Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Sunday, May 15, 2011

SELAMAT HARI GURU MALAYSIA 2011!

Nota: Tema Hari Guru Malaysia pada tahun ini ialah, "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"




Hari Guru Malaysia kembali lagi. Tanggal 16 Mei setiap tahun, hari tersebut sinonim dengan perayaan Hari Guru di Malaysia. Meskipun ianya tidak diwartakan sebagai hari cuti umum, sambutannya tetap dijalankan dan dimeriahkan di sekolah-sekolah terutamanya.

Hari Guru mempunyai banyak makna dan maksud yang tersendiri. Secara umum, ianya merupakan tanda peringatan kepada insan yang bergelar guru, cikgu, atau pendidik. Hari ini digazetkan untuk membawa masyarakat kita supaya terus mengenang dan menyanjung jasa warga pendidik.

Menelusuri sejarah, hari 16 Mei ini dipilih kerana pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu [Federal Legislative Council] telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran [Report of the Education Committee] sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Terlalu besar pengorbanan dan bakti yang dicurahkan oleh para guru. Guru bukan sahaja mengajar kita, tetapi juga mendidik kita untuk menjadi seorang yang berguna bila dewasa kelak. Tugas memanusiakan manusia bagai dikongsi bersama antara ibu bapa dan guru. Malah, ibu bapa itulah guru kita yang pertama sebaik sahaja kita lahir ke dunia. Ibu bapa adalah 'guru' di rumah, guru pula adalah 'ibu bapa' di sekolah.

Allahyarham Sasterawan Negara [SN] Usman Awang dalam sajaknya yang bertajuk 'Guru oh Guru' cukup menjelaskan betapa mulianya seorang guru...


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca


Marilah kita sekalian terus bersama-sama menerapkan nilai-nilai mulia seorang guru di dalam jiwa dan amalan kita sebagai balasan untuk mereka yang menjadi pendidik kita. Walaupun kita bukanlah seorang guru, tetapi jadilah kita seorang yang berjiwa pendidik yang terus mampu mendidik bukan sahaja diri kita, tetapi sesiapa sahaja yang ada di sekeliling kita. Terus berusaha untuk mendidik diri kita dengan menuntut dan mencurahkan ilmu, dan didiklah sekeliling kita dengan yang terbaik.

Kepada rakan-rakan atau kenalan yang telah menyahut cabaran menjadi seorang guru, syabas saya ucapkan. Semoga anda semua menjadi pelapis yang hebat sebagaimana guru-guru kita dalam mendepani cabaran masa hadapan. Masa mereka telah berlalu. Masa hadapan adalah waktu kita.

Kepada para guru seluruhnya, saya ingin mengambil kesempatan sempena Hari Guru ini mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua warga pendidik yang telah mencurah bakti dan ilmu kepada kami sejak kami mula melangkah ke alam persekolahan, berjaya di menara gading, dan sampai bila-bila. Terima kasih yang tidak terhingga, jasa dan baktimu dikenang buat selamanya. Moga Allah s.w.t membalas pengorbanan para pendidik dengan anugerah yang cukup nikmat, bahagia dunia akhirat, insya-Allah.   

Akhir kata, terimalah bait lagu yang teristimewa ini dari saya...



Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling
Dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Di saat kegelapan
Rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang di sini
Dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh
Terluka dan tersungkur
Ku rawat biar sembuh

Aku takkan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan
Setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan di hati
Walaupun sering kau ragui
Pada suatu masa
Dan suatu ketika
Akan ketara jua..


Sekian, Selamat Menyambut Hari Guru!


Mohd. Samizul bin Samad
Sang Penimba Ilmu [1987 - Akhir Hayat]


Rujukan dan Kredit:
01: Sejarah - [KLIK]
02: Tema - [KLIK]
03: Sajak - [KLIK]
04: Gambar - [KLIK]

3 comments:

  1. selamat hari guru sam..!!

    ReplyDelete
  2. T/kasih Tim2! Selamat Menyambut Hari Guru juga..! =D

    ReplyDelete
  3. Anonymous18/5/12 14:48

    selamat hari guru. terima kasih cikgu.

    ReplyDelete

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!