Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Friday, December 03, 2010

Permit untuk Berhimpun

Demo baju merah, hitam disiasat polis ~MalaysiaKini


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya telah menerima maklumat dan sedang menyiasat penganjuran perhimpunan besar oleh dua pihak di ibu negara pada Ahad ini.


"Kita ada maklumat dan kita sedang menyiasat perkara ini untuk menilai lagi berita yang kita dengar kononnya akan ada perhimpunan ini," katanya ketika ditanya sama ada polis telah mengenalpasti dalang di sebalik penganjuran perhimpunan itu.


Ahad ini, kerajaan Selangor menganjurkan demonstrasi dan perarakan menentang kenaikan harga air di negeri itu dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. 


Kumpulan berbaju merah itu berkemungkinan bertembung dengan kumpulan NGO antipenyelewengan kerajaan negeri (berbaju hitam) - Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) - yang turut mengadakan demonstrasi di tempat berdekatan.


Kedua-dua kumpulan berkenaan setakat ini mengakui belum memohon sebarang permit berhimpun daripada pihak polis.


Dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini, Ismail menegaskan mana-mana pihak yang hendak berkumpul hendaklah memohon permit daripada pihak berkuasa.


"Sudah tentulah kalau mana-mana orang atau pihak yang hendak berkumpul di tempat (orang) ramai, seperti biasa kita kena ada permit. 


"Dan saya masih menilai maklumat dan menunggu laporan daripada pegawai saya tentang perkara ini," katanya lagi.

Baca lagi: Bersih bertanggungjawab mohon permit, polis bertanggungjawab beri permit!


MSS: Aku fikir Permit ini suatu alat yang selalu berada pada tempat yang tidak adil. Ada yang tak perlu Permit, di lain pihak kata mesti ada Permit. Yang lebih menjengkelkan, bila mohon Permit, tidak pula diluluskan walaupun itu untuk kepentingan rakyat umum. Lepas tu, bagi amaran akan tangkap siapa yang turun sedangkan masa mohon Permit, tidak pula diluluskan.

Adakah demonstrasi sesuatu yang salah? Aku fikir, demonstrasi mempunyai karisma yang tersendiri untuk mencapai tujuan. Lihat bagaimana demonstrasi menentang Malayan Union sebelum Merdeka dahulu. Begitu juga Demo Mahasiswa sekitar 1974 yang memperjuangkan rakyat miskin yang ditindas pada masa itu. Lihat juga kezaliman dan ketidak adilan pada mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Kerajaan pada masa itu. Rakyat turun berdemo sehingga mencetuskan Reformasi. Demo Bersih 2007 mencetuskan gelombang 'Tsunami Politik 2008'.

Aku berkeyakinan, pihak polis dan seangkatan dengannya perlu mengawal suasana demonstrasi. Mudahkan permit supaya memudahkan semua sebagaimana 'Permit' untuk konsert segah Lady Gaga. Bukannya sengaja membuat kecoh dan mengganggu para demonstran. Sapa buat kecoh, tangkap orang itu. Bukan tangkap semberono atau bedil pemedih mata pada yang tak bersalah.

Himpunan kali ini berkunjung ke Istana Negara merafakkan sembah menghadap YDPA. Ini contoh 'Ketuanan Rakyat'. Raja yang sebenar adalah yang berkhidmat dan mengambil peduli kepada permasalahan rakyat di bawah naungannya, terutama marhaen. Itu tanggungjawab.

Kalau Ketuanan Rakyat bermaksud untuk "menghapuskan Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan", para pejuangnya tidak akan memilih berjumpa dengan YDPA dan melakukan sesuatu yang ada diperuntukkan oleh Perlembagaan, iaitu hak untuk bersuara.

Lagipun, bukankah wujud dan kita memegang kepada pepatah, "Raja Adil Raja Disembah. Raja Zalim Raja Disanggah. ?"

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!