Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Monday, March 09, 2009

Antara Dua Bahasa: Suatu Kemelut

Assalamua'laikum w.b.t & Salam sejahtera buat semua.

Maaf atas kelewatan penulisan yang ini. Kalau dikatakan sibuk, nda lah juga sibuk tahap gaban. Cuma, masalah broadband yang sudah tidak ok dibilik. Mahu ke tempat lain baru ok.

Hari ni, 09 Mac 2009. Bersamaan 12 Rabiul Awal Tahun 1430 Hijrah. Bersamaan juga, setahun satu hari hilangnya majoriti 2/3 Parlimen parti Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah Pilihanraya Malaysia.

Dan sebelum menjelangnya kedua-dua tarikh yang penuh makna dan sejarah itu, tercipta satu lagi sejarah yang penuh makna, isi dan mesej buat semua di Malaysia.

Perhimpunan Raksasa (100 000 orang) Anti-PPSMI (Pengajaran & Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) telah berlangsung pada 07 Mac yang lalu.

Terlalu banyak fakta menarik yang ingin dikongsikan. Tetapi, ada baiknya jika anda semua membacanya melalui HarakahDaily, MalaysiaKini, Berita Harian & Utusan Melayu bagi menimbang2 apakah sebenarnya yang berlaku. Kenapa saya letak HarakahDaily dahulu? Sebab setahu saya, laman/akhbar maya ini tidak pernah saya dengar di saman atas penulisan2 oleh wartawannya. Setahu sayalah..

Petang tadi, saya baru membaca akhbar maya bagi hari ini. Nah tidak dijangka, slot (antara) yang paling saya minati dalam B. Harian memaparkan bahan yang menarik. Saya copy-paste lah ya di sini. Jom layan..


Pelajar jadi mangsa isu bahasa Inggeris

SAYA adalah pelajar Tingkatan Enam di Kuching. Saya amat tidak bersetuju sekiranya pengajaran Matematik dan Sains dilaksanakan dalam bahasa Melayu. Hal ini kerana saya sudah mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sejak Tingkatan Satu lagi.

Orang ramai tentu ingat, 2003 adalah tahun pertama PPSMI dilaksanakan. Pada pendapat saya, pemahaman terhadap sesuatu subjek bukannya bergantung kepada penggunaan bahasa, sebaliknya bergantung kepada diri pelajar terbabit.

Penggunaan bahasa Inggeris dalam PPSMI tidak bermakna bahasa Melayu dipinggirkan. Ingatlah cendekiawan Melayu, Malaysia negara berbilang kaum, bukan terdiri daripada kaum Melayu saja.

Ingatlah, kami sebagai pelajar ini bukan tikus makmal yang boleh diperlakukan sesuka hati saja.

STANLEY ALFRED,
Kuching.


Bahan di atas, dari pihak yang membantah (tidak menyokong) anti-PPSMI. Di bawah ni pula, saya sertakan pandangan dari pihak yang menyokong anti-PPSMI..(di ambil dari HarakahDaily)


Sasterawan Negara kesal ahli politik agungkan "bahasa pembunuh"
Atriza Umar
Sat | Mar 07, 09 | 12:38:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Hrkh) - Seorang lagi Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh tampil dengan kenyataan terbuka menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau turut menyifatkan perarakan raksasa ke Istana Negara petang 7 Mac ini bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai usaha murni yang perlu dijalankan dengan baik, sambil mengharapkan pihak istana dapat memberi restu untuk mengembalikan hak bahasa Melayu dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

Muhammad yang mempunyai latar belakang sastera Inggeris yang kuat berkata PPSMI merupakan satu tindakan yang membelakangkan martabat bahasa yang diusahakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pejuang bahasa sejak dahulu lagi.

Dalam temubual eksklusif yang disiarkan oleh akhbar Harakah keluaran terbaru itu, beliau mengkritik pihak tertentu yang bukan sahaja memandang rendah bahasa Melayu tetapi begitu mengagungkan bahasa Inggeris, yang disifatkannya sebagai bahasa pembunuh kepada bahasa ibunda.

"Bagi saya," tambah pensyarah sastera bandingan di Universiti Sains Malaysia dengan rasa kecewa, "ia amat memalukan dan menjijikkan jika bahasa ibunda kita sendiri diperlekehkan, malah ada kalanya diketepikan langsung, kononnya bergaya atau ada ketokohan jika menggunakan bahasa kolonial."

Sedangkan, menurut Muhammad, bahasa Inggeris adalah bahasa pembunuh di beberapa buah negara seperti Afrika, Kenya dan banyak lagi di mana dalam masa dua generasi bahasa ibunda tinggal kenangan.

Beliau turut berkongsi kekecewaan dengan Sasterawan Negara, A Samad Said dengan tindak-tanduk pemerintah dan orang politik yang tidak menyanjung bahasa ibunda.

Dalam temubual tersebut, beliau juga menyatakan, walaupun sekali pandang hanya dua mata pelajaran terbabit dengan PPSM tetapi sebenarnya ia membabitkan lebih daripada itu, misalnya Biologi, Fizik, Kimia, Kejuruteraan dan lain-lain.

