Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Saturday, January 03, 2009

Tahun baru, Suasana lama - 2


DEMONSTRASI: LANGKAH YANG KURANG BIJAK?

Dunia sekali lagi dikejutkan dengan tindakan biadap rejim Zionis-Israel. Tindakan ketenteraan dilancarkan oleh rejim ini ketika umat Islam seluruh dunia baru sahaja selesai menunaikan Ibadah Haji dan menyambut awal Muharram (Tahun Baru Hijrah).

Di sudut yang lain, juga wujud sedikit 'kejutan' di mana sebahagian besar badan-badan utama dunia seperti PBB, lambat dalam memberikan tindakan yang wajar lagi berkesan. Israel seringkali diberitakan bersikap sombong dan angkuh untuk melakukan gencatan senjata dengan pihak berkuasa Palestin.

Di Malaysia juga punya kejutan yang tersendiri. Akhbar maya arus perdana terutamanya HarakahDaily.net sering melaporkan maklumbalas mengenai situasi perang di sana. Rayuan bantuan kemanusiaan dan ajakan untuk bersama-sama turun berdemonstrasi kembali menjadi slogan.

Dan dalam edisi kali ini, saya tertarik untuk memberikan sedikit pandangan mengenai pendekatan yang diambil oleh sebilangan orang iaitu mengadakan atau turun berdemonstrasi.


-----


Hari ini saya membaca mana-mana tulisan baru dari laman blog kenalan yang ada.

Saya terlihat satu pos / entri baru dari Presiden PMUMS 08/09 mengenai pendirian beliau berhubung isu ini. link Tajuknya menarik perhatian saya dan seterusnya saya nukilkan di sini untuk sorotan bersama.

Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah di atas keberanian beliau memberikan respon. Mungkin ini bolehlah dikira sebagai suatu pendirian PMUMS 08/09 mengenai kekejaman Israel. Saya teringat, kalau saya tidak silap, PMUMS 06/07 juga ada menyatakan pendirian mengenai kekejaman Israel. Rasanya ketika konflik Zionis-Hizbullah berlaku. PMUMS 06/07 mengadakan demonstrasi bersama mahasiswa dalam menunjukkan reaksi dan semangat mereka untuk mengutuk sebarang perilaku kejam-zalim dan dalam masa yang sama melahirkan rasa simpati-terharu mengenang nasib saudara-saudara se-agama atau se-manusia di sana.

Persoalannya, wajarkah kita (dalam konteks mahasiswa) mengadakan demonstrasi atau turun menyertai mana-mana perhimpunan anjuran pihak-pihak yang tidak bersifat keuntungan atau peribadi?

Untuk mengupas isu ini secara jelas dan tuntas, ianya memerlukan perbahasan yang agak panjang demi cubaan memberikan pemahaman satu-persatu.

Di dalam penulisan ini, saya fokuskan di dalam aspek-aspek yang tertentu sahaja terutamanya skop alasan atau pendapat yang ada. Saya tidak menghurai panjang apa dia demonstrasi, asal-usulnya, dan tujuan-tujuannya dalam kes-kes yang tertentu.

Ada pihak yang menyatakan ianya suatu pendekatan yang kurang bijak dan sewajarnya tidak dilakukan oleh umat Islam khususnya. Ada juga yang menyokong. Malah, lebih ramai yang bersikap 'atas angin'. Antara sebab yang saya baca di dalam kenyataan blog yang saya sebutkan tadi ialah:-

1) Demonstrasi lebih mendatangkan kerugian berbanding keuntungan (hasil / kesan / faedah),

2)
Demonstrasi mengurangkan masa kita untuk melakukan ibadat memohon pertolongan Tuhan dan menitipkan doa buat mereka yang dizalimi,

3)
Demonstrasi mengurangkan masa kita untuk berfikir bagi membantu mereka di sana,

4)
Demonstrasi menyebabkan kita 'kebaziran' banyak perkara.

Sebelum mengulas lanjut, biarlah saya nyatakan dahulu apa reaksi saya selaku seorang warga di bawah kepimpinan PMUMS 08/09 berhubung kenyataan Presiden yang kami sayangi.

Saya menyokong sebahagian besar komentar beliau dan sebahagian lagi tidak. Bahagian yang tidak saya sokong itu, terbit kerana beberapa 'jawapan' kepada hujah isi di atas boleh dipertikaikan.

Saya rangkumkan semuanya sekali sebab-jawapan saya yang mengatakan ianya boleh dipertikaikan.

Jika seseorang itu memiliki sifat 'terlalu berkira', idea tersebut (demonstrasi lebih membawa kerugian dari keuntungan) memang bersesuaian dengannya. Mereka yang berdemonstrasi telah melakukan banyak pembaziran atau membazir banyak perkara menurut kacamata mereka.

