Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Wednesday, June 13, 2012

PM NAJIB DAN PANDA

Terkini : [HarakahDaily]

Malaysiakini hari ini melaporkan berita tentang tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Malaysia untuk menamakan sepasang Panda yang dipinjamkan kerajaan China kepada Malaysia.

Sumber n Kredit : [Malaysiakini]

01. Aku tidak ambil 'pot' tentang penamaan Panda ini. Apa lagi untuk terlibat dengan aktiviti memberi nama-nama superb macam "Cin Cin & Beg Beg" dan "Altantuya & Scorpene".

02. Apa yang aku mahu lebih tahu ialah hal keberadaan Panda ini di Malaysia.

03. Meminjamkan Panda untuk tatapan kita semua di Malaysia amat dialu-alukan. Aku tidak pasti kalau mana-mana Zoo di pelusuk negara ini mempunyai Panda untuk tatapan umum.

04. Cuma aku terdetik, bagaimana jika Panda ini bukan untuk pinjaman sebaliknya diserahkan terus kepada kerajaan Malaysia?

05. Nah, kita membuka lembaran baru topik. Beberapa tanggapan muncul. Antaranya; Mungkin pada awalnya ia bersifat pinjaman. Namun dalam tempoh tertentu dengan sebab yang tertentu, pinjaman ini akan bertukar kepada 'biasiswa'.. oupss.. serahan.

06. Mungkin juga kerajaan China tidak terlintas untuk menyerahkan Panda ini kepada kerajaan Malaysia. Kenapa dan bagaimana 'sejarahnya' Malaysia dipinjamkan Panda juga masih belum jelas. Mungkin kerana WWF Malaysia adalah antara yang paling unggul dalam rantau Asia Tenggara?

07. Apapun, langkah PM Najib yang meminta cadangan nama untuk Panda ini dari rakyat Malaysia adalah agak remeh. Sebagai cadangan peribadi, lebih baik PM meminta cadangan dari kita semua (pada sesi tersebut) tentang Panda ini selain aspek nama iaitu:-

a. Perlukah Malaysia mempunyai Panda sendiri untuk dijaga? Apa yang anda fikir tentang peminjaman ini?

b. Apakah cadangan untuk memelihara haiwan terancam kita seperti penyu dan harimau selain memeliharanya di dalam Zoo?

c. Bagaimana membanteras kegiatan penyeludupan dan pemburu haiwan terlindung khususnya di kawasan anda?


08. Contoh soalan tadi jelas bersifat akademik dan mungkin skema bagi sesetengah orang. Namun, soalan-soalan tadi mampu melahirkan minda kreatif dan minda peka yang lebih unggul tentang isu-isu seputar haiwan diambang kepupusan ini, berbanding 'pemenang' minda kreatif untuk menamakan Panda ini. Hal nama boleh dikemudiankan.

09. Jika soalan sebegitu yang diajukan, maka tajuk berita akan berubah. Tulisan ini juga akan berubah, berubah menjadi lebih kritikal.


Nota: Panda memang cukup comel. Nak satu boleh?

Thursday, June 07, 2012

BAHAYA KEPADA BLOGGER DAN PENGGUNA INTERNET

PINDAAN AKTA BUKTI: KERAJAAN BARISAN NASIONAL MENGINJAK DEMOKRASI


NGO-NGO yang menandatangani kenyataan ini, mengutuk sekeras-kerasnya pindaan Akta Bukti 1950 yang telah diluluskan di persidangan terakhir Parlimen dan akan berkuatkuasa pada 1 Jun 2012. Walaupun pindaan Akta ini membawa implikasi yang amat besar, ianya masih diluluskan tanpa perbincangan yang telus. Orang ramai tidak dibawa untuk berbincang. Tanpa waktu yang panjang untuk berbahas, Parlimen telah meluluskan Akta ini.


