Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Monday, October 05, 2009

Raya Aidilfitri 1430 Hijrah / 2009 Masihi

1. Raya Aidilfitri datang lagi. Semakin saya dewasa, semakin berbeza kelainan yang saya rasa. Walaupun 'skrip' suasana Raya Aidilfitri setiap kali disambut adalah lebih kurang sahaja, namun saya tetap selalu merasa kelainan dan perbezaan akan suasana sambutan, aktiviti, dan lain-lain.


2. Raya Aidilfitri sememangnya hari untuk muslim bersuka-ria, bergembira, dan 'berpesta' mengikut garis panduan sedia ada. Setelah mengharungi cabaran dan dugaan nafsu selama sebulan, maka tibalah hari kemenangan yang dijanjikan Tuhan, Allah s.w.t. Sebulan diperintahkan berpuasa dan mengerjakan tuntutan yang lain, sebulan juga masanya untuk kita meraikan kedatangan Syawal setelah berlalunya Ramadhan.


3. Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman mengenai sambutan atau cara pengisian aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat muslim di kawasan saya dewasa kini.


4. Budaya kunjung mengunjung merupakan aktiviti utama selepas mengerjakan takbir, solat sunat Aidilfitri, dan mendengar khutbah Aidilfitri. Seusai sahaja meninggalkan masjid/surau/musolla, kita akan balik ke rumah, bersalam-salaman dengan ahli keluarga, menjamu selera dan (mungkin) barulah bergerak berkunjung ke rumah jiran tetangga atau sanak-saudara.


5. Ada rumah yang hanya buat rumah terbuka secara biasa-biasa sahaja dan ada juga yang buat rumah terbuka dengan mengadakan majlis kenduri. Bagi yang buat biasa-biasa sahaja tidak kira miskin atau kaya, tetamu akan dihidangkan dengan juadah seperti kuih-muih, biskut, makanan lain secara sederhana. Cukup-cukup untuk yang hadir. Mungkin ini antara hikmah disyariatkan berzakat sempena Ramadhan. Supaya fakir dan miskin dapat sama-sama bergembira meraikan Aidilfitri dan menjamu tetamu yang berkunjung seadanya.


6. Majlis kenduri pula diadakan mengikut majlis yang dirancang. Sebagai contoh, majlis kenduri bercukur/bergunting rambut, kenduri tahlil, kenduri kahwin/bertunang, kenduri kesyukuran, kenduri hari lahir, kenduri ulang tahun perkahwinan dan lain-lain.


7. Apa yang menarik perhatian dengan aktiviti kenduri ini ialah, ianya mampu menarik sejumlah besar tetamu yang jauh mahupun dekat pada masa tersebut. Tenaga kerja juga, amat diperlukan untuk memastikan kelancaran majlis.


8. Namun, pada saya, ada beberapa 'jadual' rumah terbuka secara majlis kenduri ini kurang saya senangi. Namun, permasalahan ini amat rumit juga kerana masing-masing mempunyai sebab yang tersendiri.


9. Saya cuma rasa kurang senang hati bila jemputan majlis kenduri ini berlambak-lambak pada hari pertama hingga kelima pertama Hari Raya disambut. Kenapa semua orang berlumba-lumba untuk mengadakan kenduri pada waktu 'padat' & 'khas' itu? Bukankah sepatutnya hari-hari awal diluangkan untuk bersama-sama sanak saudara dan keluarga yang terdekat?


10. Bayangkan jika di kejiranan anda ada 10 majlis kenduri yang diadakan pada hari yang sama di awal-awal raya. Berat hati untuk menolak begitu sahaja semua jemputan lebih-lebih lagi bila ianya dari keluarga-keluarga. Kalau saya berstatus imam, memang memeningkan. Risau jika kita tidak datang, persepsi yang bukan-bukan timbul.


11. Elok kiranya kalau majlis tersebut bersesuaian diadakan pada hari-hari yang lain, maka adakan lah pada masa tersebut. Tunda dahulu bagi memberi peluang orang lain atau jiran tetangga kita berhari raya dengan sanak-saudara dan keluarga mereka. Tapi kalau tidak bersesuaian atau tidak kena pada waktu lain, apa boleh buat. Contohnya bila berkait dengan bab cuti. Tak pun, hari lahir kena pada raya pertama, uhu.


12. Keluarga sebelah ibu saya mempunyai 'tetapan' sendiri semasa sambutan hari raya aidilfitri. Saya fikir, ianya sesuatu yang unik dan perlu beberapa 'penambah-baikkan'.


13. Pada awal-awal hari raya, saya fikir orang di kampung adalah yang paling bergembira sekali. Berbanding di taman-taman perumahan atau pangsa di bandar. Di kampung, orang-orang kampung dan yang merantau akan bersua muka. Macam-macam aktiviti dibuat atas slogan, "Setahun sekali".


14. Di kampung Saab, Pitas, penduduk kampung dan yang di sekitarnya berkunjung-kunjungan di tanah perkuburan pada hari raya yang kedua. Di kawasan tanah perkuburan ini mereka berziarah, bertemu yang lain, dan menghidangkan juadah mereka buat tetamu yang menziarah kubur ahli keluarga mereka. Anda bebas bergerak dari satu kubur ke satu kubur yang lain untuk melilau-lilau mencari makanan yang anda suka. Macam-macam ada. Tapi kalau macam KFC/McD/Pizza Hut tu pula, maaflah. Anda salah tempat. Semua juadah disediakan di sebelah kubur, di tempat ahli keluarga arwah duduk. Ada juga yang berkumpul beramai-ramai dan menyedekahkan bacaan Al-Quran.


15. Antara alasan kenapa wujudnya budaya/adat ini ialah:-

a. Dibuat pada hari raya kedua, semata-mata memberi peluang untuk beraya dengan keluarga masing-masing, di tempat masing-masing pada raya pertama. Sebab itu bila raya kedua berjumpa di tanah kubur, ada kenalan yang datang dari jauh-jauh/semenanjung 'tunjuk muka' pada hari itu sahaja.

b. Tidak ada masalah ruang sempit untuk 'menyambut' tetamu yang ramai secara serentak. Di sana, semuanya dilayan sama sahaja. Duduk bersila di atas tanah. Ini berlainan dengan suasana di rumah.

c. Makanan yang dihidangkan buat tetamu memang mustahil akan habis sebab banyaknya makanan yang dihidang. Jadi, tiada kerisauan akan makanan tidak cukup.

d. Masa untuk 'bernostalgia' dengan keluarga. Ada yang raya lalu bersama-sama ke kuburan, raya kali ini kita pergi untuknya pula (dah meninggal).

e. Mengingatkan kepada kematian, Agama & Akhirat. (ini yang perlu diperhalusi sebab ada banyak perbahasan yang timbul)


16. Insya Allah pada penulisan yang akan datang, saya akan berkongsi beberapa gambar kenang-kenangan untuk raya kali ni..

17. Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Batin & Zahir ^^,

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!