Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Wednesday, October 21, 2009

Konvokesyenku: Sebelum, Semasa & Selepas (i)


I

1. Ada banyak cerita pengalaman dihajatkan untuk dimuatkan di sini. Rasanya, cerita2 begini jarang 'dibukukan'. Ianya lebih kepada mulut ke mulut. Itupun, jika ada yang bertanyakan. Jika tiada, pada saya, segan sebenarnya untuk mula membuka cerita.

2. Konvokesyen yang pertama dilalui sememangnya suatu sejarah besar buat kita. Saya tidak tahu dengan jelas jika ada insan yang langsung tidak gembira akan hari graduan mereka. Sejarah dalam hari tersebut seharusnya kita rai dan bergembira dengan cara yang sesuai. Hari bergraduan dalam hidup kita boleh dibilang dengan jari. Kita bukan seperti keluarga Edward dalam cerita tayangan Twilight yang menyimpan puluhan gulungan graduan.

3. Salah satu sebabnya kita perlu bergembira dan meraikan 'hari bahagia' ini, kalau bukan untuk diri kita semata2, tentunya untuk mereka yang bersusah-payah, sentiasa mendoakan, tidak putus memberi segala bentuk bantuan kepada kita semata2 untuk melihat kita berjaya dalam hidup, dunia dan akhirat. Sememangnya, kejayaan kita adalah kejayaan mereka. Mereka berjaya menjadikan kita sebagai orang yang berjaya, di suatu jalan kehidupan yang masih berterusan.


II

1. Saya bergraduan Sarjana Muda pada 12 Oktober yang lalu, di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Secara tradisinya, konvokesyen dan Tamu Gadang kali ini lewat sedikit berlangsung. Dua bulan lebih selepas menamatkan praktikal. Sepanjang tempoh menunggu tersebut, saya tidak mengambil peluang untuk bekerja sementara. Tidak juga untuk terus memohon pekerjaan. Saya berkira2, biarlah lepas konvo baru bergerak 'aktif dan serius'. Jadikan tempoh menunggu tadi sebagai 'bulan madu'. Bukan apa, masa tu kan puasa dan Raya. Ini perancangan saya. Berani buat, berani tanggung kata orang..

2. Ada saranan, supaya awal2 mencari kerja. Ada juga saranan, ambil saja apa2 kerja yang ada. Memandangkan sekarang ini pekerjaan memang payah dicari, apatah lagi yang bersesuaian dengan kelulusan kita. Sebenarnya ada tempat yang memang banyak kerja kosong. Ada tempat, beri peluang pekerjaan. Ada juga tempat, terhad peluang pekerjaannya. Jadi, semua pihak perlu ada suatu kefahaman bila berceloteh akan hal ini. Apa tempat itu, apa kerja kosong itu, dan yang penting apa perancangan seseorang untuk masuk ke tempat & kerja itu.

Usaha gigih yang betul landasannya serta keyakinan terhadap rezeki yang telah ditetapkan Tuhan sememangnya falsafah dan 'favorite quote' yang perlu disemat dalam hati kita. Tidak kira anda berbakat genius atau 'si lemah' yang tidak mendapat keputusan cemerlang, atau langsung tidak berpeluang 'membesar' di sekolah.

3. Sememangnya sepanjang menunggu hari graduasi, saya banyak 'membuang masa' melayari internet bermain Facebook, Friendster, dan yang paling selalu ialah membaca bahan2 berita atau mana2 tulisan yang menawan kalbu. Selebihnya, meluangkan masa bersama ahli keluarga yang selalu ditinggalkan sepanjang 'merantau' menyambung pengajian.

Urusan kehidupan manusia memang sibuk. Urusan atau amalan yang menjadi rutin harian merubah persepsi kita dari sibuk kepada tidak sibuk. Di sini kebosanan mudah hinggap di celahan minda yang tidak 'diaktifkan' (disibukkan) dengan aktiviti yang luar dari kebiasaan. Maknanya, untuk menghilangkan bosan, lakukan lah sesuatu yang jarang2 kita lakukan sebelum ini. Lewat menunggu mood yang hilang.


III

1. Di kalangan rakan2, sudah ada mereka yang merasai saat manis bergraduan. Antaranya, graduan Diploma. Ini suatu suntikan semangat buat saya (ketika itu) meneruskan perjuangan. Malangnya, saya tidak sempat menzahirkan secara rasminya ucapan sekalung dan setinggi2 tahniah buat mereka. Lewat kesibukan yang melanda di alam pengajian. Maka inilah kesempatan yang baik untuk saya zahirkan ucapan salam konvokesyen/graduasi buat semua.

