Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Monday, December 21, 2009

Mesyuarat Agung Persatuan Belia Muslim Daerah Kudat


PENDAHULUAN / MUKADDIMAH

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menyertai aktiviti terpenting dalam suatu persatuan - Persatuan Belia Muslim Kudat (PBMK) - pada 19/12/09, hari Sabtu yang lalu.

Pada saya, ia mempunyai simbolik dan makna tersendiri. Tidak pasti jika ramai yang mengetahui bahawa dalam minggu ini (14 - 20hb Disember) mencatat sejarah besar dalam banyak perkara. Bermula 14hb yang lalu di mana usul Bajet 2010 hampir-hampir tidak diluluskan Dewan Rakyat ekoran undi belah bahagi (66-63), pencapaian emas Sukan Sea (Bola Sepak, Badminton, Renang dll), Sambutan Maal Hijrah 1431H (Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi datang memberi ceramah sempena Maal Hijrah), sehinggalah ke isu politik iaitu Konvensyen Pakatan Rakyat.

Di Kudat, kita tidak ketinggalan melakar sejarah buat suatu permulaan yang akan mencipta sejarah nanti.

Kita, seperti belia-belia muslim yang lain yang punya kesedaran dan nilai intelek yang baik, berhimpun demi menjayakan agenda penting suatu persatuan yang bakal 'menambah warna' landskap berpersatuan di daerah Kudat.

Acara yang julung kali diadakan ini secara tidak langsung merapatkan lagi ikatan persaudaraan sesama ahli dan mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti luar akademik. Mesyuarat ini juga menyaksikan pembentukan carta organisasi baru yang dihiasi oleh wajah baru dan lama (orang kuat) yang bakal merencana dan melaksana dasar-dasar, rangka-rangka halatuju PBMK bagi sesi 2010/2012.

Kita telah mengetahui dan mendengar sendiri sejarah penubuhan PBMK dan ucapan harapan-impian dari jemputan khas dan 'orang kuat' persatuan ini. Kita juga telah membuat satu 'pilihanraya kecil' bagi memilih kepimpinan baru dan rasmi bagi mengerakkan PBMK bersama-sama dengan semua lapisan pihak terutamanya ahli persatuan dan belia-belia muslim di daerah ini.

Saya gembira kerana proses mesyuarat agung ini berjalan dengan harmoni dan baik. Semua yang hadir memanfaatkan peranan masing-masing dalam mesyuarat ini terutamanya ahli-ahli biasa yang memilih siapa selayaknya menjadi pemimpin. Semoga kita terus dapat memainkan peranan dan aktif menyumbang dari segala segi yang kita mampu di dalam PBMK bagi faedah bersama, insya Allah.


Pengerusi Majlis merangkap Pengerusi Penaja PBMK yang seterusnya menjadi YDP PBMK


HIMPUNAN CADANGAN

Saya mengikuti mesyuarat agung PBMK dari mula sehingga tamat. Justeru, saya mempunyai beberapa cadangan bagi memantapkan lagi PBMK dari beberapa sudut yang sempat saya fikirkan semasa dan selepas majlis selesai. Cadangan ini mungkin ada yang berbentuk komen dan idea baharu.

1. Protokol Majlis

a. Saya bersetuju mesyuarat agung yang julung kali diadakan telah berlangsung secara semi-formal. Ini mengambil kira faktor hadirin dan juga persiapan baik dari segi penganjur majlis (Ajk) dan juga tempat.

b. Dari segi kehadiran peserta, saya kira ianya memuaskan terutama di pihak perempuan (muslimat). Mereka dapat menggunakan peluang mereka sebaiknya dalam proses pengundian. Ini memberi kelebihan besar kepada mereka. Rata-rata mereka adalah junior. Peserta dari pihak lelaki (muslimin) agak kurang memuaskan kerana rata-rata yang hadir adalah 'senior'.

c. Dari segi susun-atur majlis, saya fikir aspek kedudukan peserta (tempat duduk) perlu dikemaskan semula agar lebih teratur. Pihak Ajk boleh membuat pengasingan tempat duduk peserta lelaki dan perempuan bagi keselesaan bersama.

d. Dari segi proses pengundian dan lain-lain aspek, ianya adalah baik kerana kelemahan yang ada adalah terpencil.