Kemasukan Fasal baru Seksyen 114A Akta Bukti mengandungi perkara-perkara berikut:

- Pemilik, tuan rumah, pentadbir, pengarang atau penolong pengarang untuk semua laman-laman atau akaun media sosial akan dianggap bertanggungjawab keatas apa-apa isi yang telah dipapar atau diulang paparan dilaman-laman tersebut. Kandungan paparan ini tidak semestinya oleh mereka sendiri atau pun orang yang menyamar sebagai mereka, atau orang yang menyamar, atau sesiapa sahaja;

- Pelanggan kepada perkhidmatan jaringan yang biasanya mencetak atau mengulang-cetak kandungan-kandungan akan dipertanggungjawabkan keatas penerbitan tersebut;

- Tuan punya atau individu yang menyimpan perkakas elektronik yang telah digunakan untuk mencetak atau mengulang-cetak isi kandungan tersebut , akan dipertanggungjawabkan.


Justeru dengan ini, kami merasa Pindaan ini melanggar hukum undang-undang sejagat dimana individu itu tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya. Pindaan ini telah menterbalikkan undang-undang sejagat ini, dimana individu itu akan didapati bersalah dan dia wajib membuktikan yang dia tidak bersalah.

Seksyen 114A Akta Bukti bersama-sama undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak 1984 dan Akta Komunikasi & Multimedia 1998 akan terus menerus menafikan hak rakyat Malaysia untuk mendapat kebebasan menyatakan pandangan. Undang-undang ini bukan sahaja akan mengancam warganegara untuk melakukan pengawalan diri (self-censorship), malah ianya juga akan disalahgunakan oleh sesiapa sahaja untuk memerangkap orang lain dengan menggunakan undang-undang zalim ini. Undang-undang ini tidak mewujudkan keadilan malah ianya melahirkan ketidakadilan.

Sumber n Kredit : [TukarTiub]


Dalam konteks pilihanraya umum, besar kemungkinan Seksyen 114A Akta Bukti ini akan disalahgunakan oleh individu untuk mensabitkan parti politik atau bakal-bakal calon dengan jenayah. Sesiapa sahaja boleh dituduh mencetak kenyataan yang dianggap kasar atau menghasut walaupun yang dituduh tidak mencetaknya. Hanya melalui komen-komen yang tidak bertandatangan atau komen tanpa nama yang telah ditinggalkan didalam laman-laman yang ada kaitan dengan ahli-ahli politik yang berkenaan, maka ianya akan mensabitkan ahli politik tersebut sebagai bertanggungjawab memaparkan kandungan tersebut. Pindaan ini terus menggalakkan politk kotor. Politik kotor ini terus berlaku di Malaysia sebelum, ketika dan sesudah pilihanraya umum.

Hak menyatakan pendapat ialah asas untuk demokrasi. Di Malaysia, hak mendapat maklumat melalui media massa dikekang oleh kerajaan yang dibantu oleh undang-undang yang menindas. Warganegara Malaysia pada ketika ini telah menggunakan internet sebagai ruang demokrasi dimana mereka boleh menyatakan perasaan dan pandangan. Mereka juga telah mendapat maklumat daripada internet.


Pindaan keatas Akta Bukti meyakinkan kita bahawa hak kebebasan untuk mengeluarkan pendapat masih lagi satu ilusi yang tercatit dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa bila kerajaan menafikan hak rakyat untuk mengeluarkan pendapat, sebenarnya kerajaan sedang menginjak-injak demokrasi.

Kami yang menandatangani dibawah ini mendesak kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan Seksyen 114A Akta Bukti. Atau melupuskan ia serta-merta.

Bersama dengan ini, kami yang menandatangani ini juga mendesak kerajaan Malaysia untuk menarik kembali segala kekangan terhadap hak menyatakan pandangan termasuk pindaan kepada Akta Mesin Cetak 1984 dan Akta Komunikasi & Multimedia 1998, dan melupuskan fasal-fasal yang mengekang. Kami juga menuntut supaya Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 dipinda kembali.


Persatuan Kesedaran Komuniti (EMPOWER)


Kredit dan Sumber: Tulisan ini disalin tanpa edit dari [TukarTiub]

Tuesday, June 05, 2012

PRAKTIKAL DI LADANG

LAPORAN LATIHAN INDUSTRI


Latihan Industri di Ladang Pandewan, Nabawan
Sabah Land Development Board



Nota: Fail peribadi ini dikongsikan kepada umum untuk tujuan pendidikan dan bersifat 'untuk kegunaan sendiri sahaja'. Sebarang komen atau cadangan amatlah dialu-alukan. Terima kasih!