Monday, October 05, 2009

Raya Aidilfitri 1430 Hijrah / 2009 Masihi

1. Raya Aidilfitri datang lagi. Semakin saya dewasa, semakin berbeza kelainan yang saya rasa. Walaupun 'skrip' suasana Raya Aidilfitri setiap kali disambut adalah lebih kurang sahaja, namun saya tetap selalu merasa kelainan dan perbezaan akan suasana sambutan, aktiviti, dan lain-lain.


2. Raya Aidilfitri sememangnya hari untuk muslim bersuka-ria, bergembira, dan 'berpesta' mengikut garis panduan sedia ada. Setelah mengharungi cabaran dan dugaan nafsu selama sebulan, maka tibalah hari kemenangan yang dijanjikan Tuhan, Allah s.w.t. Sebulan diperintahkan berpuasa dan mengerjakan tuntutan yang lain, sebulan juga masanya untuk kita meraikan kedatangan Syawal setelah berlalunya Ramadhan.


3. Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman mengenai sambutan atau cara pengisian aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat muslim di kawasan saya dewasa kini.


4. Budaya kunjung mengunjung merupakan aktiviti utama selepas mengerjakan takbir, solat sunat Aidilfitri, dan mendengar khutbah Aidilfitri. Seusai sahaja meninggalkan masjid/surau/musolla, kita akan balik ke rumah, bersalam-salaman dengan ahli keluarga, menjamu selera dan (mungkin) barulah bergerak berkunjung ke rumah jiran tetangga atau sanak-saudara.


5. Ada rumah yang hanya buat rumah terbuka secara biasa-biasa sahaja dan ada juga yang buat rumah terbuka dengan mengadakan majlis kenduri. Bagi yang buat biasa-biasa sahaja tidak kira miskin atau kaya, tetamu akan dihidangkan dengan juadah seperti kuih-muih, biskut, makanan lain secara sederhana. Cukup-cukup untuk yang hadir. Mungkin ini antara hikmah disyariatkan berzakat sempena Ramadhan. Supaya fakir dan miskin dapat sama-sama bergembira meraikan Aidilfitri dan menjamu tetamu yang berkunjung seadanya.


6. Majlis kenduri pula diadakan mengikut majlis yang dirancang. Sebagai contoh, majlis kenduri bercukur/bergunting rambut, kenduri tahlil, kenduri kahwin/bertunang, kenduri kesyukuran, kenduri hari lahir, kenduri ulang tahun perkahwinan dan lain-lain.


7. Apa yang menarik perhatian dengan aktiviti kenduri ini ialah, ianya mampu menarik sejumlah besar tetamu yang jauh mahupun dekat pada masa tersebut. Tenaga kerja juga, amat diperlukan untuk memastikan kelancaran majlis.


8. Namun, pada saya, ada beberapa 'jadual' rumah terbuka secara majlis kenduri ini kurang saya senangi. Namun, permasalahan ini amat rumit juga kerana masing-masing mempunyai sebab yang tersendiri.


9. Saya cuma rasa kurang senang hati bila jemputan majlis kenduri ini berlambak-lambak pada hari pertama hingga kelima pertama Hari Raya disambut. Kenapa semua orang berlumba-lumba untuk mengadakan kenduri pada waktu 'padat' & 'khas' itu? Bukankah sepatutnya hari-hari awal diluangkan untuk bersama-sama sanak saudara dan keluarga yang terdekat?


10. Bayangkan jika di kejiranan anda ada 10 majlis kenduri yang diadakan pada hari yang sama di awal-awal raya. Berat hati untuk menolak begitu sahaja semua jemputan lebih-lebih lagi bila ianya dari keluarga-keluarga. Kalau saya berstatus imam, memang memeningkan. Risau jika kita tidak datang, persepsi yang bukan-bukan timbul.


11. Elok kiranya kalau majlis tersebut bersesuaian diadakan pada hari-hari yang lain, maka adakan lah pada masa tersebut. Tunda dahulu bagi memberi peluang orang lain atau jiran tetangga kita berhari raya dengan sanak-saudara dan keluarga mereka. Tapi kalau tidak bersesuaian atau tidak kena pada waktu lain, apa boleh buat. Contohnya bila berkait dengan bab cuti. Tak pun, hari lahir kena pada raya pertama, uhu.


12. Keluarga sebelah ibu saya mempunyai 'tetapan' sendiri semasa sambutan hari raya aidilfitri. Saya fikir, ianya sesuatu yang unik dan perlu beberapa 'penambah-baikkan'.


13. Pada awal-awal hari raya, saya fikir orang di kampung adalah yang paling bergembira sekali. Berbanding di taman-taman perumahan atau pangsa di bandar. Di kampung, orang-orang kampung dan yang merantau akan bersua muka. Macam-macam aktiviti dibuat atas slogan, "Setahun sekali".


