Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Saturday, August 07, 2010

RISALAH AL-FATH: EDISI 002

*Biro Publisiti Masjid al-Fath, Lagud Sebrang, Tenom.
 
MASJID SEBAGAI PUSAT PEMBANGUNAN UMMAH

Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T, nescaya didirikan baginya sebuah rumah di dalam syurga.” [Riwayat Bukhari]


Sebagai umat Islam, kita semua yakin bahawa masjid merupakan 'rumah Allah' serta tempat beribadat yang paling mulia. Masjid merupakan suatu syiar yang melambangkan wujudnya masyarakat Islam dan perpaduan ummah. Justeru itu, amatlah perlu untuk kita menghayati fungsi serta peranan masjid sebagai tempat beribadat dan pusat pembangunan ummah. Tingginya kemuliaan masjid dapat digambarkan daripada tindakan Rasulullah S.A.W mendirikan masjid dalam peristiwa Hijrah sebagai langkah pertama dalam membangunkan masyarakat Islam di Madinah.

Sejak zaman Rasulullah S.A.W, masjid telah menjadi pusat pembangunan ilmu-ilmu Islam kepada seluruh umat. Bermula daripada Kota Madinah, Iraq, Syam, Mesir, Yaman dan Andalusia, semua tempat tersebut telah dikenali sebagai pusat pengajian yang produktif. Masjid-masjid yang terdapat di negara tersebut telah menjadi universiti-universiti yang terbilang di waktu itu dan sehingga kini, nama-nama seperti Al-Azhar dan Az-Zaitunah masih terus menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia.

Di negara kita, fungsi masjid boleh diperluaskan lagi melalui empat pendekatan berikut:

        Pertama: Masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan.
        Kedua: Masjid sebagai pusat perkhidmatan sosial.
        Ketiga: Masjid sebagai pusat memupuk perpaduan umat.
        Keempat: Masjid sebagai model institusi yang suci dan bersih.

Dalam usaha kita untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan umat, kita perlulah berusaha ke arah mempertingkatkan ilmu dan kemahiran pengurusan masjid untuk terus bergerak kehadapan. Sebagai bukti kecintaan kita kepada masjid, marilah kita menanam semangat untuk sentiasa memakmurkannya dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat di samping aspek pengurusan yang cekap dan pentadbiran masjid yang berwibawa, perlu diberi perhatian.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Asr ayat 1 – 3 yang bermaksud:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”


~Muat turun versi penuh Risalah al-Fath di Menu [Kolum tengah]:

"Risalah Masjid al-Fath, Tenom"

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!