Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Sunday, August 29, 2010

Sungkai Ex-SMATS 2010

Agak nostalgia tulisan kali ini.

Aku cukup gembira bila melihat kenalan semasa di SMATS dulu, bertemu dan buat aktiviti beramai2. Bila bertemu ramai2, dan ada aktiviti yang dibuat hatta minum2 kupi di kedai pun sudah dikira reunion.

Setahu aku, ini antara aktiviti sungkai [berbuka puasa] Ex-SMATS yang pertama di semenanjung secara 'besar2an'. Mungkin ada yang lain, tapi luar dari pengetahuanku. Mungkin juga sungkai itu tidak dibuat secara terbuka.

Pada 25.09.2008 - lebih dua tahun yang lalu - juga ada aktiviti sungkai Ex-SMATS. Aku kira, ini yang pertama kali dibuat. Empat tahun selepas generasi pertama keluar meneruskan 'pengajian' di luar kehidupan SMATS.

Aku sertakan beberapa keping gambar buka puasa tersebut, sebagai gamitan memori. Selebihnya, boleh dilihat di profil Friendster ku ;)

Sebelum berbuka..


Semasa berbuka..


Semasa menanti hidangan, hua2.


Buka puasa ini dibuat di Restoran Sempelang, Sinsuran, Kota Kinabalu.

Baru2 ini, sungkai Ex-SMATS datang lagi. Kali ini, di semenanjung. Tempatnya, Restoran Chicken Rice Shop, Lembah Klang [Mid Valley], Kuala Lumpur. Dari gambar2 di Facebook yang aku tengok, ianya cukup meriah. Lebih2 lagi ianya diserikan dengan kehadiran dua 'orang kuat' SMATS, iaitu Ust. Abdullah Mad Din, mantan Pengetua SMATS [2000-2004] dan Ust. Kamarulzaman Ideres, guru Bahasa Arab [2000-200x]. Maaf nda ingat bila ust. Kamal pindah, ehe.

Aku pasti ianya adalah inisiatif dan kerja keras para Ex-SMATS yang berada di semenanjung. Apa yang membanggakan, ianya dirancang tanpa melihat batasan pelajar-bukan pelajar, dan juga generasi [batch]. Asal pernah di Ex-SMATS, semua dijemput sama. Begitu lebih baik, jika rancangannya adalah terbuka.

Sungkai Ex-SMATS di Semenanjung pada 27.08.2010


 Mantan Pengetua pertama SMATS, Ust. Abdullah [tengah]. Ust. Kamal, sebelah kanan dan Zulhilmi Jabli [1st Batch] di sebelah kiri [membelakang].


Kredit untuk Ilzan Natul Padli, [2nd Batch] sebab sudi beri izin untuk ambil gambar, ehe.

Insya Allah, pada selasa ini bersamaan Hari Ulangtahun Kemerdekaan 31 Ogos, juga akan dibuat satu lagi majlis sungkai Ex-SMATS di Kota Kinabalu. Kali ini, di Novotel KK 1Borneo. Diusahakan oleh Affendy Derisa [1st Batch]. Maklumat lanjut, bolehlah tengok screenshots ku ni.

Maklumat lanjut, hubungi Fendy segera.


Aku mau datang juga.. kalau dibuat 30hb, ehe.


Apapun, SYABAS dan TAHNIAH atas penganjuran dan usaha yang telah kalian laksanakan. Semoga, di masa akan aktiviti kita Ex-SMATS bertambah mantap. Pada yang terlepas peluang, moga berpeluang lagi untuk turut serta memeriahkan. Rajin2lah saling berhubungan di kalangan Ex-SMATS.

Moga suatu masa nanti, aktiviti Ex-SMATS dapat dipelbagaikan lagi dan terus mekar segar di balik imbauan kenangan yang semakin jauh berlalu.

Selamat Berpuasa dan Selamat Berbuka Puasa.
 
