Paparan Paling Seksi Sakti | Skrin 1280 x 800 | Browser Mozilla Firefox | OS Ubuntu Linux

FIDE WOMENS WORLD CHESS CHAMPIONSHIP 2017 (TEHRAN)

Saturday, May 04, 2013

PRU13: SELAMAT MENGUNDI DAN SELAMAT DATANG MALAYSIA BAHARU

Assalamu'alaikum w.b.t.

Tinggal kurang 12 jam lagi tempoh berkempen akan tamat. Selepas itu, tempoh mengundi akan bermula dan yang paling genting sekali ialah saat pengiraan undi dan seterusnya keputusan diumumkan satu-persatu.

Aku masih ingat masa PRU12 (2008) yang lalu, aku dan rakan-rakan di bilik asrama KKCD tekun mendengar berita perkembangan keputusan PRU12. Ada rakan-rakan yang balik mengundi dan ada juga yang sudah layak mengundi tapi tidak dapat balik mengundi terutama rakan-rakan dari semenanjung. Masa itu, mereka yang lahir sekitar Januari - Februari tahun 1987 adalah golongan termuda yang sudah layak mengundi. Boleh, bila sudah mendaftar untuk menjadi pengundi.

Aku antara golongan pengundi termuda tersebut tapi bulan kelahiranku menyebabkan aku belum lagi layak untuk berdaftar sebagai pengundi. Andai saja "Tsunami Politik Mac 2008" itu ditakdir oleh-Nya pada November 2008, maka aku adalah sebahagian daripada sejarah itu.

Sejarah

Tapi, kami ingin juga menjadi sebahagian daripada sejarah itu. Dengan secubit pengetahuan tentang hal ehwal politik semasa negara, kami tekun menerima dan 'menghadam' data dan maklumat yang kami perolehi. Keputusan yang memihak kepada parti yang bertanding selain United Malays National Organization dan Barisan Nasional (masa pilihanraya atau parlimen bubar, tiada istilah 'Pembangkang' dan 'Kerajaan') mengujakan kami.

Apalagi bila muka-muka baru memenangi kerusi dan juga 'lahirnya' Giant Killers di beberapa tempat, yang ada antaranya tidak dijangkakan. Sebagai contoh, kerusi Lembah Pantai dan beberapa Giants dari Barisan Nasional yang tumbang.

Waktu itu, kemenangan muka baru dan Giant Killers masih belum 'jelas' kepada kami yang masih hijau mentah. Namun, dari sifat aura 'pengundi muda', kami dapat merasakan arus baharu yang mengubah landskap politik tanah air itu sememangnya suatu sinar harapan baru marhaen.

Ia umpama cahaya lilin yang baru mula terbakar untuk meneruskan nyalaannya, dalam persekitaran yang gelap, nun di hujung sana. Dan cahaya itu mula menerangi sekitarnya.

Dan keesokannya, sejarah dijulang. Tsunami Politik menjadi tema perbualan. Empat negeri terlepas dari dakapan Barisan Nasional termasuklan Selangor yang menjadi 'lubuk intan' gerombolan. Manakala Kelantan terus kekal di bawah pemerintahan PAS walaupun hampir-hampir tumbang selepas PRU11 (2004) yang menyaksikan PAS hanya kelebihan seorang Adun sahaja di Dewan Undangan Negeri berbanding BN yang menjadi pembangkang di sana sejak tahun 1990.

Selamat Mengundi dan "Selamat Datang Malaysia Baharu"

Esok 05 Mei, adalah hari mengundi. Sama ada sejarah seperti gelombang Tsunami Politik Mac 2008 akan berulang lagi dengan 'lebih dahsyat' atau tidak, aku berdoa semoga harapan baru Malaysia baharu muncul di sore 06 Mei, seperti lima tahun yang lalu. Namun walau apapun keputusannya, landskap politik tanah air akan berubah juga. Bagaimana perubahan itu, ia bergantung sama ada Pakatan Rakyat atau hegemoni Barisan Nasional yang menjadi majoriti.

Dan PRU kali ini, walaupun sudah berdaftar sebagai pengundi, aku terlepas lagi untuk menjadi sejarah 'sepenuhnya' dalam arus perubahan. Aku berada jauh dari Parlimen Kudat, dan DUN Tanjung Kapor. Namun, seperti tahun 2008 yang lalu, aku tetap tidak ingin ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada sejarah. Sejak Tsunami Politik, cukup ramai marhaen seperti aku menjadi cakna isu semasa dan menjadi golongan yang sentiasa menerima, mencari, menapis dan menyebarkan maklumat yang diterima untuk dinilai bersama. Walaupun TV3 menjadi 'The Fallen' selepas Mac 2008 kerana berubah status dari 'seimbang' menjadi 'terbalik terus' kepada UMNO-BN, media alternatif seperti internet kekal menjadi pengubat kekecewaan untuk mendapatkan maklumat yang persembahannya adil, berhemah dan penuh tanggungjawab.

Maaf kerana masih lagi tidak dapat terlibat langsung dalam perjuangan harapan baru.

Kepada rakan-rakan dan semua rakyat Malaysia, silalah turun mengundi dan buatlah pilihan yang terbaik. Undi anda menentukan sama ada kita terus berada di bawah kangkang gerombolan United Malays National Organization atau sebaliknya - Harapan Baru terus menyinar dan menyuburkan kebangkitan Malaysia baharu.

Selamat Mengundi, Selamat Datang Malaysia Baharu. Inilah masanya yang paling sesuai, inilah masanya yang paling tepat. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

INI KALI LAH UBAH!

2 comments:

  1. sedihhh pun dgn result hahaah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang sedih betul ni Cinoi.. Banyak benda2 bodoh yang jadi 'magik kemenangan' kan, hahaha

      Delete

Saya mengalu-alukan komentar anda semua. Terima Kasih!