Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Wednesday, September 01, 2010

Aktiviti keagamaan di Televisyen: Islam sahaja? [1/2]

Saya ada terbaca di Group "Pertahankan Hak Sabah" di Facebook mengenai cadangan untuk menyiarkan slot / rancangan program keagamaan untuk agama Kristian melalui televisyen. Perbandingan yang diberikan ialah program Jejak Rasul yang umum mengetahui ianya dikategorikan sebagai 'khusus untuk muslim' atau yang beragama Islam sahaja.

Kalau program sedemikian dibikin untuk Muslim, kenapa tiada untuk penganut Kristian..? Begitu persoalan yang timbul.

Kedaulatan Undang-undang

Sekali imbas, cadangan ini adalah baik dalam semangat 'sama-rata' dan sedikit dalam justifikasi 'Adil'. Mengapa saya berfikiran sedemikian?

Undang-undang tertinggi di Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan. Jika suatu undang-undang selain yang diperuntukan atau termaktub di dalam Perkara-perkara Perlembagaan Persekutuan, ianya terbatal, tertolak dan tidak sah untuk diperlakukan.

Sebab itu 'pengazetan' suatu undang-undang atau peraturan memerlukan peruntukan perundangan dari Perlembagaan Persekutuan. Dalam bahasa yang mudah, undang-undang A, B, dan C perlukan keizinan dari Perlembagaan Persekutuan.

Keizinan itu pula - saya fikir - terbahagi kepada dua iaitu secara jelas bertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan, atau melalui huraian, justifikasi dan rumusan para Hakim yang kemudiannya diwarta atau dilaksanakan oleh pihak yang lain.

Contohnya, takrifan mengenai Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan perlukan huraian dan pencerahan lanjut dari para Hakim dan pakar undang-undang dan kurang tepat untuk difahami melalui bacaan-pemahaman secara literal. Ia menganggu sedikit lojik kita.

Pendapat saya

Bagaimana dengan agama rasmi? Pengamalan agama yang lain? 'Imuniti' agama rasmi?

Kita berbalik kepada topik.

Berdasarkan asas yang saya sebut di atas melalui lontaran persoalan, saya secara peribadi berpendapat:-

Orang bukan Islam di Malaysia;

a. bebas mengamalkan ajaran masing-masing tanpa halangan,

b. bebas melakukan aktiviti keagamaan masing-masing,


..selagi dalam ruang lingkup keperluan mereka, mematuhi undang-undang atau peraturan yang dikuat kuasakan oleh pihak yang bertanggungjawab, dan tidak ditujukan khusus kepada orang Islam.

Aktiviti keagamaan ['dakwah'] orang bukan Islam di Malaysia tidak boleh dengan apa cara dan maksud sekali pun dituju dan dikenakan ke atas orang Islam. Ianya salah menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Melalui peruntukan ini, ianya dilaksana oleh setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia, melainkan beberapa situasi bagi Sabah dan Sarawak.  

Walaupun Islam adalah agama rasmi dan aktiviti atau pengamalan yang bersifat keagamaan [beridentitikan Islam] adalah lebih meluas, terbuka, dan pendek kata ada di mana-mana sahaja di Malaysia, orang bukan Islam tidak perlu risau jika ia dirasakan sebagai suatu ancaman kerana ianya bukan suatu paksaan. Orang bukan Islam bebas untuk memilih sama ada 'peduli' atau 'tidak mempedulikannya'.

Inilah yang saya maksudkan sebagai 'imuniti agama rasmi' di Malaysia melalui kaca mata Perlembagaan Persekutuan.


~Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!