Salam Ramadhan 1431 Hijrah dan Salam 1SMATS.


Mohd. Samizul bin Samad
Tenom, Sabah
29.08.2010

Saturday, August 28, 2010

Rekod dan Hari Merdeka

Sempena kita berada di bulan Ramadhan dan juga bulan Kemerdekaan ini, banyak peristiwa dan hal2 berlaku - dalam pengetahuan saya - di sini sana.

Bilakah Malaysia merdeka? Sudahkah Malaysia wujud pada tanggal 31.08.1957?

Bilakah Sabah dan Sarawak merdeka?

Apa dia Hari Merdeka dan Hari Malaysia?

Ini semua soalan cepu berlian. Campur tangan politik menjadikan bacaan karya daripada para Sarjana, kita kadang kala terbabas.

Saya baru mendengar berita SabahFM siaran 4:30 petang tadi.

Antara berita utamanya, ada orang berusaha untuk mencipta rekod dengan Jalur Gemilang. Ada yang berdiri mengimbanginya, ada yang naik-turun tangga bergerak.

Ada juga yang berdiri berjam2 di bangunan sambil mengibar tegak bendera negara kita; yang pernah dipijak, diconteng dan dibakar oleh ekstremis alias pengganas di nusantara ini.

Ada banyak lagi rekod2 yang ingin dicipta dan dipecahkan sempena sambutan Hari Merdeka. Uniknya, sekarang ini bulan berpuasa.

Media massa, gah melaporkan hal2 sebegini. Sensasi demi rating, populariti, untung dan kantung. Fikiran kita disuntik untuk membentuk minda bahawa ini antara penzahiran rasa cinta, bangga dan semangat unggul kita sempena sambutan kemerdekaan. Dengan cara ini, itulah semangat merdeka.

Inilah yang saban tahun masyarakat kita [bukan semua] kejar. Saya tidak tahu sejauh mana kesan dan 'berkatnya' aktiviti2 sebegini kepada masyarakat, negara dan agama.

Ada banyak lagi rekod2 dan perkara2 yang perlu kita cipta dan pecahkan yang mampu memberi kesan dan sumbangan yang jauh lebih berfaedah, bermanfaat dan menunjukkan keunggulan ilmu.

Bagaimana jika saya membuat kenyataan umum yang saya akan menyambut Hari Malaysia Merdeka pada 16 September setiap tahun?

Adakah ini akan dikira sebagai suatu rekod dan dimasukkan dalam Malaysia Book of Records juga?

Thursday, August 26, 2010

'Hudud' di dalam Perlembagaan Persekutuan..?

Undang2 tertinggi Persekutuan Malaysia - Perlembagaan Persekutuan - ada memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan Malaysia dan setiap orang bebas untuk mengamalkan agama masing2. Justeru, mengapa ada pihak yang menentang keras malah yang lebih buruk bila - pemimpin yang beragama Islam - ada yang tidak bersungguh2 untuk [mula] melaksanakannya?

Kamu setuju yang setiap orang di dalam Persekutuan Malaysia ini mempunyai HAK untuk mengamal dan melaksana amalan / suruhan agama masing2?

Jadi kenapa kecoh 1 Malaysia bila ada orang Islam yang ingin menegakkan undang2 Hudud, di mana pelaksanaan [kewajipan] undang2 ini terletak dibahu setiap muslim terutama pemimpinnya? Hudud untuk siapa? Situasi yang bagaimana barulah Hudud dikuatkuasa?

Hudud tidak boleh dipinda [tapi ada pilihan]. Tapi Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda/dimansuh.

Friday, August 13, 2010

AL-FATH: RAMADHAN, PUASA DAN TARAWIH

*Risalah al-Fath edisi 005

RAMADHAN, PUASA DAN TARAWIH
~Bahagian 1~

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T, Tuhan sekalian Alam. Selawat serta Salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W, para keluarga Baginda, para Sahabat, Tabi’en, dan seterusnya kepada mereka yang memperjuangkan Islam dan tuntutannya; Dahulu, Kini dan Selamanya.