14. Di kampung Saab, Pitas, penduduk kampung dan yang di sekitarnya berkunjung-kunjungan di tanah perkuburan pada hari raya yang kedua. Di kawasan tanah perkuburan ini mereka berziarah, bertemu yang lain, dan menghidangkan juadah mereka buat tetamu yang menziarah kubur ahli keluarga mereka. Anda bebas bergerak dari satu kubur ke satu kubur yang lain untuk melilau-lilau mencari makanan yang anda suka. Macam-macam ada. Tapi kalau macam KFC/McD/Pizza Hut tu pula, maaflah. Anda salah tempat. Semua juadah disediakan di sebelah kubur, di tempat ahli keluarga arwah duduk. Ada juga yang berkumpul beramai-ramai dan menyedekahkan bacaan Al-Quran.


15. Antara alasan kenapa wujudnya budaya/adat ini ialah:-

a. Dibuat pada hari raya kedua, semata-mata memberi peluang untuk beraya dengan keluarga masing-masing, di tempat masing-masing pada raya pertama. Sebab itu bila raya kedua berjumpa di tanah kubur, ada kenalan yang datang dari jauh-jauh/semenanjung 'tunjuk muka' pada hari itu sahaja.

b. Tidak ada masalah ruang sempit untuk 'menyambut' tetamu yang ramai secara serentak. Di sana, semuanya dilayan sama sahaja. Duduk bersila di atas tanah. Ini berlainan dengan suasana di rumah.

c. Makanan yang dihidangkan buat tetamu memang mustahil akan habis sebab banyaknya makanan yang dihidang. Jadi, tiada kerisauan akan makanan tidak cukup.

d. Masa untuk 'bernostalgia' dengan keluarga. Ada yang raya lalu bersama-sama ke kuburan, raya kali ini kita pergi untuknya pula (dah meninggal).

e. Mengingatkan kepada kematian, Agama & Akhirat. (ini yang perlu diperhalusi sebab ada banyak perbahasan yang timbul)


16. Insya Allah pada penulisan yang akan datang, saya akan berkongsi beberapa gambar kenang-kenangan untuk raya kali ni..

17. Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Batin & Zahir ^^,

Thursday, October 01, 2009

Jemputan ke Majlis Konvokesyen UMS Ke-11 & Tamu Gadang

Semua Warga SMKA Tun Said dan Alumni
Kota Belud, Sabah


Mohd. Samizul bin Samad
Kampung Tanjung Kapor
Peti Surat 268, 89058 Bandar Kudat
Sabah
01 Oktober 2009


Assalamua'laikum w.b.t

Tuan/Puan,

Per: Jemputan ke Majlis Konvokesyen UMS yang Ke-11 dan Tamu Gadang UMS

Perkara di atas adalah dirujuk. Sukacitanya saya - bagi mewakili alumni SMKA Tun Said (SMATS) yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah - dengan penuh hormatnya menjemput tuan/puan untuk hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi Majlis Konvokesyen UMS yang Ke-11 dan Tamu Gadang UMS. Butiran majlis adalah seperti yang berikut:-

Perkara: Majlis Konvokesyen UMS Ke-11
Tarikh: 10 - 13 Oktober 2009
Tempat: Dewan Canselor, UMS
Maklumat lanjut: http://bpa.ums.edu.my/Konvokesyen/Main_Konvo.asp

Perkara: Tamu Gadang
Tarikh: 06 - 13 Oktober 2009
Tempat: Sekitar Dewan Canselor & perkarangan HEP UMS
Maklumat lanjut: http://www.ums.edu.my


2. Majlis Konvokesyen kali yang ke-11 ini mempunyai makna & sejarahnya tersendiri terutamanya buat SMATS, di mana seramai tiga orang alumni SMATS akan dianugerahkan sijil Ijazah Sarjana Muda mereka masing-masing pada majlis tersebut. Jika tidak silap, mereka ini adalah alumni SMATS yang pertama yang (akan) menerima sijil Ijazah Sarjana Muda. Butiran* alumni SMATS yang berkonvokesyen adalah seperti yang berikut:-

a. Affendy bin Derisa - Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Akuakultur)
b. Rosmawati binti Jamdan - Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Kimia Industri)
c. Mohd. Samizul bin Samad - Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Sekitaran/Environmental Science)

*Sidang 3, 12 Oktober 2009, Sesi Pagi, Sebelah Kiri Dewan.


3. Diharapkan juga, agar jemputan ini dapat tuan/puan khabarkan pada warga SMATS dan alumni yang lain.


4. Akhir kata, besarlah harapan kami agar tuan/puan dapat turut bersama-sama kami memeriahkan lagi Majlis Konvokesyen dan Tamu Gadang ini. Segala perhatian dan kerjasama dari tuan/puan amat kami hargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Wassalam.


Mohd. Samizul bin Samad
Pengerusi AJK Penubuhan Persatuan Alumni SMKA Tun Said (PASMATS)
Kota Belud, Sabah