Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Thursday, November 18, 2010

Selamat Maju Jaya!

Nota: Dedikasi khas buat pelajar Tahun 6 SK. Paguokon, Tenom.

"Assalamua'laikum. Hai cikgu Mizul. Besok terakhir dah kami sekolah SKP.. Pastu kami semua melangkah ke Tingkatan 1..

..saya sekolah kat SMKE. Semuanya di sana kecuali Valen di STA. Ya cikgu, kami semuanya sangat sedih.. Pasti esok ada yang menangis2, ehe3. Cikgu kalau cikgu tukar nombor hp bagitau saya a.."

-SMS 'Peminat'~


Esok hari terakhir kamu bersekolah di SK. Paguokon [SKPT]. Di kalangan kamu, ada yang baru setahun dua bersekolah di sini, dan mungkin juga ada yang bersekolah sejak dari Tahun 1 lagi. Apapun, kamu semua sama; kamu ialah pelajar Tahun 6 SKPT tahun 2010. 

Esok, dengan rasminya kamu semua akan menamatkan alam sekolah rendah. Tahun hadapan, kamu bakal melangkah ke alam menengah; alam persekolahan yang bertambah mencabar dan penuh ujian dalam peralihan dari alam remaja ke alam dewasa.

Cikgu berkenalan dengan kamu semua belumpun genap setahun. Ketika cikgu datang memulakan tugas di SKP - walaupun bukan atas kapasiti sebagai seorang guru - kamu semua sudah mulai sibuk dengan persiapan UPSR. Ada yang memanggil cikgu sebagai 'Sir', dan rata-rata memanggil 'cikgu' lebih-lebih lagi bila cikgu sudah mengadakan kelas TMK [Teknologi Maklumat dan Komunikasi] untuk kamu semua Tahun 6, Oktober lalu.

Kamu sudah melepasi UPSR. Cikgu percaya banyak suka-duka yang kamu tempuhi bersama selama di SKP. Sama ada dalam persiapan menghadapi UPSR atau yang lain. Simpanlah kenangan itu supaya ianya menjadi suatu memori dan nostalgia yang terus mendewasakan dan dikenang di hari mendatang.

Kepada yang berjaya mencapai target UPSR masing-masing, SYABAS dan TAHNIAH cikgu ucapkan. Syabas dan Tahniah kepada yang mendapat keputusan yang cemerlang dan baik. Kepada yang kurang cemerlang dan baik keputusannya, jangan terus hanyut dalam kedukacitaan, berputus asa. Teruskan mengorak langkah baharu untuk terus maju ke hadapan. Kejayaan adalah milik mereka yang rajin berusaha dan terus gigih berusaha untuk mencapainya. Kalaupun tidak mencapainya, kamu sudah menang sebab kamu sudah melakukan yang terbaik, termampu.

Bila masuk ke sekolah menengah, ingatlah pesan Ibu bapa, para guru, kaum keluarga, dan insan lain yang menitipkan nasihat dan pedoman buat bekalan kamu nanti. 

Perbetulkan niat, dan raihlah sebanyak mungkin pengalaman yang bermanfaat-berguna. Aktifkan diri dalam kegiatan yang positif, dan imbangilah antara akademik dan luar-akademik.

Ada banyak lagi yang ingin cikgu sematkan di sini buat tatapan kamu semua di suatu masa yang akan datang. Cikgu menyimpan harapan dan intuisi yang kuat bahawa suatu hari nanti kamu akan membaca juga apa yang cikgu tulis di sini. 

Amanat yang ringkas telah cikgu sampaikan. Hal ini juga yang cikgu cadang untuk sampaikan dengan kamu semua esok, insya-Allah kalau ada kesempatan yang sesuai.

Cikgu juga tidak ingin ketinggalan untuk mengabadikan kenangan bersama kamu semua di saat-saat akhir kamu berada di SKP selaku seorang pelajar. Moga bila kita berjumpa lagi, ada yang sudah menjadi guru di SKP, dan jadilah apa sahaja hatta sebagai seorang tukang kebun pun, teruskan usaha gigih melangsungkan kehidupan dengan baik dan terhormat menurut tuntutan agama.

Moga kita berjumpa lagi dilain masa, ruang dan peluang yang telah dijodohkan oleh-Nya buat kita. Cikgu sangat gembira dapat berjumpa dan berkenalan dengan kamu semua walaupun sekejap sahaja.

Cikgu mohon ampun dan maaf jika ada salah-silap, keterlanjuran dan kelemahan dari cikgu sepanjang cikgu bertugas di sini, terutamanya semasa kelas TMK. Walaupun cuti nanti ada lagi kelas TMK, cikgu rasa bukan kamu semua yang akan dapat datang.. Cikgu halalkan ilmu dan pengetahuan cikgu yang tidak seberapa itu kepada kamu semua.

Semoga kamu semua terus menjadi insan yang berguna, berjaya dunia dan akhirat, insya-Allah amin.. 


Selamat Maju Jaya!

Cikgu Mizul
Rumah GB, SKPT
18.11.2010

Nota ii: Terbayang pula tarikh 31.12.2010.. Dub dab, dub dab...

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!