Sebagaimana dimaklumkan dalam edisi sebelum ini, Risalah al-Fath akan mula membuat pengisian mengenai Ramadhan dan Puasa secara ringkas dan berperingkat. Contohnya, aspek sejarah, hukum, adab, dan bacaan-bacaan terpilih yang berkaitan dengan keduanya seperti niat berpuasa, sahur, dan yang lain. Sebagai bonus, Risalah al-Fath juga akan menyentuh pengisian mengenai solat Tarawih.

Bermula edisi ini, reka bentuk antara-muka Risalah al-Fath berubah wajah agar tampil lebih kemas, padat dengan maklumat, menarik dan segar sempena menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi. Mudah-mudahan, kita semua dapat dipertemukan dengan Ramadhan, bulan di mana dipermulaannya Rahmat [belas-kasihan], dipertengahannya Barakah [keberkatan], dan dipenghujungnya Maghfirah [keampunan].

Sampai ketemu lagi di edisi yang seterusnya, wassalam. ~MSS

~Muat turun versi penuh Risalah al-Fath di Menu [Kolum tengah]:

"Risalah Masjid al-Fath, Tenom" 

Monday, August 09, 2010

RISALAH AL-FATH: EDISI 004

*Biro Publisiti Masjid al-Fath, Lagud Sebrang, Tenom.

PERSIAPAN MANTAP MENYAMBUT RAMADHAN

~Bahagian 2~

Ramadhan adalah bulan ilmu pengetahuan. Justeru, Muslim perlu rajin menghadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membantu menambahkan kefahaman terhadap amalan beribadat, berdasarkan ayat pertama yang diturunkan Allah S.W.T ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Ayah boleh memotivasi anak-anak untuk berpuasa. Kanak-kanak dilatih berpuasa sebagai latihan kepada mereka. Di antara kaedah yang boleh dilakukan ialah:

01. Mengajar anak-anak mengenai hakikat puasa sebenar yang bukan hanya meninggalkan makan minum semata-mata, malah penerangan mengenai cara bagaimana boleh mendapatkan takwa dalam diri.

02. Ajarkan kepada mereka adab-adab serta hukum-hukum puasa dan yang berkaitan dengannya seperti menyegerakan berbuka puasa serta melambatkan bersahur dan juga mengingatkan mereka dari berboros dalam makan minum pada bulan Ramadhan.

03. Mengingatkan mereka agar tidak mengambil masa yang lama ketika berbuka hingga lambat/luput untuk bersolat Maghrib berjemaah.

04. Mengingatkan mereka tentang falsafah puasa disyariatkan Allah S.W.T agar dapat merasakan kelaparan yang dialami golongan miskin.

05. Ramadhan bulan mengeratkan silaturrahim di kalangan umat Islam dengan bersolat fardhu dan Tarawih secara berjemaah.

06. Mengingatkan anak-anak perempuan agar membantu ibu-ibu mereka dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.

07. Menggalakkan anak-anak untuk bersahur bagi mendapatkan keberkatan dan bekalan kekuatan untuk meneruskan ibadat puasa.

08. Melakukan solat Subuh serta berjemaah di masjid/surau berdekatan dan memastikan tidak meninggalkan solat witir.

09. Tidak menyusahkan para isteri untuk menyediakan juadah berbuka puasa atau sahur yang sukar untuk disediakan, berpada dengan kemampuan yang ada atau membelinya jika perlu, agar tenaga mereka dibawa untuk bersolat Isyak dan Tarawih berjemaah di masjid/surau.

10. Memulakan kempen Membaca al-Quran sempena padanya diturunkan kitab suci untuk manusia.

11. Menggalakkan ahli keluarga untuk suka bersedekah serta mengambil tahu kekurangan [keperluan hidup] yang ada pada jiran tetangga lebih-lebih lagi pada masa harga barang telah naik diselaraskan.   


