Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Tuesday, December 08, 2009

Cetusan Hati: Suria Sabah, PBT Sabah dan Marhaen Sabah

Pembangunan acapkali dikaitkan dengan maksud kemajuan. Namun, membangun tidak selalunya bermaksud maju. Secara mudah, untuk maju kita perlu 'bangun'.

Pembangunan selalu dicanang supaya seimbang antara dua tuntutan utama iaitu tuntutan fizikal atau material, dan tuntutan rohani atau moral. Di bawah tuntutan fizikal tadi, pelbagai pecahan aspek lagi yang perlu kita 'tunaikan' demi melihat tuntutan fizikal tadi kelihatan sempurna (terbaik atau ideal). Sebagai contoh, tuntutan fizikal itu perlu mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada, isu-isu yang berkait dengan alam sekitar, keselamatan, kebajikan dan lain-lain.

Tuntutan rohani pula menjurus kepada 'dalaman' ataupun 'kuasa input' bagi menyeimbangkan peranan aspek-aspek dalam pecahan tuntutan fizikal tadi. Sebagai contoh, kita bukan sekadar mengitar atau mengguna semula bahan-bahan terpakai kerana kita akan diberikan bayaran tetapi juga mengajar diri dan masyarakat kita supaya benar-benar sedar kepentingan berjimat cermat dan mengelak pembaziran.

Ini menurut pemahaman mudah saya.

Baru-baru ini, Suria Sabah Shopping Mall dibuka dengan rasminya (Berita-1). Ianya dibina berhampiran pelabuhan Kastam Sabah, di jalan Haji Saman. Seperti yang kita sedia maklum, kawasan 'Kota Kinabalu baru' seperti Pasar Besar, KK Plaza, Centre Point dan yang 'sebaris' dengannya merupakan kawasan pesisir pantai dan paya bakau yang ditimbus. Kawasan Suria Sabah itu pula kawasan perairan yang baharu ditimbus.




Sejak mula melihat kerja-kerja pembinaan di situ, saya tidak tertarik mengenai bangunan yang bakal disergam indah. Begitu juga dengan 'rangkaian' 1Borneo yang lebih dahulu wujud dari gagasan 1Malaysia. Paling-paling pun tertarik dengan ayat "Tiada Jalan Mati" (Suria Sabah) dan "Kompleks Beli-Belah Terbesar di Borneo" (1Borneo Hypermall).


1Borneo Hypermall


Kita selalu melihat, mendengar atau membaca berita/khabar mengenai pembangunan yang melibatkan kawasan membeli belah, perumahan, kawasan peranginan, dan bangunan-bangunan lain. Umumnya, aktiviti sedemikian rancak di kawasan bandar ataupun pinggir bandar. Manakala di luar bandar pula, aktiviti pembangunan seperti jalan raya, paip air, wayar elektrik dan telefon, bangunan sekolah, dan lain-lain kemudahan asas menjadi keutamaan.

Pembangunan yang disebut tadi wajar dilaksana terutamanya di kawasan luar bandar yang masih dibelenggu masaalah ketiadaan atau kekurangan kemudahan asas. Manakala di kawasan bandar pula, saya fikir, ianya patut kurang rancak bagi memberi peluang mana-mana aspek yang keciciran dalam arus pesat pembangunan diberi fokus utama. Sudah tentu aspek keciciran tadi melibat sama beberapa golongan tertentu yang kelihatan 'seperti melukut di tepi gantang', 'beban' dan 'dilema'. Contohnya penduduk tempatan yang masih lagi 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' di bandar yang dahulunya kampung yang mereka diami turun-temurun. Malah ada juga yang mungkin 'kais pagi makan malam' di sana. Begitu juga isu-isu moral, kebanjiran pendatang asing tanpa izin, jenayah sivil dan sebagainya.

Bila saya maklum akan rasminya Suria Sabah dibuka kepada umum, saya berasa 'ketidak pedulian' saya sewaktu mula dibina dahulu kini bagai 'terjawap'. Saya terfikir, kenapa pembangunan seperti ini terlalu 'disuburkan' di kawasan bandar. Saya tidak bermaksud menghalang niat pemaju tetapi saya ingin mempersoal tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilihat mudah dan 'bersungguh-sungguh' menjayakan projek-projek yang sering bersifat mengutamakan laba keuntungan. Bukan mendahulukan kepentingan rakyat.

Projek-projek sebegini sudah tentu (ada yang) menimbus laut, menggondolkan bukit, tanah, paya, sawah, hutan, tempat tinggal orang dan pelbagai lagi kesan langsung terhadap manusia dan alam sekitar. Sawah itu pemiliknya orang dan hutan itu 'kediaman rasmi' hidupan lain seperti orang utan.

Kerajaan/PBT selalu menimbus laut, meratakan bukit, mengorek tanah dasar sungai dan bermacam lagi cara untuk projek-projek atas nama 'pembangunan rakyat' seperti Kompleks Beli-Belah berbanding berbuat demikian untuk kepentingan golongan keciciran seperti yang saya sebut tadi.

Saya tertanya-tanya sendirian, untuk siapa sebenarnya lambakan pembangunan seperti itu? Anda punya jawapan?


