Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Saturday, December 03, 2011

SOALAN UNTUK SABAH DAN SARAWAK KELUAR MALAYSIA

Sila klik [SINI] untuk tandatangan petisyen.

SOALAN UNTUK SABAH DAN SARAWAK KELUAR MALAYSIA (FACEBOOK GROUP)

[Enlarge]
Sumber : [SSKM

01. Perkumpulan Sabah dan Sarawak Keluar Malaysia, atau ringkasnya SSKM, di Facebook telah saya sertai sejak beberapa bulan yang lalu. Sebab musabab saya menyertainya bukan sahaja kerana jemputan, tetapi juga keinginan sendiri untuk mengetahui alasan-alasan dan hujah-hujah para pencetus dan pendokong kuat 'ideologi' ini.

02. Setelah menyertai, saya membuat kesimpulan peribadi bahawa SSKM memperjuangkan pemartabatan 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak, dan mempunyai matlamat untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia.

Kelompok Utama
03. Selanjutnya, matlamat tersebut saya cerakinkan kepada dua kelompok utama iaitu:-

a) Bersetuju dan menyokong bahawa perjuangan mendaulatkan intipati 20 Perkara akan pasti tercapai jika dan hanya jika Sabah dan Sarawak keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia;

b) Bersetuju dan menyokong bahawa perjuangan mendaulatkan intipati 20 Perkara akan tercapai tetapi tidak perlulah ke tahap membawa Sabah dan Sarawak keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia.


04. Saya menyokong perjuangan mendaulatkan intipati 20 Perkara tersebut tetapi tidak bersetuju dengan idea membawa keluar Sabah dan Sarawak dari gabungan Persekutuan Malaysia seperti kelompok di fasal 3(a) yang saya sebutkan tadi.

05. Bagi saya, idea dan usaha membawa Sabah dan Sarawak keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia pada masa sekarang adalah semacam suatu ugutan. Secara mudah, situasinya begini:-

a) "Bawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia, barulah 20 Perkara dapat didaulatkan!" (Jika telah keluar, wujudkah lagi 20 Perkara?);

b) "Jika 20 Perkara tidak didaulatkan, kita bawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia!".


Persoalan
06. Maka persoalan utama saya ialah, apakah hak dan peruntukan undang-undang mana yang membolehkan, yang mengizinkan dan memberikan justifikasi kukuh kepada sesiapapun di dalam Persekutuan Malaysia ini pada masa sekarang, untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia?

[Enlarge]
Sumber : [GoPetition]

07. Seterusnya, jika kita - termasuk SSKM - benar-benar memperjuangkan pendaulatan intipati 20 Perkara tersebut, maka bukankah Perkara 7 dalam 20 Perkara menyatakan:-

Point 7: Right of Secession.
There should be no right to secede from the Federation.

(Terjemahan bebas)
Perkara 7: Hak untuk Berpisah.
Tiada hak untuk berpisah dari Persekutuan.

Kita memperjuangkan 20 Perkara tetapi kita bawa Sabah dan Sarawak berpisah (keluar) dari Malaysia?

Adakah berpisah dan keluar itu satu-satunya matlamat yang kita ingin tuju? Sudah tiadakah jalan yang lain untuk mendaulatkan 20 Perkara (maksud-maksudnya)?

Sumber : [Google Image]

Seputar Permasalahan
08. Mungkin ada yang memberi reaksi bahawa nama SSKM telah memberikan gambaran yang ekstrim. Saya setuju. Saya lihat, nama ini telah tidak dapat ditukar (diedit oleh Admin) tetapi mungkin sesuatu boleh diperjelas di bahagian Introduction.

09. Ada juga yang berpendapat, Sabah dan Sarawak patut mengecapi dan menikmati kemerdekaan sendiri, justeru Sabah dan Sarawak 'wajib' keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia. Ini saya agak kurang setuju.

Saya fikir, mereka yang terus-terus menggunakan cara (idea bawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia) ini seolah-olah telah berputus asa dan yang malangnya, tidak kelihatan pun untuk mencuba cara-cara yang lain yang lebih tidak kelihatan ekstrim.