Rujukan [Teks Asal]: Ustaz Zainuddin Hashim
Suntingan Bebas: Editor AL-FATH


~Muat turun versi penuh Risalah al-Fath di Menu [Kolum tengah]:

"Risalah Masjid al-Fath, Tenom"

Sunday, August 08, 2010

Tamu Gaya: Antara Tamu dan Pasar Minggu

*Siri Cetusan Idea: "Mari Mengumpat" [003]
*Speaking

Ada kamurang urang Sabah yang nda tau apa atau di mana Tamu Gaya tu? Yang tinggal di sekitar KK kalau nda tau ni, memang bikin malu lah kamu kalau ada kengkawan MSS dari USA tanya sama kamu. Haha.

MSS pun sebenarnya nda tau sangat pasal Tamu Gaya ni. Tau gitu-gitu ja bah. Haha. Tamu Gaya ni di Jalan Gaya. Berdepan sama Lintasan Deasoka, tepi bangunan DBKK yang sebaris sama bangunan Mahkamah Negeri. Masanya, dari awal pagi sampai tengahari hari Ahad. Tamu biasanya 2 -3 hari.

Tamu lain konsepnya dari Pasar Malam. Yang ngam sikit, Pasar Minggu lah. Tamu ni sebetulnya untuk urang-urang kampung atau yang jauh dari kawasan tempat tamu tu dibuat, datang membawa jualan. Diorang akan berkampung di sana dalam semalam dua. Pastu, kalau mampu, pigi lagi di Tamu di kawasan yang berdekatan dengan Tamu yang diorang datang sebelumnya.

Bertamu dalam kamus BM, bawa maksud 'bertandang' juga kan.

Itu konsep dan asas Tamu. Tapi sayang, konsep ini macam nda dipeduli sudah. Tinggal kawasan-kawasan tertentu ja yang ada pegang konsep ni.

Kalau tengok di Tamu Gaya sekarang ni, urang yang tinggal di bangunan sekitar Jalan Gaya tu ada juga berjualan. Di Tamu sama di mana-mana pasar malam pun ada juga mukanya. Pasar Pelipin Malam KK [lupa nama betul pasar ni] ja mengkali tiada mukanya.

Itu dari sudut 'kelayakan'. Kalau kita tinguk aspek jualan pula, juga lari dari konsep asal. Urang di Ulu manalah ada jual barang kek-kek ni. Barang yang boleh dijumpa di Pasar Malam, ada juga dijual di Tamu. Sungguh nda ada kelainan dirasa, huh.

Cerita pasal keselesaan dan kebersihan pula, ni lagi bikin panas. Walaupun ada pikiran pasal laluan pengunjung dibuat sehala bagi mengelakkan kesesakan, ianya tidak praktikal dalam suasana sekarang melainkan kena kasi lebar laluan. Di setiap laluan, boleh bahagi dua. Pasang tali amaran putih-merah tu.

Pasal sampah, ni memang payah mau cakap lah. Masyarakat kita makin mengasi tunjuk yang kita ini = "Throw-away Society".

MSS pernah emel DBKK pasal isu anjing di kampus UMS khususnya di KKCD tahun 2008. [Nota: Beberapa bulan kemudian, MSS praktikal di Jabatan yang terlibat mengurus permasaalahan haiwan vektor ni, ehe]. Memang ada jawapan yang baik. Mungkin MSS kena emel lagi untuk isu ini.

1/4

2/4

3/4

4/4


Tapi, terasa pula. Kudat menggamit MSS untuk pulang berbakti...

RISALAH AL-FATH: EDISI 003

*Biro Publisiti Masjid al-Fath, Lagud Sebrang, Tenom.

