna atau sambutan Tahun Baru. Aku pun tidak faham mengapa. Mungkin kerana aku tidak merasa apa-apa makna didalamnya. Aku lebih berminat atau mengambil kira mengenai sambutan hari lahirku (inilah 'tahun baru'ku) dan Awal Muharram. Didalamnya banyak terkandung sejarah-sejarah dan sesuatu yang jauh lebih bermakna berbanding melihat pertunjukan bunga api dan berkerumun di dalam keramaian manusia.

Sambutan Tahun Baru Masihi dewasa ini semakin terarah kepada hiburan dan keseronokan semata-mata.

Mungkin inilah jawapan bagi persoalanku tadi; Ruh sempena Sambutan Maal Hijrah lah yang paling sesuai dalam membina azam dan tekad, dalam melangsungkan harapan sebuah perancangan bagi melangkah masuk semester baru yang bakal tiba.

Berbalik kepada cerita cuti sekarang ini, apa yang telah aku lakukan? Dimanfaatkan kah juga cuti kali ni?

Jawapanku, ianya masih kurang dapat dimanfaatkan dengan baik. Emmm...

'Hasil' semester 5


Kecewa dalam gembira, kesedihan dalam kesyukuran. Mungkin ungkapan ini masih belum tepat untuk menggambarkan perasaan ini bila menatap keputusan peperiksaan semester lalu. Sebelum membuka portal SMP, terdetik di hati kecil ini, "kalau pun result turun, janganlah turun mendadak..". Debaran, kurang hangat di rasa. 'takut-takut' pu tidak. Lebih kepada rasa biasa-biasa ja. Bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Nah, seperti tidak diduga, keputusan kali ini mengalami sedikit penurunan. Mungkin itulah hikmah bila hati terdetik masa awal-awal tadi sebelum log-in di portal. Fuhh, terkejut juga dibuatnya. Ada yang dijangka tinggi, dapat biasa-biasa. Begitu juga sebaliknya. Tapi, ada satu subjek program yang menyebabkan PNGS menurun. Boleh-boleh pensyarah tu bagi D. Menjengkelkan. Argh, pertama kali dapat keputusan seteruk ni! Betul-betul lah tau. Uhu. Peliknya, aku tidak berminat untuk menyemaknya semula. Entah kenapa. Mungkin sebab dah rasa bosan untuk berurusan lagi dengan pensyarah tu. Uhu, aku benar-benar berharap biarlah semester yang terakhir ini dia tidak mengajar kami. Ops, mungkin aneh kedengaran. Ramai coursemate sukakan dia. 'Lubuk pointer' mengkali. Mungkin aku seorang jelah yang rasa tidak. Subjek tu pun bukannya aku minat. Boleh kata tidak masuk di kepala. Ha2.

Tapi, tidak mengapalah. Mungkin ini keputusan yang 'terbaik' yang aku dapat. Sekurang-kurangnya, tidaklah aku wajib ambil balik subjek tu. Buang masa ja. Ha2.

Kepada kengkawan yang lain yang mendapat keputusan yang memberangsangkan atau OK, TAHNiAH aku ucapkan. Yang sebaliknya, kalau sedih jangan lama-lama. Apapun yang berlaku, hidup perlu diteruskan. Mungkin kita perlu mengubah-suai atau merencana perancangan yang baru pula selepas ni.

Aku amat bersyukur bila melihat "LULUS & TERUS PENGAJIAN". Alhamdulillah, aku layak juga masuk ke semester terakhirku, semester enam.

Nampaknya, kepulanganku ke pangkuan masyarakat sudah semakin dekat...

Monday, December 22, 2008

Minyak: naik-turun-naik. Barang: naik-naik-naik

Klik untuk besarkan imej. Pautan asal boleh dicapai di: BH

Umum mengetahui harga minyak di negara ini diturunkan lagi oleh Kabinet baru-baru ini. Penurunan ini adalah kali yang kelima diumumkan semenjak harga minyak dunia melambung naik


Masih jelas diingatan, fenomena 'minyak naik' ini memberi tempias yang bukan sedikit kepada pelbagai golongan kecuali, golongan yang kaya-raya. Fenomena minyak naik 'mencipta' fenomena 'barang naik'. Fenomena barang naik adalah antara susulan dari fenomena minyak naik.


Saya menulis ringkas isu ini bukan untuk mengulas 'cerita sejarah' berhubung fenomena minyak naik. Tetapi lebih kepada fenomena susulannya iaitu fenomena barang naik. Kenapa mahu menulis fenomena barang naik ini pula?


Perbezaan besar kedua-dua fenomena ini ialah isu berhubung dengan harga atau nilaiannya. Kita menyaksikan harga minyak terus-menerus diturunkan tetapi tidak bagi harga barang-barang tertentu seperti makanan di restoran-restoran, pasar malam, barang runcit kedai dan lain-lain. Malah, harga perkhidmatan tertentu seperti tambang bas juga langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan diturunkan. Ianya kekal seperti semasa harga minya berada di paras yang tertinggi didagangkan.