Monday, June 04, 2012

UMMAH DITUNTUT TENTUKAN KEPIMPINAN


UMMAH DITUNTUT TENTUKAN KEPIMPINAN

10/3/04
Oleh Ir.Hjh. Endok Sempo Mohd Tahir

ROKIAH bertanya rakan sejawatnya, Salmah mengenai pilihan raya. Dia bertanya, di manakah Salmah akan mengundi. Namun, jawapan yang diterima begitu mengecewakan.

Aku malas nak mengundi!,” balas Salmah.

Rokiah kehairanan dan bertanya mengapa.

Aku mengundi ke, tidak mengundi ke, nasib aku macam tu juga. Aku tetap menjadi kerani cabuk! Sesiapa pun yang menang dalam pilihan raya ini aku tetap macam tu juga, ibu tunggal yang melarat, wanita yang terbiar,” kata Salmah.

Hujah Salmah lagi:
Kadang-kadang saya juga terfikir, pilihan raya ni menjadikan ramai antara kita menjadi manusia yang kurang siuman. “Kerana di masa inilah berlaku perkara perkara yang dilarang Allah, memutuskan silaturahim, mengata orang, memaki hamun, merendah rendahkan saudara sendiri, pulau memulau, mengadu domba, kempen angkat bakul yang berlebih-lebihan hingga memualkan tekak.

Rokiah membalas: “Kamu tak boleh cakap macam tu, sebab tidak semua orang macam tu, asalkan kita tidak menjadi seperti mereka. Kita mesti menjalankan tanggungjawab sebagai warga negara yang baik. Setiap langkah kita yang soleh akan diberi ganjaran daripada Allah jika niat kita kerana-Nya.

Sumber n Kredit : [FB IKRAM]


Ini hanya satu daripada banyak contoh mentaliti ‘ketidakpedulian’ rakyat yang layak mengundi dalam menentukan kepemimpinan negara. Pilihan raya umum hanya datang lima tahun sekali, namun ramai rakyat tidak menghargai peluang ini.

Mengapakah sikap ini masih berlaku di kalangan umat Islam di negara ini? Mungkin kerana umat Islam berasa selamat dan berbangga dengan bilangan yang ramai. Ketidakpedulian ini perlu dibetulkan dan kefahaman rakyat mengenai ‘poilitik warga’ seharusnya di ketengahkan.

Menurut ulama terkenal, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Islam menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara sama dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik.

Pada pandangan beliau, sesiapa yang memberikan undian/suaranya kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung atau kerana berharap dapat mengambil manfaat apabila calon itu terpilih nanti, maka dia telah menentang firman Allah dalam surah at-Talaq, ayat dua, bermaksud,

Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah.

Sementara sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya (tidak keluar mengundi) hingga golongan yang jujur kalah dan golongan yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian.

Firman Allah bermaksud, “Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

Dan janganlah kalian (saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 283).

Kita perlu membabitkan diri dalam proses pilihan raya sebagai warga negara Malaysia yang bertanggungjawab sama ada sebagai jentera pilihan raya, pengundi atau pemantau rasmi. Gunakanlah kebijaksanaan kita untuk memilih calon yang tepat dengan mencari sebanyak mungkin maklumat mengenainya.

[PENULIS seorang Jurutera professional dan aktivis Wanita IKRAM]

“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”

Kredit dan sumber asal : [FB IKRAM]

Saturday, June 02, 2012

MEMOIR DI SABAH KAAMATAN CHESS OPEN 2012

Sumber n Kredit : [Anizan Mahruf] [Album Logo]

Aku datang lewat seperti biasa ke tempat yang ingin dituju. Mengikut jadual di Event, ianya bermula 8:00 pagi dan aku baru selesai bersiap-siap pada 10:00 pagi. Entah kenapa. Aku cuma berasa yang aku tidak ketinggalan apa-apa atau rugi apa-apa sangat.