PERSIAPAN MANTAP MENYAMBUT RAMADHAN

~Bahagian 1~

Kurang dua minggu sahaja lagi, umat Islam di Malaysia akan menyambut bulan Ramadhan, bulan  barakah dan ibadah. Walaupun persiapan untuk menyambut ketibaan bulan ini tidaklah kelihatan 'semeriah' menyambut Syawal, kita perlulah juga membuat persediaan menyambut Ramadhan dari sudut minda, fizikal, dan naluri dalaman manusia bagi memastikan pelaksanaan amal ibadat dalam bulan tersebut berjalan dengan penuh kefahaman dan maklumat yang tepat dan jelas.

Bagi persediaan dari sudut minda, Nabi Muhammad S.A.W ada menyebut dalam sebuah hadis [bertaraf dho'if/lemah] : “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan, Allah S.W.T akan haramkan jasadnya daripada disentuh oleh api neraka pada Hari Kiamat.” Ia bagaikan satu berita gembira kepada Muslim agar seronok berpuasa Ramadhan.

Dari sudut persediaan fizikal pula, Muslim tidaklah dianjurkan untuk melakukan puasa sepanjang bulan Rejab, Sya'aban dan Ramadhan secara langsung tanpa berhenti, kerana tidak ada nas hadis yang menunjukkan bahawa seseorang itu digalakkan berpuasa yang kononnya sampai tahap sunat, kerana dibimbangi akan menyebabkan fizikalnya lemah dan tidak berdaya untuk melakukan puasa fardhu Ramadhan. 

Sementara persediaan dari sudut naluri dalaman pula, puasa mampu menjadikan seseorang itu individu bertakwa kepada Allah S.W.T, dan ia juga adalah matlamat daripada pelaksanaan ibadat puasa seperti yang ditegaskan Allah menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Telah difardhukan ke atas kamu berpuasa seperti mana difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”

Menurut ilmu Tasawuf, persediaan paling utama ialah melakukan 'muhasabah diri' dengan memerhatikan gelagat dan tindak-tanduk diri sepanjang tahun, adakah ia benar-benar menepati tuntutan ajaran Islam atau sebaliknya mengabaikan tanggungjawab sebagai Muslim sebenar, tidak bersolat jemaah di masjid/surau, tidak komited kepada program-program agama, banyak terlibat dengan maksiat, melakukan perkara yang terlarang dan banyak lagi.

Justeru, kedatangan Ramadhan yang merupakan bulan menambah pahala dan pelbagai jenis keuntungan Akhirat melalui tadarus al-Quran, tazkirah, bersolat jemaah, melakukan amalan wajib dan sunat akan menambahkan lagi pahala untuk sampai kepada matlamat berpuasa iaitu bertakwa kepada Allah S.W.T. Menurut Sayidina Ali bin Abi Talib, takwa itu ialah takut kepada Allah, beramal dengan isi-isi al-Quran, redha dengan apa yang sedikit ada pada diri dan bersiap untuk bertemu Allah S.W.T. 

Di samping itu juga, persiapan dari sudut naluri, jiwa atau hati Muslim perlu diselesaikan segera dengan melakukan taubat yang disifatkan oleh para 'Ulama sebagai wajib dilakukan sebelum masuk Ramadhan, dengan memohon keampunan Allah S.W.T agar hati menjadi bersih suci bagi memudahkan pelaksanaan ibadat puasa dengan meraih takwa yang dituntut.

Banyak berdoa kepada Allah agar diri, pasangan hidup, anak-anak, dan kaum keluarga mampu menjalani ibadat puasa dengan penuh rasa tawadhuk dan khusyuk kepada Allah S.W.T, rasa gembira dengan kedatangan Ramadhan yang menjanjikan seribu jenis pahala yang boleh membantu seseorang Muslim itu mendapat keampunan Allah S.W.T. ~Bersambung minggu hadapan. 


~Muat turun versi penuh Risalah al-Fath di Menu [Kolum tengah]:

"Risalah Masjid al-Fath, Tenom"

Saturday, August 07, 2010

Gunung Kinabalu: Caj melancong semakin mahal?

