Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Sunday, January 01, 2012

SALAM TAHUN BARU 2012

Assalamu'alaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

Hari ini antara hari yang paling popular di dunia.

Sewaktu 'hingusan' dahulu, aku rasa berdebar-debar untuk melalui perpindahan tahun 1999 ke tahun 2000. Sebabnya, telah kedengaran ramalan-ramalan dari pelbagai sumber yang mengatakan pada waktu itu [tengah malam] akan bermulalah kehancuran dunia atau planet bumi ini. Ini membuatkan aku tidak tidur pada waktu 'perpindahan' tersebut kerana terfikir "Hidup lagikah lepas ni..?"


Menganjak dewasa seiring dengan putaran waktu, aku mula mencari 'semangat dan kekuatan' disebalik rasa sajuk yang timbul. Pertukaran kalendar Gregory [Masihi] tahun 1999 ke tahun 2000 menyaksikan banyak benda yang bertukar dalam masa selang sesaat. Uniknya, bukan sahaja hari, bulan dan tahun yang bertukar tetapi dekad, abad dan milenium juga telah bertukar sama.

Tahun 1999 adalah tahun aku menduduki UPSR dan menjadi kelompok kanak-kanak terakhir mendudukinya bagi dekad [1990-an], abad [20] dan milenium pertama. Tiba tahun 2000, aku menjadi kelompok remaja yang pertama memasuki alam sekolah menengah di sebuah sekolah yang baharu sekali gus menjadi generasi pertama pelajar di sana. Aku rasa ianya sesuatu yang unik dan kelainan ini boleh menjadi sandaran untuk memotivasikan diri sendiri.

Ya, mampu memotivasikan diri sendiri adalah antara kelakuan terhebat dan aku cukup yakin untuk itu.

Jika aur dengan tebing, maka tahun baru pula adalah dengan azam baru. Menjelang tahun baru, inilah soalan yang menjadi topik utama; Apa azam tahun baru?


Aku tidak ingat tahun bila aku mula mempunyai tabiat "Membuat azam menjelang tahun baru". Kemungkinan besar, ianya menjelang tahun 2002 kerana pada tahun tersebut aku menduduki PMR. Maka dipenghujung 2001, aku mula mengamalkan tabiat tadi. 'Azam rasmi' aku yang pertama ialah "Lulus sebaik mungkin PMR, dapat masuk aliran Sains, dan...." Aahhh, aku lupa lagi apa. Haha.

Ada orang memperkecilkan tabiat mereka yang membuat azam baru dengan soalan balas berbunyi "Kenapa tunggu tahun baru barulah berazam itu ini? Kenapa tidak sekarang, minit ini, jam ini, hari ini, minggu ini, bla bla bla..?"

Aku lihat, sikap memberi soalan balas itu merupakan petunjuk kegagalan si penyoal memahami strategi perancangan iaitu kewujudan perancangan yang bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang tempoh masanya. Abaikan jika si penyoal menyoal dalam keadaan sedar dengan tujuannya menyoal soalan yang boleh menjadi punca seseorang hilang motivasi atau semangat untuk mencapai apa yang telah diazamkannya.


Secara peribadi; Azam ialah tekad. Tekad ialah niat. Niat ialah Azam. Maka, apabila kita telah ada [membuat] azam, maka kita sebenarnya telah ada niat. Ada azam/niat, matlamat akan muncul. Jika matlamat ialah apa yang ingin dicapai, maka matlamat ialah apa yang ingin dilakukan/dimulakan. Ada matlamat, ada niat. Ada niat, belum tentu ada matlamat. Matlamat adalah kesempurnaan [pelengkap] bagi niat.

Kita berniat untuk sembahyang. Matlamatnya, sembahyang kita selesai dengan sempurna.

Kita berniat untuk berhenti merokok. Matlamatnya, rokok yang dihisap berkurangan dan terus berkurangan.

Kita berniat untuk naik pangkat. Matlamatnya, prestasi kerja bertambah baik.

Kita berniat untuk berkahwin. Matlamatnya, diri telah bersiap sedia serba serbi.

Kita berniat untuk berjaya. Matlamatnya, terus berusaha.

Tercapainya matlamat, sempurnalah niat.


Apa pula azam aku untuk tempoh setahun ini? Ringkas sahaja; kehidupan yang lebih baik. Matlamatnya, terus berusaha.

Kepada yang telah membuat azam khas yang baik sempena tahun baru ini, selamat maju jaya aku ucapkan. Semoga tempoh setahun ini menjadi lebih baik dari tahun yang baru sahaja kita tinggalkan untuk selamanya.

No comments:

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!