Kalau dulu harga barang & perkhidmatan naik sebab minyak naik, mengapa tidak diturunkan bila minyak turun?


Minyak naik sebab desakan hebat dari pengguna. Bukan pengusaha. Pengusaha hanya tahu 'memuncung mulut' bila bisnes mereka mengalami penurunan untung sedikit demi sedikit. Kononnya sangat terbeban sehingga memaksa mereka menaikkan kos-kos tadi yang tentunya bukan dengan kenaikan yang sedikit.


Di mana keprihatinan para pengusaha dalam isu ini?


Saya menyeru kepada semua yang faham akan isu ini supaya melakukan langkah bijak dan berganding bahu dengan pihak yang bertanggungjawab dalam mewujudkan 'win-win situation'.


Antara langkah yang boleh kita ambil ialah dengan membuat aduan kepada mana-mana saluran yang betul mengenai pandangan kita. Cadangan amatlah dialu-alukan bagi memudahkan rujukan pihak berwajib tadi. Contohnya jika di Universiti, kita ada saluran di dalam Persatuan Mahasiswa masing-masing. Persatuan Pengguna kawasan / Negeri juga perlu selalu di 'follow-up' supaya masyarakat tahu peranan dan langkah yang telah dan akan diambil bagi mengurangkan bebanan masyarakat.


Sebagai seorang yang berpendidikan (lebih-lebih lagi berpendidikan tinggi), kita perlulah bersifat peka berhubung isu-isu disekeliling kita terutamanya bila isu tersebut berlaku atau melibatkan struktur masyarakat kita. Ini amatlah penting supaya bila sudah tiba masanya kita kembali ke pangkuan masyarakat setempat, mereka 'menikmati faedah' dari diri kita yang telah 3 atau 4 tahun menghabiskan masa di Universiti.


Universiti atau mana-mana tempat pengajian bukanlah untuk menghasilkan golongan terpelajar semata-mata tetapi yang lebih tepat ialah menjadi golongan terdidik yang berguna.

Sunday, December 21, 2008

Bukan Kerana Nama

Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

( korus )
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

Ramli Sarip & A Romzie (Mohamad Bakri Johari)

Dengar @ Muaturun lagu di sini: BKN

Ops Ayu

Sedikit kelucuan timbul bila saya membaca keratan maya akhbar Berita Harian semalam, berhubung isu penangkapan 'pondan' yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Entah apa yang lucunya. Mungkin terbayang agaknya bagaimana pondan-pondan tersebut menyelamatkan diri.

Di bawah saya sertakan sedikit fakta-fakta penting bersumberkan akhbar tersebut. Laporan tersebut boleh dibaca di sini.


Fakta Menarik

1. Serbuan dibuat pada 20 Disember, bermula jam 11 malam. Lokasinya ialah di Kampung Air dan Asia City.


2. Serbuan ini dinamakan sebagai 'Ops Ayu'.


3. 16 yang telah ditahan. Dua daripadanya merupakan pemegang Diploma, 14 beragama Islam, dan berusia lingkungan 19 hingga 32 tahun.


4. Mereka yang beragama Islam didakwa mengikut Seksyen 90 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah atas kesalahan lelaki berkelakuan dan berpakaian menyerupai perempuan. Jika sabit kesalahan, dendanya ialah RM1000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali.


5. Mereka yang bukan beragama Islam, dibebaskan setelah keterangan mereka direkodkan.


6. Antara sebab yang ditahan menjadi pondan ialah kerana 'suka-suka' bagi mengisi masa lapang, selain dipengaruhi rakan sebaya yang menyifatkannya sebagai cara mudah untuk mendapatkan wang. Ada antara mereka yang berpendapatan tetap dan menjadikan aktiviti menawarkan seks luar tabii sebagai kerja sambilan.

Saturday, December 20, 2008

Pengumuman: KRU Kudat

Assalamua'laikum w.b.t

PERHATIAN kepada semua ahli-ahli Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) kawasan Kudat dan juga peserta Kem Remaja Islam (KRIS) SMATS 2008 yang berasal dari Kudat, sila serahkan kepada saya butiran anda seperti yang berikut:-

1) Nama penuh
2) Nombor telefon

Butiran ini bertujuan untuk kemaskini rekod KRU kawasan Kudat. Nombor telefon diperlukan sebagai saluran info dan maklumat bagi mengurangkan keciciran mengenai perkembangan terkini KRU.

Untuk melawat medium utama KRU, layari: http://d-kru.blogspot.com/
Manakala bagi kawasan Kudat pula, buat sementara ini adalah di Blog ini (http://msslawliet.blogspot.com/)

Sekian, terima kasih.


Penyelaras KRU kawasan Kudat

Mengapa menjadi JAKMAS? - 2


Bahagian 1 boleh dilawati di :- http://luzimas.blog.friendster.com/category/kampus/


Pengetahuan mengenai kepimpinan pelajar adalah antara yang terawal aku maklumi seawal memasuki UMS. Masakan tidak, program Minggu Suai Mesra (MSM) bukan sekadar melatih diri membiasakan diri dengan suasana baru di Kampus. Tetapi, banyak perkara yang berlaku jarang-jarang kita perasan pengajarannya. Kalaupun ada mungkin di dalam modul-modul, ataupun telah Senior terangkan.