Khabar ini sudah lama bertiup. Adalah dalam beberapa bulan yang lalu. Saya tidak tahu trend 'naik-naik-naik' atau 'naik-turun-naik' [jika ada] harga pakej mendaki Gunung Kinabalu dalam 10 tahun semasa. Kali pertama dan terakhir saya mendakinya, adalah pada tahun 2004. Rombongan sekolah. Bayaran, sekitar lebih kurang RM200. Mungkin kurang. Saya sudah lupa.

Sekarang, harga pakej bertambah mahal.

Dari khabar yang saya terima, Restoran di Laban Rata sudah mengamalkan urus niaga ala hotel. Ini mengingatkan saya kepada pakej parti huha huha di angkasa [atmosfera Bumi, di ISS].

Mungkin suatu masa, sebuah bangunan yang semakin tinggi tingkatnya dan canggih, akan dibina. Contoh, ada lif, kolam renang, dewan mesyuarat, gimnasium, pub, karaoke... Sudah tentu atas nama kepuasan dan kemodenan. Maklumlah, saban tahun siapa yang paling ramai naik Kinabalu?

Mereka dan keluarga mereka.

Pembangunan bagi sektor pelancongan memang perlu. Pembangunan, tidak semestinya menurut kehendak semasa apatah lagi nafsu pemaju. Apa yang lebih penting, ianya terus Selesa, Selamat dan Sesuai [3S] untuk semua orang. Lebih-lebih lagi buat orang tempatan. 

Moden tidak semestinya mempunyai elemen 3S yang saya cadangkan. Situasi 'menang-menang' dilihat sukar untuk wujud dalam tema kemodenan, pembangunan. Pembangunan lestari pula, menghadapi cabaran getir di mana rasa kesedaran yang jitu mengenainya hampir-hampir tiada. Kalaupun ada, ianya sudah terlambat.

Berbalik kepada cerita Kinabalu tadi, harga pakej berkait rapat dengan belanja pengurusan. Memulihara dan memelihara adalah dua aktiviti yang berbeza. Berbeza 'langkah kerja'-nya. Saya masih ingat, tiap kali berhenti singgah di pondok hentian [stesen], mesti ada bungkusan coklat atau gula-gula, proudly made in Malaysia. Owh, mungkin minah Inggeris yang seksi yang mengucapkan 'excuse me' tiap kali bersin atau batuk yang membelinya. Mungkin juga diselongkar monyet.

Mungkin sebab itu harga untuk warganegara dan bukan warganegara seperti 'terbalik'.

Mungkin sebab itu juga, pengubah suaiannya bersandarkan keperluan bukan warganegara. Tempat-tempat pelancongan kita dilihat cenderung ke arah itu. Demi dilihat di mata dunia. Lalu, yang bukan warganegara berasa seolah-olah mereka di negara mereka sendiri. Cuma 'kacukannya' yang lain bila mereka memandang ada yang berambut hitam mayang, kulit sawo matang berjalan di sekeliling.

RISALAH AL-FATH: EDISI 002

*Biro Publisiti Masjid al-Fath, Lagud Sebrang, Tenom.
 
MASJID SEBAGAI PUSAT PEMBANGUNAN UMMAH

Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T, nescaya didirikan baginya sebuah rumah di dalam syurga.” [Riwayat Bukhari]


Sebagai umat Islam, kita semua yakin bahawa masjid merupakan 'rumah Allah' serta tempat beribadat yang paling mulia. Masjid merupakan suatu syiar yang melambangkan wujudnya masyarakat Islam dan perpaduan ummah. Justeru itu, amatlah perlu untuk kita menghayati fungsi serta peranan masjid sebagai tempat beribadat dan pusat pembangunan ummah. Tingginya kemuliaan masjid dapat digambarkan daripada tindakan Rasulullah S.A.W mendirikan masjid dalam peristiwa Hijrah sebagai langkah pertama dalam membangunkan masyarakat Islam di Madinah.