Orang yang sanggup berkorban apa sahaja tidak kira masa dan suasana memang lumrahnya akan dilihat dari aspek ini - 'membazir'. Melalui pengorbanan inilah akan berhasilnya suatu kejayaan. Kejayaan itu, mungkin dinikmati oleh empunya diri semasa dia hidup ataupun setelah ia pergi. Umum menikmati hasil pengorbanannya itu. Yang pasti, di Sana, nikmat kejayaan akan dikecapinya.

Mereka yang turun berdemonstrasi pasti akan diselar dengan ayat "Buang masa sahaja...".

Saya sedikit bersetuju jika ia dimaksudkan pada demonstrasi-demonstrasi tertentu sebelum ini khususnya di Malaysia. Tidak dinafikan yang amalan berdemonstrasi di Negara kita ini kurang sedikit matangnya walaupun amalan ini wujud (dalam era kolonialisme) sebelum zaman merdeka lagi iaitu ketika warga Tanah Melayu menentang Malayan Union.

Di mutakhir ini, saya lihat beberapa acara demonstrasi membantah dan mengutuk kekejaman Zionis ini dilakukan selepas solat Jumaat atau lebih tepatnya waktu selang selepas masuk waktu zohor.

Dan perhimpunan ini diadakan di Masjid-masjid utama seperti di Masjid Negara, dan di Sabah pula ialah di Masjid Bandaraya (Likas) dan Masjid Negeri (Sembulan).

Sepatutnya, ini antara luangan masa yang sesuai pada kita untuk sama-sama 'merasai' kobaran semangat mereka yang boleh kita kategorikan sebagai 'Yang Kurang Upaya'. Masakan tidak, kita bukannya askar terlatih yang boleh dihantar ke sana bagi membantu tentera dan polis Palestin. Juga kita bukannya anggota kor sukarelawan atau perubatan dengan misi kemanusiaan yang mampu atau berpeluang ke sana.

Malaysia merupakan anggota Negara-negara Berkecuali (NAM) . Saya fikir, ini antara sebab yang menyebabkan tiadanya 'taring' sewaktu Malaysia mempengerusikan OIC.

Melalui acara demonstrasi ini juga, tidak mustahil langkah yang lain akan ditindakkan. Kita boleh turun bagi sama-sama menyedarkan masyarakat sekitarnya mengenai isu ini. Kita mempertingkatkan penulisan kita, kita wujudkan tabung bagi mengulur bantuan dan sumbangan. Ini sebenarnya mewujudkan warga yang bersikap peka dan bersifat 'sensitif' terhadap permasalahan isu-isu semasa dan sekitar kita.

Lalu, jika masyarakat punyai ciri-ciri ini, timbulkah lagi permasalahan "kurang berfikir untuk membantu.." itu?

Bukankah kita (Mahasiswa) akan kembali ke pangkuan masyarakat suatu hari nanti?

Jadi, melampau atau kurang bijakkah jika kita meluangkan sedikit masa dari seluruh masa yang ada dalam hidup kita untuk melakukan perkara ini? Adakah ia sesuatu yang sia-sia? (ini yang perlu lebih diperhalusi lagi. Maksudnya, melihat acara demonstrasi itu dengan lebih kritikal dan adil lagi)

Atau, kita ingin menjadi insan yang simpatinya tetap lahir di hati, tetapi 'terkurung' di dalam bilik atau di Masjid-masjid dengan hanya berterusan melakukan solat sunat hajat dan berterusan menadah tangan berdoa didalamnya?

Sesuatu perbuatan yang diniatkan ikhlas kepadaNya merupakan suatu Ibadah. Buatlah apa perkara sekalipun, asalkan ianya tidak bertentangan dengan suruhan dan laranganNya, atas dasar semata-mata keranaNya, ianya dikira sebagai suatu Ibadah.

Ini, apa yang saya baca dan faham dalam penulisan Mawaddah, risalah utama EXCO EKSAH MPPUMS. Kata-kata peringatan ini seringkali muncul di dalam risalah tersebut.

Dari pemahaman ini, kita akan dapati jika seseorang itu menulis sesuatu perkara demi perkongsian bersama semata-mata keranaNya, ianya suatu ibadah dan ada perkiraan ganjaran dan pahala baginya. Begitu juga jika kita ingin pergi ke CIMB Bank di kampus UMS dengan tujuan mengeluarkan sedikit wang untuk menderma atau membelanja kawan-kawan, diniatkan semata-mata keranaNya, ianya sudah dikira sebagai suatu ibadah.

Begitu juga jika kita ingin turun ikut berdemonstrasi dengan alasan dan niat yang saya sebutkan tadi, walaupun akhirnya tidak diizinkanNya, ianya sudah dikira sebagai suatu ibadah dan insya-Allah ada ganjaran dan pahala untuknya.

Justeru, terkurangkah masa-masa kita untuk melakukan ibadah memohon kepadaNya jika kita tidak melakukan ritual keagamaan tersebut?


