Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Saturday, December 26, 2009

Syor bukan Islam kena tindakan jika khalwat

Baki Miinuddin,
Ampang.


RAKYAT bukan Melayu atau bukan Islam selalu mempersoalkan hak istimewa Melayu walaupun acap kali mereka yang sebenarnya menikmati hak istimewa ini menerusi kaitan baik mereka dengan orang Melayu berkedudukan tinggi atau mendapat kontrak menerusi kontraktor Melayu yang selalunya kesempitan aliran tunai atau orang Melayu yang sememangnya hidup sebagai ali baba.

Tetapi yang saya hendak paparkan di sini ialah 'hak istimewa' orang bukan Islam iaitu apabila ditangkap berkhalwat dengan wanita Islam, mereka tidak menghadapi sebarang hukuman kerana undang-undang syariah hanya membabitkan orang Islam.

Kita tentu berasa amat sedih dan geram apabila terbaca di akhbar berita wanita Islam ditangkap berkhalwat dengan lelaki bukan Islam. Selalunya wanita Islam yang kena tangkap ini bekerja di rumah urut, spa dan sebagainya dengan pelbagai kisah sedih masing-masing.

Kita akui memang ada wanita Islam yang memasuki kerja maksiat ini semata-mata untuk hidup mewah kerana bagi mereka, ini pun satu jenis pekerjaan juga, mereka tidak menyusahkan sesiapa.

Bagi mereka ini maruah, bahaya kesihatan diri dan kehormatan tidak jadi soal kerana alasan mereka ialah apabila susah siapa hendak tolong atau andaian mereka, ramai orang Islam terhormat malah yang bertudung pun menjadi kaya dengan rasuah, menipu dalam perniagaan dan sebagainya.

Apa pun selepas ditangkap, bermulalah episod perjalanan sedih wanita Islam ini iaitu menyiapkan wang denda, mungkin kena beli pula pakaian Islam apabila ke mahkamah syariah nanti manakala 'pintu' rezeki juga tertutup kerana tak dapat lagi keluar 'bekerja' takut-takut ditangkap lagi.

Pada saat inilah wanita Islam ini berasa amat tertekan hinggakan yang ada sedikit iman pun akan dirasuk syaitan supaya menukar agama saja. Malangnya apabila kena tangkap dengan lelaki bukan Islam, wanita Islam inilah yang menanggung beban sendiri.

Lelaki bukan Islam pasangannya menikmati hak istimewa, tidak kena denda, tidak tanggung malu, malah mereka sendiri mungkin berasa hairan kerana tidak dikenakan sebarang tindakan.

Di samping itu, ramai orang bukan Islam menjadi kaya raya dengan perniagaan memperdagangkan wanita Islam, sama ada di spa atau karaoke hingga ke bidang lain seperti hiburan.

Kadang-kala bekerja di rumah orang bukan Islam pun mendatangkan pelbagai bahaya kepada wanita Islam.

Sampai bila orang Islam saja menjadi mangsa walhal rakyat bukan Islam yang menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini juga mesti turut sama menegakkan Islam kerana ini juga untuk kebaikan mereka.

Saya ingin mengesyorkan dalam kes khalwat, bersekedudukan dan sebagainya dengan wanita Islam, orang bukan Islam juga perlu dihukum lebih berat daripada wanita Islam pasangannya. Pelbagai undang-undang boleh digunakan atau digubal seperti undang-undang menghina Islam sebagai agama rasmi.


Sumber: Berita Harian, Ruangan Surat, Edisi 03 Disember 2009

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!