Sejak zaman Rasulullah S.A.W, masjid telah menjadi pusat pembangunan ilmu-ilmu Islam kepada seluruh umat. Bermula daripada Kota Madinah, Iraq, Syam, Mesir, Yaman dan Andalusia, semua tempat tersebut telah dikenali sebagai pusat pengajian yang produktif. Masjid-masjid yang terdapat di negara tersebut telah menjadi universiti-universiti yang terbilang di waktu itu dan sehingga kini, nama-nama seperti Al-Azhar dan Az-Zaitunah masih terus menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia.

Di negara kita, fungsi masjid boleh diperluaskan lagi melalui empat pendekatan berikut:

        Pertama: Masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan.
        Kedua: Masjid sebagai pusat perkhidmatan sosial.
        Ketiga: Masjid sebagai pusat memupuk perpaduan umat.
        Keempat: Masjid sebagai model institusi yang suci dan bersih.

Dalam usaha kita untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan umat, kita perlulah berusaha ke arah mempertingkatkan ilmu dan kemahiran pengurusan masjid untuk terus bergerak kehadapan. Sebagai bukti kecintaan kita kepada masjid, marilah kita menanam semangat untuk sentiasa memakmurkannya dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat di samping aspek pengurusan yang cekap dan pentadbiran masjid yang berwibawa, perlu diberi perhatian.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Asr ayat 1 – 3 yang bermaksud:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”


~Muat turun versi penuh Risalah al-Fath di Menu [Kolum tengah]:

"Risalah Masjid al-Fath, Tenom"

Sunday, August 01, 2010

AL-FATH, TENOM: RISALAH AL-FATH EDISI 001

*Biro Publisiti Masjid al-Fath, Lagud Sebrang, Tenom


JOM KE MASJID...!

Dari Ubai bin Kaab r.a. Katanya: “Ada seorang lelaki yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu, dia tidak pernah ketinggalan solat berjemaah. Kata orang kepadanya: “Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik.” Dia menjawab: “Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku.” Sabda Rasulullah S.A.W: “Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu.” [Riwayat Muslim]


Huraian Hadis

Begitu indah 'panggilan Allah' sehingga orang yang benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah [Masjid]. Maka sesuai dengan kemajuan hari ini juga, banyak surau-surau dan masjid yang cantik dibina bagi memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika surau atau masjid itu terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk ke sana. Namun kelazimannya manusia sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat ketara sekali pengabaiannya. Ini terbukti apabila kebanyakan masjid tinggal terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan fungsi masjid amat luas iaitu selain menjadi tempat mendirikan solat, ia juga berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Hari ini apa yang menjadikan masjid meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan Hari Raya.

Meskipun kedudukan masjid tidak jauh, ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana. Kata orang, hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi jika hendak ke masjid, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali, ribut petir kita tetap tidak pergi ke masjid. Betapa kita menilai bahawa pemberian gaji dan pahala itu seakan sesuatu yang asing. Kerja untuk dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu  ibadah yang ganjarannya selain datang dari manusia berupa gaji, ia juga datang daripada Allah yang dengan sifat Pemurah-Nya memberikan kita rezeki [melalui kerja tersebut] dan Dia jugalah yang memberikan kita pahala jika kerja itu diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah. Maka kita selaku manusia sewajarnya bersyukur kepada-Nya dengan datang beramai-ramai ke masjid untuk memakmurkan rumah-Nya yang sekalipun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa bumi ini adalah milik Allah dan kita hanyalah makhluk yang kerdil yang menumpang sementara diatasnya. Justeru, hidupkanlah masjid sebagai tempat untuk menunaikan ibadah secara berjemaah selain mendirikannya di rumah secara bersendirian ataupun bersama keluarga!  


~Muat turun versi penuh Risalah al-Fath di Menu: 

"Risalah Masjid al-Fath, Tenom"