Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Thursday, September 22, 2011

MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH? [03]

-Sambungan dari #02

DIJAJAH ATAU DINAUNGI? [01]

Sumber n Kredit : malaysiakini

Tidak berapa lama selepas aku menerbitkan bahagian pertama tulisan ini, muncul di arus perdana satu teori baharu; Malaysia atau Tanah Melayu tidak pernah dijajah, tetapi hanya dinaungi oleh British. Lebih gempaq, kata-kata ini terbit dari lidah seorang ilmuan yang berpangkat superb - Profesor.

Sebenarnya, idea aku untuk menulis atau mengupas sebanyak mungkin tentang isu ini bermula lama sebelum profesor ini muncul di kaca TV, dada akhbar bersama 'penemuan baharunya'.

Aku mula memasang angan tadi selepas melihat seorang kawan - Ex-Fasilitator SchoolNet yang kemudiannya memasuki alam keguruan - menulis di Wall FB tentang kenyataan bahawa Malaysia sebenarnya tidak pernah dijajah kerana Malaysia lahir pada tahun 1963.

Nah, di sini rasa teruja itu bangkit. Sekali imbas, ianya betul. Memang betul Malaysia lahir pada 1963, tetapi tidak bermakna 'Malaysia' itu tidak pernah dijajah langsung oleh bangsa Barat [Eropah]. Dari segi sejarahnya, setiap inci tanah di kawasan yang sekarang ini digelar sebagai Malaysia pernah dijajah.

Dijajah yang bagaimana?

Kita masing-masing pernah dijajah. Tanah Melayu oleh British, Sarawak oleh keluarga Brooke, Sabah oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Masing-masing mempunyai kisah [baca: sejarah] bagaimana dijajah. Ada yang melalui kekerasan seperti serangan Portugis ke atas Melaka, ada yang diserah pemilikan oleh ketua tempatan [Sultan atau Raja atau Penghulu] kepada bangsa asing seperti di Sabah dan Sarawak.

Jadi, dari segi sejarah, negara yang membentuk Persekutuan Malaysia itu masing-masing pernah dijajah, masing-masing mempunyai cerita dan kisah selama penjajahan berlaku.

Kesimpulan untuk persoalan ini, pada pendapatku ialah;

Benar Persekutuan Malaysia tidak pernah dijajah, tetapi negara yang bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia itu masing-masing pernah dijajah dan ada sejarah dijajah yang tersendiri.

Adakah pendapatku ini memeningkan pembaca?


DIJAJAH ATAU DINAUNGI? [02]


Sumber : FAKTA SEJARAH HINGGA KIAMAT
*Isu Gambar Tok Janggut [KLIK]

Sekarang aku ingin berkongsikan pandangan mengenai kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah; hanya dinaungi sahaja oleh British. Era penjajahan, menurut ilmuan tersebut, hanya berlaku pada tempoh Malayan Union dicanangkan oleh British [Persoalan berbangkit: Pernahkah Malayan Union terlaksana?] dan semasa pendudukan Jepun sehinggalah terbentuknya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

'Teori Baharu' ini mencetuskan gelombang fenomena yang sebelumnya dicetuskan oleh Mat Sabu tentang peristiwa Bukit Kepong. Dalam ucapan Mat Sabu, beliau menyatakan secara umum bahawa mereka yang menentang dan melawan British [aliran kiri] adalah mereka yang berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu.

Apa yang berbeza ialah ideologi golongan aliran kiri ini. Dalam golongan kiri, ada yang berjuang melalui ideologi Komunis yang muncul awal 1900-an, sedangkan golongan kiri ini telah lama muncul sejak hari pertama Melaka dijajah Portugis, yang meranapkan Kesultanan Melayu-Islam Melaka yang ulung 500 tahun yang lalu. Ideologi 'tertua' dalam golongan kiri ini ialah ideologi Islam di mana masyarakat Melayu pada masa itu diikat kuat oleh agama Islam. Perjuangan menentang penjajahan rakus oleh bangsa Barat adalah satu jihad.

British tidak sukakan ideologi Islam dan Komunis. Sebab itu para pendekar Tanah Melayu diberikan hukuman mati dan untuk memandulkan pelapis pendekar tadi, Sultan atau Raja akan digunakan sebaiknya. Menentang British bermakna menentang Sultan. Siapa lawan Sultan, dia derhaka. Dan derhaka kepada Sultan, dalam budaya Melayu, adalah sesuatu yang tabu dan membawa tulah [bala].

Lihat apa yang terjadi kepada Tok Janggut yang mayatnya digantung terbalik selama beberapa hari, dan diarak disekeliling Kota Bharu. Apakah maksud mesej ini?

Begitu juga dengan Komunis di mana Komunis dimomokkan sebagai fahaman tidak bertuhan dan segala harta rakyat akan menjadi milik negara. Ini menjadi propaganda British kerana pengaruh Komunis adalah amat kuat seperti pengaruh Islam lebih-lebih lagi empayar Khalifah Uthmaniyyah di Turki telah dilenyapkan oleh Yahudi melalui kerjasama British.