10. Singapura mungkin menjadi idola bagi misi membawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia ini. Dengan harapan, apabila Sabah dan Sarawak keluar Malaysia, maka Sabah dan Sarawak akan bertambah-tambah maju dan pesat membangun menikmati kemerdekaan sendiri sebagaimana yang dialami Singapura.

Pada pendapat saya, situasi tersebut bukanlah dijamin akan benar-benar berlaku kerana Sabah dan Sarawak mempunyai banyak isu dan permasalahan yang memberikan liabiliti kepada kemajuan dan kepesatan tadi. Sekadar memberikan dua contoh; isu dan permasalahan itu ialah mentaliti dan gerak kerja pemimpin dan mentaliti rakyat bagi Sabah dan Sarawak secara umumnya.

Lihat sekeliling kita sekarang, apakah dua contoh tadi memberikan kita lampu hijau untuk bergerak menuju ke simpang "Sabah dan Sarawak Memerintah Sendiri"? Apakah kita telah cukup bersedia?

Terdetik juga dihati kecil saya andaikata para ilmuan yang begitu ramai di SSKM ini menjadi pemimpin kita untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia, tentu perjalanannya akan menjadi lebih lancar. Atau, kita ingin menunggu pendekar Bung Mokhtar Radin dan Huguan Siou Joseph Pairin Kitingan 'bertaubat' lalu mengemudi kita, sekali lagi?

[Enlarge]
Sumber : [GoPetition]

Konteks Sabah 'Dijajah'
11. Kita imbas kembali fasal 6 di atas. Dari situ, seseorang mungkin akan memberikan hujah bahawa justifikasi yang mewajarkan atau membolehkan kita rakyat Sabah dan Sarawak keluar Malaysia adalah kerana Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 telah terbatal disebabkan Kerajaan Pusat bersama Kerajaan Negeri telah tidak mematuhi banyak kehendak dan tuntutan 20 Perkara. Semenjak Sabah (khususnya) bersama negara Sarawak dan negara Persekutuan Tanah Melayu membentuk (bukan menyertai) Persekutuan Malaysia, 20 Perkara telah acapkali diremehkan dan hasilnya sekarang, 20 Perkara bagaikan tidak wujud langsung lagi.

Saya sedikit bersetuju dengan hujah tersebut. Saya fikir, ianya adalah benar dan terpakai jika kita menilai berdasarkan justifikasi moral. Maksudnya, secara moral, 20 Perkara ini telah pupus. Jika kita menilai berdasarkan praktis undang-undang, maka soalan saya; apakah undang-undang yang membatalkan 20 Perkara? Apakah perisytiharan rasmi dari kerajaan - sama ada Pusat atau Negeri - yang 20 Perkara telah tidak diguna pakai lagi?

12. Pencabulan sebahagian besar isi kandungan perjanjian 20 Perkara ini telah menimbulkan sentimen "Malaya jajah Sabah". Saya bersetuju dan memang ada benarnya dalam banyak lapangan perkara. Hal ini dapat mudah difahami dengan membandingkan kehendak-kehendak dalam 20 Perkara dan situasi Sabah (khususnya) sejak bermulanya kemasukan United Malay National Organization ke Sabah pada awal 1990-an yang lalu.

13. Saya berpendapat, jika kerajaan Pusat benar-benar ikhlas menerima kandungan Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 atau 20 Perkara ini, maka sewajibnya kerajaan Pusat meminda atau menambah mana-mana fasal/klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengambil kira kehendak 20 Perkara tersebut. Bukan sahaja pindaan ini berlaku ke atas Perlembagaan Persekutuan, malah mana-mana undang-undang, akta dan peraturan lainnya (peringkat Jabatan Kerajaan, Kementerian dsb) juga perlu diubahsuai supaya selaras dan memenuhi tuntutan 20 Perkara.

Tetapi, sejauh mana praktik hal di atas benar-benar berlaku?


