Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Sunday, August 08, 2010

RISALAH AL-FATH: EDISI 003

*Biro Publisiti Masjid al-Fath, Lagud Sebrang, Tenom.

PERSIAPAN MANTAP MENYAMBUT RAMADHAN

~Bahagian 1~

Kurang dua minggu sahaja lagi, umat Islam di Malaysia akan menyambut bulan Ramadhan, bulan  barakah dan ibadah. Walaupun persiapan untuk menyambut ketibaan bulan ini tidaklah kelihatan 'semeriah' menyambut Syawal, kita perlulah juga membuat persediaan menyambut Ramadhan dari sudut minda, fizikal, dan naluri dalaman manusia bagi memastikan pelaksanaan amal ibadat dalam bulan tersebut berjalan dengan penuh kefahaman dan maklumat yang tepat dan jelas.

Bagi persediaan dari sudut minda, Nabi Muhammad S.A.W ada menyebut dalam sebuah hadis [bertaraf dho'if/lemah] : “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan, Allah S.W.T akan haramkan jasadnya daripada disentuh oleh api neraka pada Hari Kiamat.” Ia bagaikan satu berita gembira kepada Muslim agar seronok berpuasa Ramadhan.

Dari sudut persediaan fizikal pula, Muslim tidaklah dianjurkan untuk melakukan puasa sepanjang bulan Rejab, Sya'aban dan Ramadhan secara langsung tanpa berhenti, kerana tidak ada nas hadis yang menunjukkan bahawa seseorang itu digalakkan berpuasa yang kononnya sampai tahap sunat, kerana dibimbangi akan menyebabkan fizikalnya lemah dan tidak berdaya untuk melakukan puasa fardhu Ramadhan. 

Sementara persediaan dari sudut naluri dalaman pula, puasa mampu menjadikan seseorang itu individu bertakwa kepada Allah S.W.T, dan ia juga adalah matlamat daripada pelaksanaan ibadat puasa seperti yang ditegaskan Allah menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Telah difardhukan ke atas kamu berpuasa seperti mana difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”

Menurut ilmu Tasawuf, persediaan paling utama ialah melakukan 'muhasabah diri' dengan memerhatikan gelagat dan tindak-tanduk diri sepanjang tahun, adakah ia benar-benar menepati tuntutan ajaran Islam atau sebaliknya mengabaikan tanggungjawab sebagai Muslim sebenar, tidak bersolat jemaah di masjid/surau, tidak komited kepada program-program agama, banyak terlibat dengan maksiat, melakukan perkara yang terlarang dan banyak lagi.

Justeru, kedatangan Ramadhan yang merupakan bulan menambah pahala dan pelbagai jenis keuntungan Akhirat melalui tadarus al-Quran, tazkirah, bersolat jemaah, melakukan amalan wajib dan sunat akan menambahkan lagi pahala untuk sampai kepada matlamat berpuasa iaitu bertakwa kepada Allah S.W.T. Menurut Sayidina Ali bin Abi Talib, takwa itu ialah takut kepada Allah, beramal dengan isi-isi al-Quran, redha dengan apa yang sedikit ada pada diri dan bersiap untuk bertemu Allah S.W.T. 

Di samping itu juga, persiapan dari sudut naluri, jiwa atau hati Muslim perlu diselesaikan segera dengan melakukan taubat yang disifatkan oleh para 'Ulama sebagai wajib dilakukan sebelum masuk Ramadhan, dengan memohon keampunan Allah S.W.T agar hati menjadi bersih suci bagi memudahkan pelaksanaan ibadat puasa dengan meraih takwa yang dituntut.

Banyak berdoa kepada Allah agar diri, pasangan hidup, anak-anak, dan kaum keluarga mampu menjalani ibadat puasa dengan penuh rasa tawadhuk dan khusyuk kepada Allah S.W.T, rasa gembira dengan kedatangan Ramadhan yang menjanjikan seribu jenis pahala yang boleh membantu seseorang Muslim itu mendapat keampunan Allah S.W.T. ~Bersambung minggu hadapan. 


~Muat turun versi penuh Risalah al-Fath di Menu [Kolum tengah]:

"Risalah Masjid al-Fath, Tenom"

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!