Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Tuesday, November 23, 2010

Persatuan Blogger Sabah: Suatu Cadangan

Kemas kini: Surat ini telah disiarkan di Sabahkini.net pada 24.11.2010. Lihat di sini [KLIK].

Surat untuk Sabahkini.net

Kategori: Surat Pembaca.




Assalamua'laikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

Saudara Pengarang,

Saya ingin merujuk tajuk berita "PBS SASAR 300 AHLI SEUMUR HIDUP" yang disiarkan di laman ini pada 14 November 2010 yang lalu.

Pertama sekali, saya ingin menzahirkan rasa sukacita dengan perkembangan terkini Persatuan Blogger Sabah [PBS] dan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha ini.

Menyatupadukan para Blogger Sabah yang bukan sahaja aktif-serius dalam aktiviti Blogging mereka, tetapi juga ingin melahirkan para Blogger yang berketrampilan dan berkualiti terutamanya dari sudut penulisan yang dikongsi merupakan usaha terpuji yang wajar dimartabatkan. Ini bersesuaian dengan objektif PBS yang ingin melatih ahli PBS menjadi Blogger yang bertanggungjawab untuk membina masa depan negara.

PBS menjadi wadah pertama, setahu saya, yang mengumpulkan para Blogger Sabah secara rasmi dan nyata. Walaupun sekarang masih lagi diperingkat 'Tajaan', saya optimis PBS mampu pergi jauh dan lebih realistik dalam mendepani isu-isu yang berkaitan. Kolaborasi dengan pihak lain yang berkepentingan awam di Sabah mampu melonjakkan lagi imej PBS dalam mendepani pelbagai cabaran Blogger dan yang berkaitan pada masa kini atau yang akan datang. Saya fikir, tidak perlulah - sekurang-kurangnya buat masa ini - saya menulis lanjut mengenai kebaikan dan keburukan dunia Blogger di sini.

Saya ada beberapa cadangan untuk pihak yang sedang bertungkus-lumus menjayakan agenda PBS. Pertama, saya mencadangkan agar diwujudkan satu wadah atau ruangan untuk para ahli PBS beraktiviti. Sebagai contoh, PBS telah mempunyai lebih kurang 250 orang Ahli Seumur Hidup. Maka, melalui medium yang saya sebutkan tadi, para ahli boleh mempamerkan atau berkongsikan karya mereka. Ini mampu mengeratkan perhubungan sesama ahli dan juga penyebaran maklumat adalah lebih meluas. 

Memandangkan PBS pertama kali 'diiklankan' di Sabahkini.net, maka ada wajarnya wadah atau ruangan itu diwujudkan di kolum PBS di Sabahkini.net sekarang dan terus dikekalkan. Di sana, pengunjung boleh melihat tulisan terkini dari para ahli. Pembahagian kategori bagi jenis blog ahli juga boleh difikirkan sama.

Kedua, melalui kolum PBS tadi, saya cadang sebarang berita atau perkembangan yang berkaitan dengan PBS yang 'wajib' diketahui oleh ahli PBS dimuatkan didalamnya. Ini supaya, sebagai contoh, para ahli tidak tercari-cari hebahan terkini dari pihak pemimpin organisasi yang ditujukan khusus kepada ahli biasa. Sebagai contoh, makluman mengenai perkara atau agenda yang dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBS. Saya tidak bermaksud agar Minit Mesyuarat 'dibocorkan' tapi suatu bentuk makluman yang padat, tersusun, rasmi dan khusus untuk hebahan atau tindakan lanjut ahli perlu dimaklumkan di kolum PBS tadi. 

Yang terakhir, saya mencadangkan agar mesyuarat penubuhan PBS secara rasmi menjelang Disember tahun ini diadakan secara 'nyata', bukannya di alam 'maya'. Namun, bagi proses pemilihan Majlis Tertinggi dan yang seumpama dengannya boleh dijalankan secara maya atau dalam talian [online]. Dengan syarat, biarlah proses tersebut mempunyai sistem yang baik upayanya, telus, dan mematuhi peraturan-peraturan [contohnya: peraturan pemilihan] yang telah ditetapkan.

Selamat Maju Jaya saya ucapkan buat para pendukung dan penyokong PBS. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dari-Nya untuk terus berkembang maju menggenggam cita.


Mohd. Samizul bin Samad
Ahli Seumur Hidup Persatuan Blogger Sabah

Nota: Sebarang komentar atau cadangan untuk penulis bolehlah dikirimkan melalui alamat emel mss.lawliet@gmail.com atau laman blog di atas.


No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!