Penutup
14. Saya sengaja menulis perkara ini di blog saya kerana saya mahu isu 20 Perkara ini mendapat perhatian dari semua pihak (terbuka) khususnya generasi muda Sabah dan Sarawak. Lagipun, perbincangan dan segala isi di dalam SSKM bersifat tertutup (closed group). Mungkin ada yang tidak ingin joined SSKM kerana nama SSKM itu telah menggerunkan fikrah mereka.

15. Malah, ini juga adalah sebahagian usaha promosi saya untuk membantu perjuangan 20 Perkara. Saya kehairanan bila melihat ahli dalam SSKM telah mencapai hampir 6,500 orang tetapi jumlah yang telah sign petition Sabah-Sarawak Rights anjuran SSKM di GoPetition belumpun sampai 300 orang setakat saya menulis ini.

Akhir kata, saya mengalu-alukan komen berupa pandangan, cadangan dan mungkin juga kritikan daripada mana-mana pihak yang sudi. Mudah-mudahan dengan perkongsian (butang Share juga telah disediakan di atas) soalan-jawapan sesama kita ini mampu membuatkan yang tidak tahu menjadi tahu, yang tahu bertambah faham, dan mana-mana yang lompang dapat ditampung sebaik mungkin.

Sekian.


26.01.2012
Nota: Tulisan yang penulis fikir mempunyai jawapan bagi tulisan penulis di atas boleh di baca di [sini]

9 comments:

  1. Apa makna pengabungan..malaya ada 12 negeri.sbh swk???

    ReplyDelete
  2. Jika sbh ada 5 negeri dan swk juga dibahagikn pada 11 negeri..baru adilkn peruntukn tahunan yg diberikn.ini tidak,.malaya ada 12 peruntukn..sbh mendapat 1 dan swk 1 saja.adilkah??

    ReplyDelete
    Replies
    1. untuk pengetahuan tuan/puan, malaya dpt 5juta, sabah dpt 5 juta, srwak dpt 5 juta...kalau korang pandai matematik negeri mn yang untung???fikir dulu sebelum bercakap...

      sebagai contoh; malaya ada 12 negeri jadi 5juta dibahagi kepada 12 berapa nilainya...plajar tahun 1 pun boleh jawab...

      Delete
  3. untuk pengetahuan tuan/puan, malaya dpt 5juta, sabah dpt 5 juta, srwak dpt 5 juta...kalau korang pandai matematik negeri mn yang untung???fikir dulu sebelum bercakap...

    sebagai contoh; malaya ada 12 negeri jadi 5juta dibahagi kepada 12 berapa nilainya...plajar tahun 1 pun boleh jawab...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Contoh yg ada sekarang..setiap negeri di m'sia mendapat 5juta..siapa yg untung?sbh swk malaya?malaya ada 12 negeri dikali dengan 5 brapa jumlahnya?sedangkn swk sbh hanya mendapat 5juta sahaja.

      Delete
    2. admin tu yang tak paham..mana ada malaya dpt 5 juta dan dibahagi 12...sekarang ni, setiap negeri malaya mendapat sama banyak dgn sabah dan sarawak. sedangkan sarawak dan sabah sebenarnya partner malaya (setaraf dengan whole tanah malaya) to establish federation.bukannya sama taraf dgn negeri-negeri malaya.paham??

      Delete
    3. Betul tak cukup 5 juta bagi 12 negeri dan konfom pelajar tahun 1 tak tahu bab perjanjian.. dlm perjanjian segala hasil sabah dan sarawak masing jaga... kau faham ka admin. Jd negeri yg lain lain tak ada hasil ka? Knp mengharap sangat hasil sabah sarawak??? Itu kan suda melanggar perjanjian 20pekara.

      Delete
  4. Anonymous14/8/13 09:38

    ingin sy luahkan di sini bahawa sarawak memang bnyk menjna pndptan bgi Malaysia.ttp keuntungan dan pulangan kepada org2 di sarawak mmg tdk ada sama sekali.Apa nilai Sarawak bgi Malaysia.adakah hanya di jadikan sumber penjana ekonomi?.

    ReplyDelete
  5. sekarang,yang sign petisyen sudah mencapai 30,000.rasanya ia tidak mustahil jika usaha digiatkan.baru 3 tahun!

    ReplyDelete

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!