Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Monday, November 15, 2010

Ngomelan menjelang tengah malam

Mood: Santai-santai

i

Ada dua cara yang aku selalu amal untuk mengurangkan beban tekanan idea dan buah fikiran di kepala; cakap dan tulis. 

Memandangkan aku seorang yang jarang bercakap, meluah perasaan rindu yang terpendam mengenai suatu isu yang bersifat peribadi dan rahsia penting, maka meluahkan apa-apa perkara dalam bentuk karangan adalah langkah yang bijak. 

Maksud jarang bercakap, bukanlah bermaksud sehari aku hanya menyebut 50 patah perkataan sahaja. Jarang bercakap aku = lebih suka diam kalau tiada apa yang perlu dicakap. 

Sebab itu sejak sekolah rendah, aku sudah pandai membuat karangan terutamanya yang format surat, sajak, dan karangan berbentuk fiksyen.

Dan dalam menongkah arus kepesatan perkembangan teknologi semasa-tempatan, maka lahirlah MSS LaWLiET yang memasang cita menjadi cerminan idea dan buah fikiran seorang hamba bernama Mohd. Samizul bin Samad.


ii

Aku fikir, aku seorang penyimpan mohor rahsia yang besar-besar, yang penting-penting, yang agak baik. Ini wujud terutamanya dalam situasi yang mana konflik bakal meletus di antara dua pihak. 

Sebabnya, daya ingatan aku tidak seperti Megumi - Komik Penyiasat Remaja Q - yang memiliki Daya Peringatan Sejenak. Menatap sesuatu dalam tempoh sehingga satu saat walaupun hanya sekali, Megumi tetap dapat mengingat dengan baik apa yang dilihatnya. 

Aku kelaskan daya ingatan aku ialah jenis Daya Ingatan Berpetunjuk. Tanpa clue yang diperlukan, adalah payah dan mustahil aku dapat mengingatnya kembali. 

Hanya yang berjaya memperdayakan aku melalui teknik reverse psychology sahaja yang aku iktiraf. Hipnosis, pukau, pugai balabaq dan yang 'sefungsi' dengannya adalah cara yang tidak bermaruah. 


iii

Isnin minggu terakhir bagi sesi persekolahan 2010 ini antara Isnin yang paling memenatkan tetapi lahir rasa kepuasan dan gembira yang sangat-sangat. 

Kenapa?

Pertamanya, aku dan rakan Fasilitator SchoolNet daerah Tenom telah berjaya menlaksanakan program sulung-rintis atas inisiatif sendiri. Syabas dan Tahniah buat En. Sharif Asri dan En. Mohd. Aizam atas usaha keras dan kerjasama yang ditunjukkan. Sekalung penghargaan dan terima kasih buat PPD dan PKG Tenom atas kesudian mewujudkan kerjasama bagi menjayakan program Bengkel Membina Blog 2010.

Aku balik sekitar jam 5 petang. Jam 7 malam, ada lagi acara yang menanti - Jamuan Akhir Tahun Staf sekolah kami di AsiaRasa, Tenom. Mulanya aku fikir jamuan itu bersama Tahun 6. Tapi sudah dibuat siang tadi. Aku terlepas peluang. Terlepas peluang juga untuk menyertai kempen menanam sejuta pokok peringkat sekolah. 

Tiadalah pokok yang rasmi aku tanam sebagai kenang-kenangan di SK. Paguokon, Tenom. 


iv

Memandangkan pengisian masa agak padat, aku tidaklah mampu untuk fokus hal kerja di luar masa yang sepatutnya. Kecualilah ada keperluan yang betul-betul mendesak. 

Aku mahu sangat kemas kini laman blog dan FB sekolah tapi masih tidak ketemu masa yang betul-betul sesuai. Ketika mengurus hal kerja, maka angin dan fikiran perlu 'pusing' untuk menjadi 'tetapan bagi kerja'. Hal kerja dan hal peribadi sebaik-baiknya tidak bercampur aduk bila bertembung.

Minggu terakhir ini aku mesti siapkan surat makluman-jemputan untuk datang ke Kelas ICT yang akan aku adakan dalam suatu tempoh sepanjang cuti sekolah akan datang. Sekarang masih lagi bergelumang dengan himpunan idea bagi memilih cara pelaksanaan yang terbaik. 

Bayangkan dengan kekuatan 4 - 6 buah komputer riba PPSMI [SAHAJA] yang bakal diguna oleh hampir 30 - 50 orang murid, apakah yang boleh anda bayangkan?


v

Cukuplah setakat ini sahaja. Masa untuk merehatkan organ yang paling letih berbanding anggota fizikal yang kepenatan. Selamat malam dan selamat berpuasa sunat esok hari [09 Zulhijjah] ! 

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!