Kolej Kediaman Kingfisher dan Non-Residen (KFNR) merupakan Kolej / Asramaku semasa MSM berlangsung dan juga sepanjang berada di Tahun Pertama pengajian. Ia sebuah kolej yang unik – satu-satunya kolej yang membenarkan aktiviti masak-memasak di kediaman pelajar. Lokasinya, di sebelah kanan selepas melalui jambatan utama (laluan) ke Hospital Likas. Nampak mewah. Tapi didalamnya...


Di sana, aku berkenalan dengan dua orang yang cukup memberi pengaruh kepadaku tentang kehidupan di Universiti, istimewanya sebagai seorang pelajar dan dalam masa yang sama terlibat dalam aktiviti kepimpinan pelajar. Abang Firdaus dan Abang Ehsanulhadi. Abang Firdaus merupakan Exco Penerbitan MPP UMS pada masa itu dan mula berkenalan sewaktu di KML dahulu. Dia banyak membantu dalam memudahkan urusan-urusanku sepanjang MSM. Abang Ehsan pula merupakan mantan Yang Dipertua KFNR tahun sebelumnya, merangkap ‘ketua rumah’ kami. Masa aku masuk, dia sudah mendaftar untuk Master. Nah, sudah tentu pendedahan-pendedahan itu lebih mudah masuk menyentuh rasa.


Ringkasnya, mereka berdua banyak berkongsikan suasana sebenar kehidupan di kampus. Selaku orang yang terlibat aktif dengan aktiviti kolej, mereka mendedahkan sedikit-demi-sedikit realiti dan peluang yang tidak diambil-peduli oleh kebanyakan pelajar yang lain. Dalam erti kata yang lain, masuk U bukan sekadar datang kuliah, buat tugasan, duduk periksa, Konvo dan blah begitu sahaja.

Tuesday, December 16, 2008

Permulaan baru...


Assalamualaikum & Salam sejahtera...

Syukur Alhamdulillah, kesempatan untuk meneruskan lagi coretan / nukilan peribadi di alam maya ini diizinkan-Nya. Bukan mudah dan bukan semua orang, mampu dengan baik memahami dan berpeluang seperti kita (blogger).

Menulis di lembaran sebegini, tidak bermaksud mempunyai ciri 'penakut'. Walaupun mungkin selalu dilihat macam 'berani', kadangkala ia juga seperti 'SS' iaitu 'syok sendiri'. Masakan tidak, saya yakin yang blogger (atau seumpama dengannya) berbuat bermacam cara dan kaedah demi menarik perhatian / 'mengekalkan' pemerhati. Semakin banyak kelebihan yang ada, semakin bertambahlah peluang untuk memberikan yang terbaik. 

Apapun, terpulang kepada diri masing-masing dalam melakukan / meneruskannya. Asalkan ia bermanfaat dan menyampaikan mesej yang baik dengan betul. Sekurang-kurangnya, kita dapat berkongsikannya (selalunya, rasa-perasaan) dengan yang lain. Kalau kita sudah pergi dahulu, yang lain boleh menjejak sesuatu di sini. Ada juga kenang-kenangan dari kita. Selama internet dan Blogger wujud, selagi itulah ianya ada.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa tidak meneruskan Blog yang lama di profil Friendster?

Jawapannya, ada di atas.

Blog ini, sebenarnya, adalah blog yang ketiga saya buat. Kali pertama, di Google. Kemudian, saya padam kerana ingin membuat yang baru. Masa tu, fungsian di dalam Blogger ini menjelma rumit difikiran saya. Lalu, beralih untuk mencuba yang lain, yang lebih mudah tampaknya. Blog kedua, di Friendster. Fungsiannya memang mudah. Tapi, ada banyak limitnya. Kemudian, cuba pula berjinak-jinak dengan Wordpress. Emm, juga tampak menarik dan bergaya. Puas 'try & error' fungsian-fungsiannya, fikiran membuat satu keputusan; Ianya rumit. Dan, masa 'perkenalan' dengan Wordpress pun terhenti tidak lama kemudian. Mungkin sudah 'jodoh' yang tersirat, saya kembali menjejak 'yang pertama'; Blog di Google (Blogger).

Insya-Allah, apa-apa yang tidak terlaksana di blog lama akan dipersembahkan juga di sini. Yang ada saya sebutlah. Blog ini walaupun baru, ianya meneruskan 'cita-cita' lama saya dalam mewujudkan sebuah laman penulisan-perkongsian maya. 

Maka, bertemulah anda dengan 'MSS LaWLiET'...

Mudah-mudahan, ada manfaat yang dikongsi - ada kelemahan yang diperbaiki - ada 'dimensi' yang boleh sama-sama kita dapat terokai.

"Kata-kata sebenarnya tidak mempunyai makna jelas untuk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Akan tetapi, kata-kata bukanlah sepenuhnya bukti yang menunjukkan unggulnya perasaan. Namun, itulah yang terbaik untuk difahami bagi kebanyakan orang."