2. Ahli Jawatankuasa PBMK sesi 2010/2012

a. Satu aktiviti yang berbentuk motivasi perlu diadakan dalam masa yang terdekat. Ini selalu disebut sebagai 'Retreat Pimpinan'. Ianya bertujuan supaya setiap pimpinan bersemangat dan jelas akan peranan besar masing-masing dalam memperkukuhkan diri, kepimpinan, ahli-ahli yang lain, dan juga PBMK. Ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti dan imej diri serta PBMK kepada semua.

b. Ahli Majlis Tertinggi (MT) bermula dari Yang Dipertua (YDP) sehingga Bendahari perlu memegang atau memantau satu atau dua Lujnah yang berkaitan bagi tujuan penyelarasan dan kelancaran gerakerja. Berikut contoh idea* dari pengalaman saya:-

- YDP memantau Lujnah Hubungan Luar

- Timb. YDP bersama Naib YDP memantau Lujnah Tarbiah dan Pendidikan, Lujnah Keceriaan dan Kesenian dan Lujnah Sukan dan Rekreasi

- Setiausaha bersama Timb. Setiausaha memantau Lujnah Publisiti dan Penerangan dan Lujnah IT dan Blogger.

-Bendahari memantau Lujnah Kebajikan

*Hal ini boleh dijelaskan selanjutnya menjelang mesyuarat persatuan

c. Menjelang mesyuarat persatuan yang seterusnya, berikut merupakan perkara-perkara yang perlu dimasukkan di dalam agenda mesyuarat (Diharap semua AJK hadir):-

- Retreat Pimpinan

- Promosi menjadi ahli PBMK (menambah keahlian, keistimewaan menjadi ahli dsb)

- Perbincangan secara kritikal mengenai cadangan-cadangan program atau aktiviti yang ingin dilaksanakan.

- Penglibatan PBMK dalam isu-isu semasa dan setempat. Ini antaranya bermaksud, penglibatan PBMK dalam program atau aktiviti pihak lain yang memerlukan kerjasama PBMK.


3. Ahli-ahli biasa PBMK

a. Buat masa sekarang, bilangan keahlian adalah masih kecil. Tetapi sambutan dari pihak luar terutamanya sekolah-sekolah amat menggalakkan. Justeru, ahli-ahli biasa PBMK perlu menjadikan PBMK sebagai suatu landasan untuk memaju dan menambahkan nilai diri masing-masing. Gunakan penglibatan ini untuk mencambahkan idea-idea anda dan kongsikan bersama rakan-rakan ahli dan pihak lain. Anda memainkan peranan yang sama penting seperti YDP yang mana tanpa anda semua, tidak akan ke mana-mana PBMK ini.


PENUTUP

Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan terima kasih buat penganjur yang menjayakan mesyuarat agung PBMK bagi perlantikan pimpinan sesi 2010/2012. Tahniah dan Takziah buat para pimpinan yang diberikan amanah untuk menggalas tanggungjawab memimpin persatuan ini dalam mendepani persekitaran daerah Kudat yang amat memerlukan 'kepedulian' seperti yang kita ada. Kepada semua di dalam persatuan ini, marilah kita bersama-sama bangun berdiri, melangkah gerak dan berpegangan erat dalam melaksana dan menjayakan misi dan visi PBMK dalam menyumbang ke arah pembangunan Ummah, Daerah, Negeri dan seterusnya Negara kita yang tercinta.

Selamat berjuang dan teruskan perjuangan...!


Mohd. Samizul bin Samad
Persatuan Belia Muslim Daerah Kudat (PBMK)

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!