Aku tiba di 1Borneo lebih kurang 15 minit dari pintu rumah yang aku tumpangi. Aku berhenti di perhentian bas yang bersebelahan dengan jambatan laluan pejalan kaki yang tidak seusia dengan 1Borneo itu. Langkah dituju ke Grand Borneo Hotel. Biasa mendengar namanya tetapi tidak pernah lagi masuk dan berlegar didalamnya.

Aku perlahan-lahan ke kaunter utama (lobi) dan saja ingin bertegur sapa dengan harapan ada minah cun yang menjawab 'soalan bonusku' - di mana tempat pertandingan. Tetapi sedikit hampa, seorang mamat pula yang cepat-cepat menyambut soalanku.

"Tingkat 3, lif ada di sebelah kiri laluan ini.."

Dia tersenyum, aku tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Aku cepat-cepat beredar kerana tidak ingin diperhati terlalu lama di sana. Cukuplah CCTV yang tiada kerdipan memerhati. Aku hanya berselipar, memakai jaket bundle dan menyikut beg yang jelas kelihatan lusuh tetapi banyak berjasa semasa aku di ladang.

Aku tiba di tingkat 3. Sebaik melangkah keluar, aku lihat ada beberapa remaja dan budak-budak yang berlegar dan duduk berdekatan dengan pintu utama. Pandanganku melepasi pintu utama, aku lihat di sana juga ada tempat duduk santai ala-ala di tepi pantai. "Ehh, ini macam tempat mandi manda ja ni..", getus hatiku. Ahh aku tersilap. Aku tersilap yang aku berfikir aku telah salah masuk. Kerana, di sebelah kanan pintu masuk utama ada  lagi pintu masuk yang kelihatan standard bagi sebuah tempat khas. Ya, inilah dewan Vinusak tempat berlangsungnya Kejohanan Catur Kaamatan Terbuka 2012.

Sumber n Kredit : [Anizan Mahruf]

Aku memberanikan diri masuk ke dalam dewan. Risau juga kalau-kalau ada yang tanya "Encik, ada tiket/pas masuk..?". Aku datang dengan kapasiti sebagai penonton dan pemeriah acara ini. Aku bukan datang menemani kawan bermain catur apatah lagi menjadi peserta untuk pertandingan ini. Aku mungkin 'jika dan hanya jika' bermain bila ada yang menjemput atau menjadi peserta kerana angka jumlah peserta adalah ganjil. Tetapi, kemungkinan ini aku semat jauh-jauh di dalam hati kerana possibility-nya terlalu rendah. Sebelum datang ke acara ini, aku lihat maklum balas di Event adalah memberansangkan. Ada yang sejauh daerah di Sarawak yang datang!

Aku meloloskan diri dari pintu utama Vinusak, terus mendekati meja terdekat yang sedang bermain catur. Dengan muka dunno, aku buat-buat fokus 'menganalisis' permainan mereka sambil difikiran tertanya-tanya adakah line clear atau tidak..

Tiada sapaan. Line clear!

Hahaha. Aku gelak sendirian dalam hati. Seperti pertandingan catur amatur ataupun profesional yang hanya aku pernah tengok di dalam video, suasana di Vinusak ini adalah sama. Orang ramai berkerumun mendekati meja pemain, mengambil gambar dan ada juga yang berborak-borak sambil bermain untuk test power.

Aku menyusur meja-demi-meja yang ada perlawanan. Mataku tertarik dengan beberapa suasana pertembungan. Ada si kecil bertembung dengan si besar, ada si muda melawan si tua, dan yang tidak kurang menariknya ialah si jejaka berhadapan dengan si awek.

Aku mula sedar rupanya sesi pertandingan di penghujung masa bagi Pusingan 1 (P1). AJK sudah mula mencetak Pairing (siapa jumpa siapa) dan keputusan P1. Patutpun suasana agak meriah (tidak sunyi sepi) dan ramai yang berkeliaran keluar masuk. Malah, pertandingan lewat dimulakan kerana ramai peserta yang berbaris mendaftar dan AJK juga menjadi sibuk mencari alatan tambahan untuk kegunaan pertandingan.