Sesiapa yang berada di aliran kiri ini akan dicop British sebagai Komunis. Sebab itu banyak parti sebelum tertubuhnya United Malays National Organization diharamkan British, walaupun mendapat sokongan kuat rakyat, kerana parti-parti ini tidak boleh diharap untuk menjaga kepentingan British jika suatu hari nanti British angkat kaki pulang ke Great Britain.


DIJAJAH ATAU DINAUNGI? [03]


Sumber n Kredit : elaksamana

Ketika British mula-mula datang ke Tanah Melayu, British datang dengan alasan perniagaan. Kemudian, perjanjian dibuat yang mana akhirnya perjanjian ini lebih menguntungkan British.

Aku tidak ingin mengulas lanjut bagaimana berat sebelah itu boleh berlaku sebab aku tidak mahu dilabel sebagai menderhakai Raja-Raja Melayu.

Di atas kertas, menurut ilmuan yang aku maksudkan awal tadi, naungan akan diberi oleh British kepada wilayah kekuasaan Raja-Raja tadi sebagai balasan menerima Residen serta tugas-tugasnya.

Ini bermaksud, wilayah tadi mempunyai dua kepala di mana dalam hal agama dan budaya, barulah dirujuk kepada Raja-Raja. Selebihnya, adalah ditangan Residen [di atas kertas dikatakan 'menasihati' Raja-Raja].

Apakah maksud situasi ini?

Bolehkah dikatakan lagi wujudnya kedaulatan Raja-Raja ke atas wilayah tadi? Adakah kepala pemerintah bebas dan tidak terkongkong untuk membuat keputusan selain daripada kalangan mereka sendiri?

Jika tiada daulat, kebebasan dan tidak dikongkong tadi, adakah boleh dikatakan yang wilayah tadi masih merdeka?

Jika tidak merdeka, adakah maksud lain yang paling tepat untuk mengungkap situasi wilayah tadi kalau bukan kalimah DIJAJAH?

Jika tidak merdeka, ini bermaksud kita masih lagi dijajah. Jika ada penjajahan berlaku, ini bermaksud kita tidak sepenuhnya lagi merdeka.

Oleh kerana air muka dan daulah dirobek, kepala pemerintah dibonekakan, penderitaan dan kesengsaraan menggantikan harmoni dan kesejahteran, maka bangkitlah mereka yang berjuang untuk membebaskan dari segala bentuk cengkaman yang menzalimi hidup mereka.

Mereka bangun melawan dan sanggup bergadai harta dan nyawa mewujudkan perlawanan menentang penjajahan yang dipaksakan kepada mereka.

Pernah seorang kawan menceritakan kepada aku, ketika Melaka diserang bertalu-talu oleh Portugis dan petualang empayar Melayu-Islam Melaka, empayar Khalifah Uthmaniyyah mengirimkan ketumbukan tentera laut untuk membantu Melaka. Namun, ketumbukan ini dipintas oleh Portugis dengan bantuan proksinya di kawasan perairan India [kalau tidak silap sebab sebelum itu Portugis telah membina pangkalan di Goa].

Sekarang, fikirkan adakah Tanah Melayu [baca: kita] benar-benar dinaungi oleh British sebagaimana naungan yang diberikan oleh empayar Khalifah Uthmniyyah, atau sebenarnya kita dijajah?

Kalau ingin mengatakan bahawa kita tidak dijajah kerana di atas kertas British tulis 'naungan', aku tergelak ketawa sebagaimana menonton lawak mendidik bodoh Maharaja Lawak.

Penjajahan adalah pengalaman; sesuatu yang dilalui dan dialami. Nenek moyang kita yang berani bangun melawan telah menunjukkan adakah kita benar-benar dinaungi atau dijajah. Persetankan di atas kertas kerana setelah ditikam selepas bersalam, kita tentu memikirkan tikaman tadi dan memberi reaksi keatasnya.

-TAMAT-


BONUS: Isu Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan; 31 Ogos atau 16 September?

Sumber n Kredit : 1 Suara Sabah


Apa yang aku tahu;

Tarikh kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak & Persekutuan Tanah Melayu [PTM] masing-masing adalah berbeza.

PTM = 31 Ogos 1957
Sarawak = 22 Julai 1963 [sumber: wikipedia]
Sabah = 31 Ogos 1963
[SUMBER]


Sebab itu dalam Perjanjian 20 Perkara ketika Sabah & Sarawak [18 Perkara] ingin bersama-sama [menyertai] PTM untuk membentuk sebuah negara persekutuan yang dipanggil "Persekutuan Malaysia", jelas dinyatakan Sabah adalah sebuah Negara. [Point 18]

Kenapa panggil 'Negara'? Sebabnya, Sabah & Sarawak telah Merdeka sebelum bersama-sama PTM membentuk Persekutuan Malaysia.

Kesimpulannya, kalau tanya pendapat aku untuk selesaikan kemelut ni secara asas, ialah;

Gantikan sambutan Hari Merdeka 31 Ogos yang kita amalkan sekarang ni dengan sambutan Hari Malaysia 16 September, dan kemudian buat sambutan Hari Merdeka masing-masing bagi Sabah, Sarawak & Persekutuan Tanah Melayu sebab ulangtahun kemerdekaan kita tidak sama. ^^,

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!