-----


Akhirnya, saya tidak dapat mengelak dari mewujudkan beberapa kelemahan di dalam pandangan ini. Terutamanya, kurang mendalam aspek persembahan penerangan fakta dan hujahnya. Saya sudi dengan hati yang terbuka jika ada yang ingin memberi penambah-baikkan, menegur atau memberikan komen.

Saya juga, bukanlah 'penyokong setia' setiap aturcara demonstrasi ini. Ada yang boleh ikut, ada yang boleh untuk tidak ikut. Bergantung kepada tujuannya, aturcaranya, suasana, dan beberapa aspek lain lagi yang bersangkut-paut dengan pendirian atau peribadi masing-masing.

Dan bagi demonstrasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang berlatar-belakangkan agama atau kemanusiaan (kebajikan), mengenai pergolakan Palestin-Israel ini, saya menyokongnya. Cuma, perhalusilah had-hadnya. Kawallah diri.

Jika ada peluang lagi, apa kata kita cuba turun melihat sendiri demonstrasi-demonstrasi yang saya maksudkan.

Apapun, saya menyokong padu dengan seruan mengenai perbanyakkan doa dan tingkatkan penguasaan ilmu kita dewasa kini, dengan sedikit tambahan, lakukanlah sesuatu yang jauh lebih baik dan berkesan bagi jangkamasa pendek atau panjang dalam masa yang sama. Sekali lagi, dalam masa yang sama.

2 comments:

  1. salam
    saya tertarik dengan penulisan saudari,

    1) berkaitan dengan demonstrasi. pendirian saya amat mudah.
    SAYA MENYOKONG DEMONSTRASI SELAGI IANYA BUKAN DEMONSTRASI KEPADA PEMERINTAHAN ISLAM.
    2) kita harus ingat sebagai islam, apa yang mampu kita lakukan untuk memberi sokongan dan dorongan kepada palestin...first-demonstrasi kemudian BOIKOT..Tapi tu pun tersasar juga makan KFC dan MC DONNALD.
    3)untuk membuat demonstrasi perlu ada peancangan, yang paling penting mesti ada publisiti. maksudnya di sini ada pemberita, TV STATION yang membuat rakaman, kerana kita mahu manusia di luar sana nampak kemarahan kita terhadap perilaku zionis. kalau kita buat demonstrasi tapi takda orang tau, ibaratnya macam tiada apa-apa kesan.

    satu sahaja cara yang paling berkesan untuk menyelesaikan masalah ini, semua negara islam bersatu dan boikot israel, amerika dan sekutunya serta jangan lagi jual minyak kepada mereka. habis cerita...
    tapi, nak ke saudi, oman, kuwait buat macam ni???
    so, jangan kita salahkan israel 100%, kita umat islam sendiri yang memberi mereka peluang keemasan ini..
    wassalam...

    ReplyDelete
  2. W'salam...

    Salam...

    Terima kasih atas komen saudara NivyanPazza. Untuk makluman, saya saudara ye. Bukan saudari. Ehe..

    1) Kalau betul2 kita fikir, renung, tenung, amati dan cermati sebenar2nya, majoriti Negara2 yang dikatakan Negara Islam itu, masih belum belum sepenuhnya mempunyai ciri2 sebuah pemerintahan Islam seperti kesatuan Ummah yang sebelumnya. Pemerintahan Islam yang sebenar antaranya ialah bila sesuatu wilayah diikat dengan sistem Khalifah. Bukan dengan idealogi sempadan Negara-Bangsa.

    Dan jika kita melihat negara kita ini, ianya lebih kepada pemerintahan (ketua) oleh orang Islam. Dan undang2 yang diguna-pakai ialah Perlembagaan Persekutuan. Bukan undang2 Al-Quran & As-Sunnah.

    2) Saya bersetuju dengan saranan itu (demo & boikot). Memang itulah bagi kita yang kerdil ini lakukan. Mengenai hebahan, media yang lebih berpihak kepada kerajaan saya lihat kurang memaklumkan publisiti demonstrasi. Hanya akhbar PAS, dan beberapa NGO2 yang terlibat menghebahkannya dan ianya terhad. Lagi yang menyebabkan orang tiada ialah sebab mentaliti umum, masih ada lagi yang takut2 dengan demonstrasi. Terutama di Sabah. Sebab ia dianggap sebagai ciri2 'pembangkang'. Disemenanjung, saya fikir agak rancak.

    Mengenai masalah negara2 lain tu, macam yang ada saya sebut, ianya ekoran masalah fahaman Negara-Bangsa. Sikap berkecuali dan lebih memilih 'main dengan selamat'.

    Bantuan kemanusiaan tidak akan menghalau keluar tentera rejim Zionis. Tetapi ia tetap diperlukan. Yang lebih berkesan, ketenteraan vs ketenteraan. Saya harap sangat Iran dan Lubnan campurtangan dan menyerang Israel.

    ^_^

    ReplyDelete

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!