Juruacara mula mengumumkan tentang jadual keputusan dan P2. P2 akan diadakan dalam masa beberapa minit dan setiap peserta mula mengerumuni untuk melihat dan menyemak jadual tersebut. Aku pun buat-buat sibuk mencari nama seolah-olah mencari siapa lawan pusingan seterusnya. Walhal, aku ingin melihat nama-nama yang mungkin boleh aku cam/kenal dan otai catur Sabah yang ada namanya di Persatuan Catur Sabah (SCA). Nampaknya, tiada seorang pun yang aku kenal dalam senarai peserta. Hanya nama otai yang aku kenal sahaja seperi Al Kamil dan Abdul Sahim Wising. Charles Lucas tidak bermain. Nama otai ini aku hanya kenal pada nama dan tidak kenal rupa. Dengan bantuan jadual, aku mendapat tahu yang dua otai ini mengisi meja nombor 1 dan 2 pertandingan masing-masing. Ya, itulah tempat aku berdiri termenung nanti!

Sumber n Kredit : [Anizan Mahruf]

P2 dimulakan. Debaran antara peserta boleh dirasa. Aku teringat akan reaksi spontan seorang peserta selepas melihat Pairing-nya - "nombor xx, meja kekalahan!". Haha. Aku lihat semua peserta sudah mula mengambil tempat duduk. Ada kanak-kanak, ada remaja sekolah rendah/menengah, ada dewasa, ada yang sudah berusia, ada yang berkopiah, ada yang berjanggut panjang dan aku lihat ada dua orang 'puteri catur' masing-masing dimeja 4x. Aku mula rasa berdebar selepas juruacara memulakan masa pertandingan kerana hampir semua yang aku lihat berkeliaran keluar masuk awal-awal tadi rupanya peserta! Aku melihat sekeliling. Semuanya duduk kecuali beberapa AJK dan orang awam yang berada di bahagian belakang. Hanya aku seorang yang berada di bahagian hadapan melihat perlawanan di meja 1 dan 2, betul-betul menghadap kaunter AJK!

Fikiran negatif tentang sapaan seperti mula-mula masuk tadi mula menghantui. Aku menjadi rasa tidak selesa. Aku risau berdirinya aku di situ adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Tambahan pula, juruacara sedang memaklumkan semula tentang peraturan pertandingan seperti gangguang telefon, berbual-bual dengan penonton dan lain-lain. Setelah selesai, aku menjadi lega. Tiada larangan untuk penonton mendekati meja pertandingan kecuali membawa peserta berbual-bual atau gangguan lain seperti flash kamera. Akhirnya  aku pun merayau dari meja-ke-meja memerhati permainan mereka. Sungguh menarik. Ada peserta yang menang dalam tempoh 10-12 minit (Masa permainan = 23 minit). Ada oldtai yang aku nampak bergegar-gegar tangannya ketika menggerakkan buah mampu menang ke atas si muda. Kebanyakan peserta kalah kerana 'time trouble'.

Sumber n Kredit : [Anizan Mahruf]

Aku tidak dapat berada lebih lama di sini. Aku beredar setelah selesai P2. Persinggahan seketika untuk refresh suasana tournament yang sebenar buat pertama kalinya sungguh berbaloi. Ini mampu membina semangat untuk aku menyertai pertandingan sebenar di masa akan datang.

Syabas dan Tahniah kepada SCA atas usaha gigih menganjurkan Sabah Kaamatan Chess Open 2012 dan aktiviti (pertandingan, latihan dsb) lainnya serta kehadiran para peserta yang sungguh bersemangat dan hebat-hebat belaka. Tidak lupa juga Tahniah kepada Johan pertandingan iaitu En. Mohd Ilyas Ag. Hamid [Berita] dan para peserta lain yang mendapat tempat. Semoga catur terus subur, membudaya dan lebih ramai pencatur handalan lahir di seluruh Sabah, insya Allah.

Sumber n Kredit : [SCA]
Album Gambar
[SCA] [AM-1] [AM-2] [AM-3] [AM-4]


Jumpa lagi!


Nota: Bila balik Kudat nanti, aku mahu daftar jadi ahli Kelab Catur Kudat. Harap ada juga aktiviti umphh di sana, ehe.