Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Saturday, May 15, 2010

Hari Guru Malaysia 2010

Nota: Perutusan dari Majlis Penaja Alumni SMATS sempena Hari Guru Malaysia 2010




Hari Guru Malaysia kembali lagi. Tanggal 16 Mei setiap tahun, hari tersebut sinonim dengan perayaan Hari Guru di Malaysia. Meskipun ianya tidak diwartakan sebagai hari cuti umum, sambutannya tetap dijalankan dan dimeriahkan di sekolah-sekolah terutamanya.

Hari Guru mempunyai banyak makna dan maksud yang tersendiri. Secara umum, ianya merupakan tanda peringatan kepada insan yang bergelar guru, cikgu, atau pendidik. Hari ini digazetkan untuk membawa masyarakat kita supaya terus mengenang dan menyanjung jasa warga pendidik.

Menelusuri sejarah, hari 16 Mei ini dipilih kerana pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu [Federal Legislative Council] telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran [Report of the Education Committee] sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Terlalu besar pengorbanan dan bakti yang dicurahkan oleh para guru. Guru bukan sahaja mengajar kita, tetapi juga mendidik kita untuk menjadi seorang yang berguna bila dewasa kelak. Tugas memanusiakan manusia bagai dikongsi bersama antara ibubapa dan guru.

Allahyarham Sasterawan Negara [SN] Usman Awang dalam sajaknya yang bertajuk 'Guru oh Guru' cukup menjelaskan betapa mulianya seorang guru...


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca


Marilah kita sekalian terus bersama-sama menerapkan nilai-nilai mulia seorang guru di dalam jiwa dan amalan kita sebagai balasan untuk mereka yang menjadi pendidik kita. Walaupun kita bukanlah seorang guru, tetapi jadilah kita seorang yang berjiwa pendidik yang terus mampu mendidik bukan sahaja diri kita, tetapi sesiapa sahaja yang ada di sekeliling kita. Terus berusaha untuk mendidik diri kita dengan menuntut dan mencurahkan ilmu, dan didiklah sekeliling kita dengan akhlak dan pekerti yang mulia, insya-Allah.

Kepada rakan-rakan atau kenalan yang telah menyahut cabaran menjadi seorang guru, syabas saya ucapkan. Semoga anda semua menjadi pelapis yang hebat sebagaimana guru-guru kita dalam mendepani cabaran masa hadapan. Masa mereka telah berlalu. Masa hadapan adalah waktu kita.

Kepada para guru seluruhnya, saya - secara peribadi dan bagi mewakili rakan-rakan di dalam Majlis Penaja Alumni SMATS - mengambil kesempatan sempena Hari Guru ini mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua warga pendidik yang telah mencurah bakti dan ilmu kepada kami sejak kami mula melangkah ke alam persekolahan, berjaya di menara gading, dan sampai bila-bila. Terima kasih yang tidak terhingga, jasa dan baktimu dikenang buat selamanya. Moga Allah s.w.t membalas pengorbanan para pendidik dengan anugerah yang cukup nikmat, bahagia dunia akhirat, insya-Allah.   

Akhir kata, terimalah lagu ini dari kami...

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA
 
Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota


Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya


Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta


Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia



Sekian, Selamat Menyambut Hari Guru Malaysia!


Mohd. Samizul bin Samad
Pengerusi
Majlis Penaja Alumni SMATS


Rujukan dan Kredit:
01: Sejarah - [KLIK]
02: Sajak - [KLIK]
03: Lagu - [KLIK]
04: Gambar - [KLIK]

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!