Kudat Bypass di atas tanah sawah di Kota Belud


Tidak dinafikan, memang wujud suatu bentuk pembangunan yang manfaatnya untuk rakyat. Banyak. Tapi, majoriti pembangunan itu tuntutannya jelas tidak seimbang. Jawapan saya, ianya kerana tuntutan moral hanya sedikit disuntik dalam agenda pembangunan tersebut. Buktinya, banyak permasalahan berlaku sebelum, semasa dan selepas agenda pembangunan dimulakan. Gambar di atas dan di bawah merupakan 'sokongan kecil' kepada pendapat saya.


Gerai tepi jalan yang ingin dirobohkan (Berita-2)


Lama sebelum isu ini meraih perhatian saya, menyusul sebelumnya isu-isu bangunan runtuh. Stadium runtuh, siling runtuh, jambatan runtuh.. Belum lagi mencampurkannya dengan isu integriti badan-badan kehakiman atau berkecuali yang selalu 'punah' tahap integriti dan profesionalisme mereka.

Saya merasa benar-benar simpati dan kasihan kepada penduduk kampung di Kota Belud (KB) yang terlibat dalam isu Kudat Bypass ini. Kudat Bypass memudahkan saya dan orang awam yang ingin ke utara Sabah. Semua tahu laluan di KB banyak yang tidak selamat dan sesak selama ini. Laluan ini (Kudat Bypass) suatu alternatif baik bagi mengurangkan kesesakan di pekan KB dan lebih selamat. Saya dukacita dan kesal dengan pihak yang menguruskan projek tersebut dan juga PBT di sana. Masalah ini sepatutnya, kalaupun timbul, biarlah tidak 'dipanaskan' lagi. Isu pampasan yang tidak setimpal, belum dibayar, bertindak dengan rendah budi bicara terhadap penduduk kampung yang tidak arif undang-undang dan pelbagai lagi gaya yang boleh dimengertikan sebagai tidak adil, menindas dan zalim. Ini sungguh menjengkelkan saya.

Apalah makna indah pada bangunan Statue of Liberty yang melambangkan erti dan semangat kemerdekaan jika yang membinanya para hamba sahaya. Apalah kegembiraan sebenar yang ada pada sebuah pakej ransangan berbilion ringgit jika ramai marhaen masih fakir-miskin-mundur saban tahun. Apalah nikmat bahagia yang ada pada sebuah pembangunan atas tiket kemajuan jika marhaen disekitarnya terus hidup terhimpit, melarat dan bulat-bulat ditindas oleh gerombolan fahaman kapitalis hari demi hari.




MSS LaWLiET
Kudat, Sabah
20 Zulhijjah 1430 Hijrah @ 07/12/09

4 comments:

  1. hurmmm. tu lah masalah kita skarang ni... pembangunan yang tidak seimbang... kadang mau salah kan pemaju tak boleh juga.. memang tujuan dorang mau untung... dan mereka juga melabur dengan duit sendiri..
    cuma masalah sekarang pihak berkuasa lah... senang cakap kerajaan kena ambil tindakan.. jangan salurkan dana untuk yang dibandar saja.. ngeee~ cuma pandangan..

    ReplyDelete
  2. @Zulkifly Omar Iya, memang jelas nda seimbang. Kalau kita tengok dari sudut tuntutan fizikal tu ja, memang nyata nda seimbang. Tengoklah kualiti binaan. Belum lagi masuk isu budaya SubKon [Sub-Kontraktor].

    Pemaju patut 'dididik' sama untuk 'punya kasih dan perasaan' kepada marhaen. Siapa lagi yang berada di hadapan untuk melindungi marhaen kalau bukan kerajaan/pihak berkuasa/pihak bertanggungjawab. Sifat 'tamak semulajadi' pemaju wajib dikawal. Sebab diorang ni contoh golongan cukong/berTuhankan wang kertas.

    Samalah pandangan kita Zul. Kerajaan perlu tegas dan luar bandar juga perlu dimajukan. Maju dari segi pendidikan, kemudahan asas dan lain2 yang penting pun dah cukup. Nda payah bangunan2 besar yang mendera alam.. ^^,

    ReplyDelete
  3. luvi pun xtaw utk sapa sbnrnya lmbkn pmbgunan trsbut..klu nak kta utk rkyt, rmai rkyt sbh yg xmmpu mmbli blh d sna..pling2 pun prgi giant ja lah...kdai len yg mwh2, sapa lah yg nak msuk. urmm..mgkin bgi "mrka" pmbngunan yg mlmpau d bndr akn mngukur sjauhmna majunya negeri trsebut. shinggakn pkn2 kecil jauh ktinggalan...d malaysia, yg kaya smakin kaya, yg mskin smkin mskin...

    ReplyDelete
  4. @supergurlzs_89 Pembangunan di Malaysia ni kalau kawasan bandar selalu tertumpu khusus untuk pelancong. Pelancong > utama berbanding tempatan. Sebab tu semuanya bercirikan Barat. Dari bahasa, sampai isi didalamnya..

    Ini semua bahana sistem ekonomi kapitalis.. ^^,

    ReplyDelete

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!