Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Sunday, November 21, 2010

Jauhkan Diri Dari Radio!

Nampak ganas dan keras tajuk kali ini. Seteguh dan sekerasnya pendirian aku terhadap suatu 'budaya' yang telah lama menjalar di kehidupan kita. Aku amat tidak menyenangi budaya ini. Budaya ini sama seperti kita membuat iklan mengenai rokok; yang popular dengan tema 'Amaran Kerajaan Malaysia: Merokok Membahayakan Kesihatan'.

Kalau bukan kerana ramai kaum keluarga dan rakan-rakan aku merupakan perokok, sudah tentu aku akan bersurah setiap detik menghentam mereka yang terlibat. Belum masuk skop 'perokok berintegriti'. Aku tidak menyalahkan perokok 100 peratus. Aku tahu kamu faham apa yang aku maksudkan.

Setelah diselusuri, di situ kita akan dapati betapa lawaknya larangan itu. Tahap kebodohan kerendahan intelek juga terserlah sama ada di pihak pengguna atau pemberi. 

Tapi budaya yang aku bebelkan sekarang ini ada sedikit kelainan. Ianya berkait dengan perkhidmatan di radio yang menjemput pendengar untuk menjadi pemanggil dalam suatu acara atau aktiviti yang dijalankan oleh juruhebah.

Aku, Radio, dan Siarannya

Ketika aku di alam sekolah menengah, radio merupakan kegilaanku. Radio lebih berguna dan penting berbanding telefon bimbit waktu itu. Aku sanggup menggunakan sebahagian besar duit biasiswa persekutuan semata-mata untuk membeli walkman yang berjenama. Ada kalanya terpaksa akur untuk membeli yang tidak berjenama. Perangai ini terbawa-bawa hingga ke alam kolej matrikulasi.

Masa itu, aku suka mendengar Radio Muzik yang kini dikenali sebagai MuzikFM. Cuma sekarang aku lebih selalu mendengar SabahFM kerana dahagakan hebahan terkininya.

Dari era aku mendengar Radio Muzik sampailah ke SabahFM, ada satu 'iklan' yang sentiasa diulang-ulang juruhebah. Iklan ini selalu diulang siar bila juruhebah membuka talian buat pemanggil. Aku tersenyum sapi bila mendengar 'amaran' juruhebah ini. Tapi aku berubah jadi sakit hati bila ada pemanggil yang menelefon juruhebah sambil radio dihidupkan atau berdekatan dengan sang pemanggil. Kenapa? Kami pendengar terganggu dengan masalah gelombang dan ianya sangat menganggu!

Inilah antara tahap mentaliti pemanggil yang betul-betul menyerlahkan tahap bangang mereka. Mereka tidak bodoh tapi wujud sikap bangang di situ. Tidak makan amaran. Cuba cari titik persamaan antara situasi ini dengan rokok tadi. Ada persamaan dibalik dua perkara yang berbeza. 

Sejujurnya aku tidak faham sikap pemanggil jenis ini. Adakah mereka terlalu teruja sampai syok sendiri atau melakukannya dengan kuasa minda separa sedar. Tiada kajian lanjut yang khusus mengenai fenomena ini.

Solusi i

Aku jarang mengkritik tanpa memberikan solusi. Maka di sini ada sekelumit cadangan dari aku buat para pemanggil dan juga pentadbir stesen radio.

Pertama, stesen radio perlu mencipta atau menggunakan suatu perisian yang bersifat anti balikkan gelombang. Jadi, bila ada pemanggil yang melanggar amaran juruhebah, panggilannya akan diputuskan dari bersiaran. Selepas terputus, pemanggil tadi akan dilayan oleh rakaman suara yang menyatakan sebab musabab panggilan mereka terputus [diputuskan] dan juga nasihat agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Jangan dibiar kesilapan berubah menjadi suatu kesalahan. Aku fikir, fungsi perisian ini boleh diperluaskan lagi bagi skop yang lain.

Jika pentadbir stesen radio tidak mampu mencipta atau kos pembelian adalah mahal, maka aku cadangkan agar dibuka satu pertandingan mereka cipta. Habuannya mestilah lumayan. Jangan asyik pertandingan mewarna, melukis dan mencipta testimoni sahaja.

Cara lain, tawarkan biasiswa atau geran untuk kajian/projek perisian tersebut. Aku sudi menawarkan diri untuk menyertai pasukan penyelidik ini walaupun bukan berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan. Sijil tauliah tertinggi yang aku miliki ialah selaku graduan bidang alam sekitar atau environmentalist.

Solusi ii

Cadangan untuk pemanggil pula ialah, bergantung dengan tujuan atau sebab mengapa pemanggil berbuat demikian. Yang aku pasti, mungkin mereka teruja kerana panggilan mereka menembusi sesawang dan ingin menikmati saat itu.

Jika itu sebabnya, maka aku cadangkan agar pemanggil tersebut menggunakan aplikasi Rakam di telefon mereka terutamanya telefon bimbit semasa memanggil juruhebah bertugas. Aplikasi Rakam ini aku yakin tidaklah sampai ke tahap anda perlu memiliki iPhone 4. Jika tidak ada, pinjamlah sekejap telefon rakan atau sesiapa yang sudi. Tapi jangan lupa, kad sim jangan lupa tukar. Nanti habis nilai baki kredit si kawan, oho.

Aku harap, selepas ini akan jaranglah kedengaran bunyi berdengung yang membingitkan telinga mengalahkan alunan muzik DJ Kelab Malam / Karaoke yang berpesta sakan.


2 comments:

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!