"Banyak negara berjaya di dunia ini menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Oleh yang demikian, bahasa Melayu harus diberikan peluang untuk bangkit menjadi bahasa utama disamping mengejar pembangunan," kata Muhammad.


Bahan yang seterusnya ni pula, macam 'atas pagar' pula. rasanyalah sebab saya tak tahu dengan jelas beliau dipihak yang mana. Yang jelasnya, dia mahukan agar SUBJEK Bahasa Inggeris itu diperkasa. Jom baca..


Pembelajaran BI patut dinilai semula

HARI ini hampir semua pihak bersuara mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan pelaksanaannya. Ada yang menyokong dan ada yang melihat ia bakal menggugat keutuhan bahasa Melayu pada masa akan datang jika diteruskan.

Kekhuatiran pihak berkenaan ada asasnya. Antaranya ialah seperti terjadi kepada tulisan jawi pada awal 1970-an. Memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu sehingga berkiblatkan bahasa ilmu terbabit, akhirnya jelas tulisan jawi hampir berkubur.

Siapa yang mahu bertanggungjawab? Sehingga kini ia seperti berkubur tanpa batu nesan, walau pun sekarang usaha Kementerian Pelajaran memperkenalkan j-Qaf wajar dipuji, berapa ramai pelajar yang boleh membaca tulisan jawi?

Apakah lagi yang hendak ditonjolkan jika setiap hari kita disogokkan dengan budaya dan ilmu dari Barat. Berbahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tidak seharusnya menidakkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri.

Kementerian Pelajaran seolah-olah berlumba-lumba mengatur program pengajaran bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik dengan memberikan elaun kepada guru yang mengajar subjek berkenaan.

Kesan yang ketara diabaikan apabila ada sekolah yang sudah pun kebanjiran guru subjek berkenaan, sehingga sekarang guru bahasa Melayu semakin berkurangan. Ia dapat dibuktikan di kebanyakan sekolah menengah, iaitu pihak sekolah kini berdepan masalah kekurangan guru Bahasa Melayu pula.

Apa langkah kementerian? Perlu diingat bahasa Melayu menjadi ancaman jika pelajar sendiri menghadapi masalah kecelaruan berbahasa. Tidak mustahil bahasa ini akan terpinggir, jika ada pihak yang 'nakal' di luar sana mencadangkan pula subjek Geografi dan Sejarah kalau boleh diajar juga dalam bahasa Inggeris.

Universiti di China dan Russia, ada pelajar mengambil jurusan bahasa Melayu, fasih berbahasa Melayu sekali pun mereka belum pernah menjejakkan kaki ke negara ini, mudahnya mereka bertutur bahasa Melayu, dan mengagumi bahasa ilmu ini.

Malah boleh berpidato dalam bahasa Melayu ketika pertembungan pertandingan pidato antarabangsa Piala Perdana Menteri di PWTC beberapa tahun kebelakangan ini. Yang salahnya kita, kerana tidak nampak kehebatan bahasa Melayu, malah secara tidak langsung semakin meminggirkan bahasa ini.

Tidak seperti bahasa Perancis, Jepun dan Korea. Mereka tidak mengagungkan bahasa Inggeris melebihi bahasa mereka sendiri. Mereka juga kalah berbanding negara Barat dari segi pengembangan ilmu.

Jadikanlah kekuatan dan kemantapan bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu. Jangan esok bila ia benar-benar terpinggir, mula menyalahkan badan bahasa di negara ini pula. Banyak istilah bahasa Inggeris atau bahasa lain diMelayukan. Saya tidak nampak bahasa Melayu memundurkan pelajar Melayu.

Malah, silapnya ialah subjek Bahasa Inggeris itulah yang wajar diperkasakan pengajarannya sehingga pelajar kita jika boleh mampu fasih bertutur. Kementerian Pelajaran wajar mengatur semula program bahasa Inggeris dengan kepakaran teknologi yang ada. Ia dapat melonjakkan penutur bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan guru.

Apa yang jelas semua bahasa adalah bahasa ilmu. Bahasa Arab, juga bahasa pilihan yang Allah SWT angkat menjadi bahasa al-Quran. Malah, Barat sendiri mengkaji al-Quran, kitab ilmuan Arab dan Nusantara zaman lampau. Mereka mengambil ilmu al-Quran saja, tetapi tidak juga mengamalkannya.

Saranan saya, pihak Kementerian Pelajaran supaya memperkasa subjek Bahasa Inggeris agar pelajar sama ada di sekolah rendah atau menegah apabila keluar dari alam persekolahan boleh bertutur bahasa Inggeris.

DAMHA,
Sandakan, Sabah.


Apa pula pandangan saya? Ianya mudah. Saya MENYOKONG agar PPSMI dimansuhkan dan perkasakan pengajaran & pembelajaran Subjek Bahasa Inggeris. Cukuplah Bahasa Inggeris digunakan di Institusi Pengajian Tinggi seperti sekarang.


No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!